Kumpulan pemantau rasuah persoal tender kontrak servis kapal selam kepada Boustead

Perjanjian jutaan ringgit ditandatangani bersama konglomerat tercemar rasuah yang dikaitkan dengan projek kapal tempur penuh kontroversi.
Iman Muttaqin Yusof & Ili Shazwani Ihsan
2023.05.18
Kuala Lumpur
Kumpulan pemantau rasuah persoal tender kontrak servis kapal selam kepada Boustead Kapal selam pertama Malaysia, “KD Tunku Abdul Rahman,” kapal selam diesel-elektrik Scorpene buatan Perancis, berlabuh di Pelabuhan Klang di luar Kuala Lumpur 3 Sept. 2009.
[Bazuki Muhammad/Reuters]

Sebuah kumpulan pemerhati rasuah pada Khamis mempersoalkan keputusan Kementerian Pertahanan Malaysia memberi kontrak baharu bernilai AS$31 juta kepada sebuah syarikat pembuat kapal yang sedamh disiasat atas dakwaan salahlaku serta lambat dalam menyiapkan kapal tempur tentera laut yang ditempah negara itu di bawah perjanjian lain bernilai bilion dolar.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (Pusat C4) berkata adalah sesuatu yang "mengejutkan" apabila Putrajaya memberikan kontrak baharu bagi perkhidmatan sokongan untuk kapal selam sedia ada milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kepada Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) yang dikaitkan dengan siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dan salah urus dalam pembuatan kapal tempur yang dibuat tanpa melalui proses tender terbuka.

"Ia adalah sesuatu yang merisaukan apabila Kementerian Pertahanan membuat keputusan untuk memberi dua kontrak kepada syarikat BHIC Submarine Engineering Services (BSES) bagi membekalkan perkhidmatan sokongan interim dan penyelenggaraan kemudahan, di mana BSES merupakan anak syarikat milik penuh Boustead Heavy Industries Corporation Bhd yang bermasalah.

"Dengan pengetahuan ini, adalah mengejutkan apabila pihak kementerian sanggup mengambil risiko akan berlaku sekali lagi skandal dengan memberikan lebih banyak kontrak pertahanan kepada syarikat yang mempunyai hubungan langsung dengan BHIC.

“Terutama sekali apabila siasatan menunjukkan bahawa kerugian dialami kerajaan dalam skandal LCS (kapal tempur pesisir) yang sebahagiannya berpunca daripada salah guna kuasa dan kegagalan di pihak Boustead Naval Shipyard," kata Pushpan Murugiah, pemangku ketua eksekutif Pusat C4 kepada BenarNews.

"Cara kontrak-kontrak ini diberikan nampak seperti dilakukan melalui rundingan terus dan bukannya melalui proses tender terbuka, dan ini menimbulkan lebih banyak persoalan mengapa Kementerian Pertahanan memilih syarikat yang dilanda kontroversi untuk mengendalikan projek-projek ini," dakwa Pushpan.

Menurut satu pengumuman oleh syarikat terbabit pada Khamis, sebuah kontrak bernilai RM99.8 juta (AS$22 juta) telah diberikan kepadanya bagi menyediakan perkhidmatan sokongan interim untuk "Kapal Selam Kelas Perdana Menteri" milik TLDM.

Selain itu, Kerajaan juga telah melanjutkan satu lagi kontrak untuk menyelenggara kemudahan fasiliti kapal selam dengan nilai RM40.2 juta (AS$8.8 juta) kepada syarikat itu.

Keputusan itu telah menerima kecaman kerana BHIC merupakan pemegang saham majoriti Boustead Naval Shipyard Sdn Bhd, yang terbabit dalam projek LCS yang bermasalah, di mana ia masih tidak berjaya untuk menyiapkan dan menghantar walau satu daripada enam kapal tempur pesisir yang ditempah kerajaan untuk TLDM.

Menurut laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara tahun lepas, projek LCS itu yang bernilai RM9 bilion (AS$1.9 bilion) telah dicemari dengan salah laku pengurusan dan penyelewengan, menyebabkan kegagalan untuk menyiapkan tempahan kapal walaupun Kerajaan telah membelanjakan sejumlah RM6 bilion (AS$1.3 bilion).

Laporan audit forensik turut mendedahkan BHIC kemungkinan kehilangan sejumlah RM890 juta (AS$196 juta) disebabkan masalah dalam pengurusan kewangan.

Susulan daripada skandal itu dan siasatan oleh pihak berkuasa, pengarah urusan BHIC, Ahmad Ramli Mohd Nor, yang merupakan bekas panglima TLDM, telah didakwa di mahkamah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah membabitkan wang berjumlah RM21.08 juta (AS$4.6 juta) berkaitan dengan projek terbabit.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki telah memberitahu media pada Mac lepas bahawa siasatan ke atas projek LCS itu masih berjalan.

"Kita akan memanggil lebih ramai saksi, bukan sahaja di Malaysia tetapi juga individu dari luar negara, untuk merakam keterangan mereka. Oleh kerana pegawai penyiasat kita perlu mendapatkan keterangan dari luar negara, kita memerlukan sedikit masa lagi," beliau dilaporkan berkata.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang antara komitmennya dalam pertadbiran Kerajaan Perpaduan berjanji untuk memerangi rasuah di negara itu telah turut berulang kali menekankan mengenai keperluan bagi SPRM mengambil langkah susulan dan mengenalpasti dalang sebenar yang bertanggungjawab ke atas kelewatan pembinaan LCS.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Mohamad Hasan berkata bahawa kapal LCS pertama dijangka akan diterima dan sedia beroperasi pada 2026.

BenarNews telah menghubungi Mohamad Hasan melalui pejabatnya untuk mendapatkan komen berkenaan isu kontrak baharu berkaitan kapal selam, dan telah dimaklumkan bahawa beliau akan mengeluarkan satu kenyataan media mengenai kontrak tersebut sekiranya perlu.

Buat masa ini, Malaysia memiliki dua kapal selam jenis Scorpene, dan kerajaan merancang untuk membeli lebih lagi bagi memperkukuhkan pertahanan negara dengan Kementerian Pertahanan pada Februari lepas berkata kapal selam akan menjadi aset strategik bagi meningkatkan keupayaan negara dalam pertahanan maritim, selari dengan keperluan serantau dan global, terutama sekali di Laut Cina Selatan.

Kementerian itu bagaimanapun tidak memperincikan mengenai jenis kapal selam yang ingin diperolehi mereka pada masa depan.

Pada tahun 2002, Malaysia telah membeli dua kapal selam dari syarikat Thales dari Perancis dengan perbelanjaan sebanyak AS$1.2 bilion. Perolehan tersebut yang dibuat semasa Najib Razak memegang jawatan menteri pertahanan turut diselubungi skandal selepas dikatakan melibatkan rasuah.

Agensi berita antarabangsa AFP melaporkan pada tahun lepas bahawa Thales, sebuah syarikat yang mempunyai pengkhususan dalam bidang aeroangkasa, pengangkutan serta pasaran sekuriti, telah didakwa bersubahat dalam perbuatan rasuah membabitkan perolehan kapal selam berkenaan.

Justifikasi

Beberapa pakar keselamatan menggesa kerajaan memberikan justifikasi mengenai isu dua kontrak baharu itu dan supaya lebih bersifat telus dalam isu perolehan awam, terutama sekali dalam kes ini kerana mempunyai kaitan antara BHIC dan projek LCS.

"Perkara pertama yang perlu orang ramai tahu adalah justifikasi di sebalik keputusan kerajaan memilih syarikat yang berkait dengan Boustead, selepas apa yang berlaku dengan projek LCS," kata Mohd Mizan Mohammad Aslam, pensyarah di Universiti Pertahanan Awam Malaysia, kepada BenarNews.

"Ia adalah penting bagi kerajaan, iaitu di peringkat kementerian, menyediakan penjelasan kepada umum. Saya percaya bahawa kerajaan dan kementerian telah menyediakan justifikasi-justifikasi mereka dan ini adalah masanya untuk mereka menjelaskan isu ini kepada umum."

Namun, kata Mizan, beliau percaya dua kontrak baharu yang diberikan kepada BSES itu adalah disebabkan kepakaran syarikat berkenaan dalam hal-ehwal perkapalan.

"Kita kena mengakui bahawa hanya ada beberapa syarikat kejuruteraan yang mempunyai kepakaran dalam hal-ehwal kapal tentera dan mampu untuk melaksanakan projek tersebut. Dan BSES adalah salah satu daripadanya.

"Ia bermakna kita percaya dengan kebolehan syarikat ini untuk menjalankan kerja sebaik mungkin. Kerana tidak ramai yang mempunyai pengetahuan untuk mengendalikan kerja sedemikian dalam sejarah moden, jadi Boustead adalah salah satu daripada beberapa syarikat yang telah diberikan peluang untuk menyediakan perkhidmatan dalam industri berkait tentera laut kita," tambah beliau.

Bagi penganalisis politik Mohamad Faisol Keling, beliau menekankan mengenai kepentingan pertahanan negara dan mengelakkan isu kontrak kepada Boustead itu daripada dipolitikkan.

"Isu kapal LCS tidak sepatutnya dijadikan isu politik lagi kerana pelbagai siasatan telah dijalankan. Semua pihak perlu memberikan kepentingan kepada aspek keselamatan sebagai perkara utama bagi negara," kata Faisol, pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia, kepada BenarNews.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.