Kuala Lumpur dan Kuching Tolak BERSIH 4.0

Oleh Hata Wahari
2015.08.19
150819-MY-BERSIHLAGI620 Penyokong anti-kerajaan semasa perhimpunan BERSIH 3.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur. 28 April, 2012.
AFP

Polis Malaysia menolak permohonan BERSIH 4.0 untuk mengadakan perhimpunan pada hujung bulan ini di Kuala Lumpur dan Kuching, kerana kegagalan penganjur untuk mendapatkan kebenaran daripada pemilik lokasi untuk berhimpun, yang merupakan salah satu syarat sebelum permit dikeluarkan.

Selain Kuala Lumpur, perhimpunan itu juga dijadualkan akan berlaku di Bandar Kuching dan Kota Kinabalu pada 29 dan 30 Ogos ini.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selaku pentadbir kawasan Dataran Merdeka dan Padang Merbok telah menyatakan bahawa lokasi yang dipohon penganjur telah ditempah lebih awal untuk acara lain termasuk persiapan sambutan Hari Kebangsaan ke-58.

Manakala Dewan Bandaraya Kuching, Sarawak, yang bertanggungjawab terhadap Padang Merdeka tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di situ.

BERSIH, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mahu mengadakan perhimpunan untuk menuntut perletakan jawatan Perdana Menteri Najib Razak, refomasi dalam pilihanraya, kerajaan bebas daripada rasuah selain hak untuk membantah dan menyelamatkan ekonomi Malaysia

Perhimpunan BERSIH 4.0 yang bakal diadakan di Dataran Merdeka pada hujung minggu 29 dan 30 Ogos ini, merupakan antara siri perhimpunan yang telah diadakan oleh badan bukan kerajaan itu, sejak tahun 2007, diikuti BERSIH 2.0 pada 9 Julai 2011 dan BERSIH 3.0 pada 28 April 2012.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Tajuddin Md Isa pada Rabu, menegaskan perhimpunan itu tidak dibenarkan kerana penganjur tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

“Notis yang diberikan penganjur minggu lepas tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Malahan, pemilik Dataran Merdeka dan Padang Merbok iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sendiri telah menolak permohonan mereka untuk mengadakan perhimpunan di kedua-dua lokasi tersebut.

‘’Polis telah memberi notis kepada Bersih bahawa permohonan mereka untuk mengadakan perhimpunan itu telah di tolak,’’ katanya ketika dihubungi BeritaBenar pada Rabu.

Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar pada Selasa berkata, perhimpunan BERSIH 4.0 yang menyasarkan penyertaan 100,000 penyokong itu lebih sesuai diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

“Saya harap penganjur BERSIH 4.0 lebih praktikal dan rasional dalam membuat keputusan untuk memilih tempat,” katanya,

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kuching, Roslan Bek Ahmad pula memberitahu, kerajaan negeri Sarawak telah menolak permohonan BERSIH 4.0 untuk mengadakan perhimpunan di Padang Merdeka di ibunegeri itu.

“Kami sudah menerima respons daripada kerajaan negeri, yang menghantar surat rasmi pada 14 Ogos lepas, memberitahu bahawa mereka tidak membenarkan sebarang perhimpunan diadakan di Padang Merdeka," katanya

Sementara itu Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak polis mengenai perkara itu sambil menegaskan bahawa perhimpunan itu akan tetap diteruskan seperti dijadualkan.

“Kami bersedia untuk berbincang dengan pihak polis bagi menyelesaikan masalah yang timbul dengan segara…. dan kami tetap akan meneruskan perhimpunan,” tegasnya lagi.

Khalid pada Selasa berkata, tiada keperluan penganjur perhimpunan bertemu dengannya, kerana undang-undang mengatakan, mana-mana perhimpunan yang mahu diadakan perlu mendapat kebenaran daripada ketua polis daerah di mana mereka ingin berhimpun.

“Tidak perlu memohon daripada ketua polis negara. Jadi, tidak perlu jumpa saya. Jumpa saja dengan ketua polis daerah,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.