Festival Bir Sasaran Militan: Ketua Polis Malaysia

N. Nantha
2017.09.21
Kuala Lumpur
170921-MY-beer-620.jpg Seorang pelayan bar sedang mengisi bir dalam gelas di satu tempat di Bukit Bintang dalam daerah Kuala Lumpur, 20 Julai 2010.
[AFP]

Polis pada Khamis berkata, militan merancang untuk mensabotaj festival bir terbesar Malaysia, yang dibatalkan penganjurannya awal minggu ini selepas parti Islam mengingatkan bahawa acara minuman beralkohol itu boleh menggalakkan lagi kelakuan tidak bermoral.

Mengulas kebimbangan berkaitan keselamatan, ketua polis Malaysia berkata, jabatannya tidak membenarkan Festival ‘Better Beer’ 2017 diteruskan di Kuala Lumpur bulan depan, walaupun jika Dewan Bandaraya telah memberikan permit untuk acara tersebut.

Pada Isnin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengumumkan bahawa ia telah membatalkan permohonan pihak penganjur untuk mengadakan acara itu pada 6 dan 7 Okt, namun tidak menjelaskan mengapa ia berbuat demikian.

"Terdapat maklumat yang mendedahkan bahawa kumpulan militan merancang untuk mensabotaj festival itu kerana mereka menganggap acara itu bertentangan dengan perjuangan mereka," kata Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun dalam satu kenyataan.

Polis juga telah mendapat maklumat risikan bahawa "sesetengah pihak" merancang untuk mengganggu pesta bir itu dan ini boleh "membawa kepada satu situasi keselamatan," kata Mohammad Fuzi. Beliau tidak menamakan kumpulan militan atau pihak lain yang boleh menimbulkan kekacauan pada acara itu.

Pada Isnin, penganjur festival mengumumkan pembatalan acara tahunan itu buat pertama kalinya sejak pesta bir itu diadakan lima tahun lalu. Pihak penganjur menjangka kira-kira 6,000 orang akan berkumpul pada acara dua hari itu yang akan memaparkan 250 jenis bir dari sekurang-kurangnya 43 kilang bir di seluruh dunia.

"Pada pertemuan kami dengan pegawai-pegawai di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, kami telah diarahkan untuk membatalkan acara kami kerana ada masalah dengan permit," kata MyBeer, penganjur pesta bir itu dalam satu kenyataan.

"Kami seterusnya dimaklumkan bahawa keputusan itu dibuat kerana sensitiviti politik berhubung acara itu," kata penganjur itu.

Malaysia yang berbilang-bilang agama dan kaum  mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam, yang membentuk lebih daripada 60 peratus penduduknya. Ia juga mempunyai penganut Buddha, Hindu dan Kristian dengan agama dan kaum merupakan isu sensitif di negara itu.

Menggalakkan tingkah laku berdosa

Kontroversi mengenai pesta bir itu timbul  dalam kalangan kumpulan Muslim Malaysia awal bulan ini, apabila seorang pemimpin kanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Riduan Mohd Nor, menyifatkan sambutan itu sebagai "parti maksiat" yang akan menggalakkan pengambilan alkohol - yang dilarang terhadap umat Islam di negara itu - dan seks.

"Perayaan itu akan menjadikan Kuala Lumpur menjadi pusat maksiat terbesar di Asia," kata ahli jawatankuasa pusat parti itu.

Keputusan DBKL untuk tidak memberi kebenaran bagi mengadakan pesta bir itu telah mengecewakan rakyat Malaysia yang bukan Islam, dan pihak NGO menggesa dewan bandar raya itu menarik balik keputusannya.

"Adalah tidak menyakinkan apabila ‘sensitiviti politik’ dinyatakan sebagai sebab untuk mengharamkan aktiviti yang sememangnya sah. Kepelbagaian dan toleransi adalah kekuatan kita. Jangan biarkan pemikiran cetek dan tiadanya toleransi memusnahkannya, " kata Simon Lim Seng Chai, ahli lembaga Center for a Better Tomorrow dalam satu kenyataan.

Sejak beberapa tahun lalu, kumpulan pengganas telah menyasarkan beberapa syarikat di mana alkohol dihasilkan atau diminum, menurut pihak berkuasa tempatan.

Pada 2014, polis Malaysia menyatakan bahawa mereka telah menggagalkan rancangan  yang dikaitkan dengan Negara Islam untuk mengebom kilang Carlsberg di negara ini. Pada Jun tahun lepas, IS mendakwa bertanggungjawab atas kejayaan serangan pertama di negara Malaysia apabila penyerang melancarkan serangan bom tangan yang mencederakan lapan pelanggan di sebuah kelab malam di luar Kuala Lumpur. Dua lelaki telah disabitkan dengan kesalahan itu dan dihukum penjara selama 25 tahun masing-masing bagi serangan tersebut.

Pada Khamis, seorang pemimpin kanan pembangkang mempersoalkan kenyataan ketua polis negara mengenai pesta itu.

"Dua minggu sebelum sambutan Hari Merdeka Ke-60, Ketua Polis Perak mendedahkan bahawa Negara Islam merancang untuk melancarkan serangan di Perak pada sambutan Hari Merdeka yang akan datang itu. Apakah kerajaan perlu membatalkan semua sambutan Merdeka di Perak hanya kerana laporan risikan sedemikian? "kata Lim Kit Siang dari Parti Tindakan Demokratik, lapor Malay Mail Online.

"Sudah tentu tidak, walaupun laporan risikan akan membolehkan lebih banyak bantuan pasukan polis ditempatkan di kawasan kritikal selain siap siaga yang lebih besar oleh pihak polis," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.