Cadangan Mengetatkan Hukuman Syariah Dapat Bantahan Di Malaysia

Hata Wahari
2016.05.31
Kuala Lumpur
160531-my-bill-1000 Aktivis Islam menunggu di luar mahkamah tertinggi Malaysia di Putrajaya semasa mahkamah mendengar rayuan oleh orang Kristian untuk menggunakan nama "Allah", 23 Jun 2014.
AFP

Parti pemerintah di Malaysia telah memberikan sokongan awal terhadap undang-undang yang dicadangkan di Parlimen yang memberi lebih kuasa kepada mahkamah syariah, yang meningkatkan ketegangan di negara berbilang kaum di mana orang bukan Islam bimbang ia akan  bercanggah dengan perlembagaan sekular negara.

Tetapi pakar undang-undang yang bercakap dengan BeritaBenar pada Selasa berkata bahawa orang bukan Islam tidak perlu bimbang dengan cadangan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) untuk meningkatkan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah syariah.

Dalam satu langkah yang mengejutkan pada minggu lalu, seorang menteri kabinet dari parti pemerintah Perdana Menteri Najib Razak, Barisan Nasional telah mempercepatkan rang undang-undang PAS untuk dibahaskan.

Hanya orang Islam, yang membentuk lebih separuh daripada penduduk negara itu, tertakluk kepada undang-undang syariah berkenaan dan Najib telah menegaskan bahawa orang bukan Islam tidak akan terjejas dengan langkah yang dicadangkan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Pada masa ini, mahkamah syariah boleh mengenakan hukuman maksimum penjara tiga tahun, denda maksimum 5,000 ringgit Malaysia (AS $1,214) dan sebat sehingga enam kali.

Di bawah pindaan yang dicadangkan itu, hakim mahkamah syariah mungkin boleh mengenakan hukuman sebat sehingga 100 kali terhadap mereka yang disabitkan terlibat dalam seks haram dan sehingga 80 kali kerana minum arak, sekumpulan badan bukan kerajaan berkata dalam satu kenyataan.

"Secara teknikal rang undang-undang itu, semata-mata bertujuan untuk meluaskan kuasa mahkamah syariah; ia bukan mengenai hudud, "Abdul Aziz Bari, seorang profesor undang-undang perlembagaan, memberitahu BeritaBenar.

Hudud ialah Kanun Keseksaan Islam yang menetapkan hukuman termasuk amputasi tangan kerana mencuri dan hukuman rejam bagi kesalahan hubungan seks haram.

Pakar berkata mahkamah syariah tidak akan melindungi jenayah yang mahkamah konvensional mempunyai bidang kuasa keatasnya, pada masa ini.

Memartabat mahkamah syariah

Rang undang-undang PAS itu akan memasukkan klausa yang menyatakan bahawa dalam menjalankan undang-undang jenayah, "Mahkamah Syariah mempunyai hak untuk mengenakan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah ... selain daripada hukuman mati," menurut satu salinan yang dilihat oleh BeritaBenar.

PAS cuba untuk menaikkan status mahkamah syariah yang hukumannya tidak setimpal serta menjadikan mahkamah itu satu bahan ketawa, timbalan presiden parti itu Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu sidang media pada Selasa di Kelantan, menurut Free Malaysia Today.

Negeri utara pantai timur semenanjung Malaysia yang konservatif itu, sebulat suara meluluskan rang undang-undang Hudud pada Mac tahun lepas, tetapi tidak dapat dilaksanakan sehingga rang undang-undang Parlimen, mengeluarkan halangan di peringkat persekutuan.

Tetapi rang undang-undang itu dengan pantas membuka rekahan terhadap pemerintahan Najib dalam gabungan Barisan Nasional dengan beberapa anggota utamanya dilaporkan mengancam untuk meletakkan jawatan berhubung isu berkenaan.

Presiden Kongres India Malaysia (MIC) yang juga Menteri Kesihatan S. Subramaniam berkata, beliau akan meletak jawatan sebagai Menteri Kesihatan jika undang-undang itu dilaksanakan, langkah beliau itu akan turut diikuti oleh Liow Tiong Lai, Presiden Parti Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang juga menteri pengangkutan.

Sim Kui Hian, Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak, berkata gerakan undang-undang itu boleh menyebabkan negeri di timur Malaysia menarik diri.

"Kelulusan rang undang-undang berkenaan boleh memberi motivasi kepada rakyat Sarawak untuk berpisah dengan Malaysia," CNN memetik beliau sebagai berkata.

Najib cuba mendamaikan ketegangan.

"Saya ingin menyatakan bahawa ia bukan untuk pelaksanaan hudud. Ia hanya memberi peningkatan hukuman mahkamah syariah. Dari enam sebatan rotan ke beberapa lagi," katanya, menurut laporan media.

Pemimpin pembangkang memanggil rang undang-undang itu adalah usaha untuk memintas perlembagaan Malaysia, dengan menamakan Islam sebagai agama rasmi tetapi menjamin sebuah masyarakat sekular.

"Jelas sekali PAS sedang cuba untuk memintas dan mendapatkan tuntutan perlembagaan sekitar majoriti 2/3 dengan menganggapnya sebagai undang-undang biasa yang hanya memerlukan majoriti mudah, 'Malay Mail Online memetik Lim Guan Eng, Setiausaha Agung parti pembangkang - Parti Tindakan Demokratik (DAP), sebagai berkata.

Beliau berkata, pindaan itu boleh membuka jalan bagi dua sistem jenayah berasingan di negara itu, di mana agama dan bangsa sering seiringan.

Kebanyakan orang Melayu di negara itu adalah Islam; dengan mempunyai kepelbagaian etnik Cina dan India dengan jumlah bilangan orang asli yang tidak besar. Kira-kira 61 peratus daripada 30.5 juta rakyat Malaysia beragama Islam.

Persekutuan v syariah

Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia mencadangkan bahawa banyak pengkritik paling lantang rang undang-undang berkenaan berkemungkinan tidak membacanya dengan jelas.

Undang-undang itu hanya melibatkan kepada orang Islam dan dengan jenayah yang tidak dilindungi oleh undang-undang jenayah persekutuan, katanya kepada BeritaBenar. Selain itu, ia mesti diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri sebelum boleh dikuat kuasa, kerana negeri mempunyai bidang kuasa keatas agama di Malaysia.

"Antara soalan yang lebih penting ialah apa yang akan berlaku [di bawah undang-undang yang dicadangkan] jika, sebagai contoh, seorang wanita Islam telah dirogol oleh seorang lelaki bukan Islam. Adakah lelaki itu didakwa di bawah undang-undang syariah, atau undang-undang persekutuan, "katanya.

"Jawapannya adalah sangat mudah. Bahawa bukan Islam tidak boleh didakwa di bawah undang-undang syariah kerana rogol (sebagai satu jenayah) yang jatuh di bawah bidang kuasa persekutuan ... Walaupun rang undang-undang itu diluluskan ia tidak membuat jenayah beralih kepada bidang kuasa negeri."

Zulhazmi Shariff, seorang pakar undang-undang syariah, berkata pindaan itu tidak akan membolehkan hukuman seperti memotong tangan kerana mencuri.

"Jenayah kecurian dan rogol, yang boleh dihukum di bawah undang-undang hudud, hanya boleh dibawa ke Mahkamah Sivil di bawah Perlembagaan Persekutuan. Mahkamah Syariah tidak mempunyai bidang kuasa keatasnya," tambah beliau.

Hukuman hudud yang termaktub dalam kitab suci umat Islam termasuk sehingga 100 sebatan untuk hubungan seks haram; sehingga 80 sebatan bagi tuduhan palsu zina; sehingga 80 sebatan kerana minum arak; dan kematian atau buang negeri untuk murtad, atau meninggalkan keimanan seseorang.

"Kecuali Arab Saudi, hukuman hudud jarang digunakan, walaupun baru-baru ini ideologi fundamentalis telah meminda pengenalan semula hudud, terutamanya di Sudan, Iran dan Afghanistan," menurut laman web Pengajian Islam Oxford Online.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.