Ekonomi Negara Akan Terus Menguncup Suku Kedua Ekoran Impak Wabak COVID-19

Ray Sherman & Noah Lee
2020.05.13
Kuala Lumpur, Malaysia
200513-MY-BNMECO1000.jpg Gabenor Bank Negara Malaysia Nor Shamsiah Mohd Yunus semasa sidang media bersama Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde yang melawat bank pusat itu di Kuala Lumpur, 24 Jun, 2019.
[AFP]

Ekonomi Malaysia akan terus menguncup dalam suku kedua tahun ini, pertama kali sejak tahun 2009 dengan aktiviti ekonomi akan dilihat lebih rancak dalam separuh kedua berikutan langkah-langkah yang diambil di peringkat global dan tempatan bagi mengekang penularan virus COVID-19 menurut Bank Negara Malaysia (BNM) pada Rabu.

Malaysia mencatatkan kadar 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini terendah direkodkan dalam tempoh 10 tahun sejak 2009 dimana pada tahun itu negara merekodkan pertumbuhan sebanyak 1.2 peratus pada suku ketiga.

“Ekonomi Malaysia dijangka terus menguncup pada suku kedua. Ini adalah refleksi kepada durasi pembendungan yang dilakukan di peringkat nasional dan dunia. Selepas sekatan dilonggarkan dan Perintah Kawalan Pergerakan tamat, aktiviti ekonomi dijangka akan pulih secara berperingkat pada separuh kedua 2020.

“Langkah fiskal, monetari dan kewangan yang besar dan kemajuan dalam projek infrastruktur awam yang berkaitan dengan pengangkutan akan memberikan sokongan selanjutnya kepada pertumbuhan,” kata kenyataan bank itu.

BNM turut meramalkan yang ekonomi Malaysia dijangka mengalami pemulihan yang positif pada 2021, di mana sektor perkhidmatan dan pembuatan mencatatkan peningkatan 3.1 peratus dan 1.5 peratus bagi tempoh tiga bulan pertama 2020, manakala sektor-sektor lain semuanya menunjukkan penurunan.

"Dari segi perbelanjaan, permintaan dan pelaburan luar negeri merosot, sementara penggunaan swasta meningkat sederhana. Berdasarkan suku tahunan terlaras secara bermusim, ekonomi menguncup sebanyak 2.0 peratus.

"Pertumbuhan yang sederhana ini disebabkan oleh kesan tindakan yang diambil pada peringkat global dan dalam negeri untuk membendung penularan pandemik COVID-19, “ tambah bank pusat itu.

Kenyataan itu juga berkata bagi peringkat dalam negeri, pertumbuhan sederhana yang berlaku adalah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP).

“PKP yang merangkumi kawalan ke atas pergerakan domestik dan antarabangsa serta mengehadkan waktu bekerja serta mewajibkan penjarakan sosial yang telah merencatkan aktiviti ekonomi secara signifikan,” kata BNM.

Pada suku pertama tahun 2020, ringgit menyusut nilai sebanyak 4.9 peratus berbanding dengan dolar AS, dan mencatatkan penurunan lebih rendah lagi pada 12 Mei, kata bank itu.

"Hasil daripada penghindaran risiko yang berterusan dalam pasaran kewangan global dan permintaan untuk aset selamat, Malaysia terus mengalami aliran keluar portfolio bukan pemastautin dan ringgit menyusut nilai sebanyak 5.8 peratus berbanding dengan dolar Amerika  pada 2020 iaitu setakat 12 Mei."

Selain Malaysia, wabak COVID-19 turut memberikan impak kepada negara Asia lain seperti Vietnam yang mencatatkan penurunan KDNK ke tahap terendah dalam tempoh 10 tahun kepada paras 3.8 peratus dan ekonomi Thailand turut dilaporkan telah menguncup sebanyak sekurang-kurangnya 5 peratus disebabkan virus tersebut.

Pelan pemulihan ekonomi

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata kerajaan akan memperkenalkan satu pelan pemulihan ekonomi jangka pendek dan sederhana bagi menjana semula pertumbuhan ekonomi negara.

Pelan berkenaan antara lainnya akan memberikan penekanan terhadap garis panduan kesihatan dan prosedur operasi selamat di dalam norma-norma baharu, pembinaan kapasiti, pengambilan pekerja dan pewujudan kerjaya.

Ia juga akan mencakupi usaha kerajaan untuk menyokong penstrukturan semula, pemulihan dan perkembangan industri kecil-sederhana (PKS).

"Dengan langkah-langkah yang akan dimaklumkan pada masa terdekat ini, Kerajaan yakin Malaysia mampu berada dalam persiapan yang kukuh untuk menghadapi keadaan ekonomi global yang semakin mencabar ini,” kata beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pula berkata bahawa negara bersedia untuk bekerjasama dengan Iran di dalam melawan pandemik COVID-19.

Beliau berkata demikian selepas menerima panggilan telefon daripada presiden Iran, Hassan Rouhani awal Rabu.

"Kami turut berbincang bagaimana untuk meningkatkan kerjasama dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan, pelaburan, pelancongan dan pendidikan tinggi," kata Muhyiddin melalui satu hantaran dalam laman media sosial Facebook beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.