SPRM tahan pegawai Imigresen kaut rasuah RM100 juta
2023.07.28
Kuala Lumpur

Agensi antirasuah Malaysia menahan reman dua pegawai Jabatan Imigresen negara itu pada Jumaat kerana dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi meluluskan permohonan visa lawatan sosial (VLN) untuk warga Bangladesh yang ingin bekerja di negara Asia Tenggara itu.
Kedua-dua pegawai penguatkuasa tempatan tersebut, yang ditahan sehari sebelum itu, telah didakwa bersekongkol dengan agensi di Malaysia dan Bangladesh untuk membawa masuk pekerja asing ke negara itu menggunakan VLN.
Penahanan kedua-dua suspek adalah susulan operasi terdahulu yang turut menyaksikan penangkapan pegawai Imigresen Malaysia.
Dalam siri tangkapan terbaharu, kedua-dua pegawai yang ditempatkan di Suruhanjaya Tinggi Bangladesh di Kuala Lumpur itu dipercayai telah mengaut rasuah RM100 juta (AS$22 juta) hasil aktiviti haram sejak 2021.
"Kegiatan tersebut telah dilakukan sejak dua tahun lalu dan pegawai terbabit dipercayai menerima suapan antara AS300 (RM1,366) dan AS500 (RM2,277) bagi setiap kelulusan permohonan VLN," kata sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada BenarNews.
VLN adalah visa lawatan sosial untuk pelancong luar memasuki Malaysia bagi tempoh tertentu.
Menurut undang-undang Imigresen Malaysia, pelancong Bangladesh dibenarkan menetap di negara itu selama 30 hari menggunakan VLN dan tidak layak mendaftar untuk sistem permit kerja sementara.
Sebaliknya, mereka yang ingin bekerja di Malaysia secara sah perlu memohon Visa Dengan Rujukan (VDR).
Bagaimanapun, sumber SPRM berkata pegawai yang ditahan dipercayai telah bersekongkol dengan agensi pekerjaan di kedua-dua negara dengan menukarkan VLN kepada VDR sejurus mereka tiba di Malaysia.
“Masuk menggunakan VLN merupakan jalan pintas yang lebih mudah dan murah berbanding VDR,” kata sumber itu lagi.
"Tetapi kedua-dua suspek dipercayai dengan sengaja menyalahgunakan VLN bagi membawa masuk rakyat Bangladesh untuk bekerja di Malaysia sejak 2021.
"Ia membabitkan jumlah rasuah dianggarkan lebih RM100 juta meskipun pembayaran visa yang ditetapkan oleh kerajaan hanya RM105 (AS$23)," kata sumber yang enggan dinamakan itu.
Menurut sumber itu lagi, kedua-dua suspek ditahan semasa diminta hadir ke Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada petang Khamis.
"Kedua-dua pegawai itu ditahan untuk membantu siasatan Op Taka yang dilancarkan pada April lalu oleh Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram SPRM dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia," katanya.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi BenarNews mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17a Akta SPRM 2009 yang membolehkan agensi itu melakukan siasatan terhadap pegawai kerajaan berkaitan rasuah.
Jika sabit kesalahan, pesalah berdepan denda minimum sepuluh kali ganda nilai suapan atau RM1 juta mengikut mana yang lebih tinggi atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.
Majistret M Mageshwary dari Mahkamah Shah Alam membenarkan permohonan SPRM untuk menahan reman kedua-dua suspek selama empat hari hingga 31 Julai ini.
Penahanan kedua-dua suspek adalah susulan operasi SPRM pada April lepas apabila dua pegawai Imigresen Malaysia yang ditugaskan sementara di Pejabat Atase Imigresen Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka, Bangladesh ditangkap kerana terlibat dengan rasuah.
Mereka disyaki menerima rasuah bagi pengeluaran VLN dan kemasukan pelancong serta pekerja Bangladesh ke Malaysia.
SPRM turut mengesan beberapa transaksi kemasukan wang yang mencurigakan ke dalam akaun bank kedua-dua suspek dan mereka sudah diarah pulang ke Malaysia untuk membantu siasatan kes itu.
Lebih 20 akaun bank membabitkan individu dan syarikat berkaitan sudah dibekukan.
Sehingga akhir April, pembekuan akaun serta penyitaan harta alih dan tak alih membabitkan lapan bidang tanah dianggarkan berjumlah kira-kira RM3.1 juta (AS$648,600).
Rasuah punca masalah
Wakil Migrant Care di Malaysia Alex Ong berkata isu rasuah yang berjaya dibongkar oleh SPRM itu sebenarnya lebih kecil berbanding penderaan dan penganiayaan ke atas pekerja asing di Malaysia.
Bagaimanapun, beliau berkata isu itu adalah asas kepada penganiayaan pekerja asing di Malaysia.
“Apabila mereka masuk dengan bantuan ejen secara haram seperti ini, mereka akan menjadi mangsa perhambaan.
"Dan pembabitan pegawai kerajaan terutama dalam sindiket pekerja asing haram bukan benda baharu.
“Banyak lagi yang perlu dilakukan oleh SPRM bagi memastikan rasuah tidak menjadi faktor kepada penganiayaan pekerja asing di masa hadapan,” katanya.
Bagi Adrian Periera, Pengarah North South Initiative, kumpulan yang memperjuangkan hak pekerja asing, kemasukan golongan itu ke Malaysia tanpa VDR adalah punca banyak penindasan berlaku.
“Syarikat yang mengupah mereka nanti boleh melakukan eksploitasi dan pelanggaran kontrak tanpa perlu risau akan implikasi undang-undang terhadap mereka.
“Daripada pengalaman berurusan dengan banyak kes pekerja asing, saya mendapati pengurusan langsung tidak menjaga kebajikan pekerja seperti ini, mereka tidak terikat dengan kontrak kerja dengan kedutaan atau pihak berkuasa,” katanya.
“Ia secara tidak langsung memberikan kelebihan kepada majikan untuk menguruskan pekerja asing mengikut cara mereka, tanpa liabiliti kepada syarikat,” kata Periera.
Pada tahun lepas, Malaysia bersetuju mengambil 500,000 pekerja asing dari Bangladesh selama lima tahun setelah program seumpamanya telah dihentikan sebelum ini berikutan dakwaan berlaku penyelewengan dalam proses pengambilan.