BRN Terlibat dalam Usaha Damai Selatan Thailand, Tegas MARA Patani

Nani Yusof & Razlan Rashid
2017.09.18
Washington & Kuala Lumpur
170918-TH-bomb-1000.jpg Seorang anggota forensik Thailand memeriksa lokasi serangan bom di pasar raya Big C di Patani, 9 Mei 2017.
[AFP]

Susulan ulasan yang dibuat oleh ketua perunding Thailand, jurucakap MARA Patani menegaskan bahawa pemberontak Barisan Revolusi Nasional (BRN) berada dalam panel perbincangan bagi rundingan damai tidak rasmi, dan ia masih diteruskan walaupun terdapat perbezaan pendapat mengenai gencatan senjata terhad pada pertemuan minggu lalu.

Tiga ahli BRN menduduki panel berkenaan, dan laporan mengenai ketidaksepakatan berhubung apa yang dikenali sebagai zon keselamatan pada pertemuan yang dipendekkan itu, telah sengaja digembar-gemburkan untuk menjejaskan proses damai di Selatan Thailand, kata jurucakap MARA Patani Abu Hafez Al-Hakim kepada BeritaBenar.

"Awang Jabat adalah pengerusi MARA Patani... Shukri Haree adalah ketua pasukan dialog manakala Ahmad Chuwo juga berada dalam pasukan dialog itu. Kesemua mereka adalah ahli BRN, "katanya.

MARA Patani menyatakan bahawa ia adalah organisasi induk yang mewakili BRN, kumpulan pemberontak paling berkuasa di Selatan Thailand, dan kumpulan-kumpulan pemberontak lain dalam perbincangan tidak rasmi dengan kerajaan tentera Thailand yang bermula sejak 2015.

"Pada masa ini, beberapa butiran kecil mengenai isu-isu tertentu yang berkaitan dengan zon keselamatan, terutamanya daripada pihak Thailand, belum ditangani dengan memuaskan. Lebih banyak perbincangan dan penjelasan masih diperlukan, maka, pelaksanaannya terpaksa dilewatkan," kata Abu Hafez.

"Keadaan ini bukannya tidak normal dalam mana-mana proses damai di mana rakan dialog akan berbeza pendapat. Pendekatan yang betul adalah dengan meneruskan dialog ini, bukan dengan menolaknya. "

Menjawab pertanyaan BeritaBenar, Abu Hafez berkata beliau bersetuju dengan ulasan perunding utama kerajaan Thailand, Jeneral Aksara Kerdpol, pada Sabtu bahawa ahli BRN adalah sebahagian daripada mereka yang menyertai perbincangan itu. Aksara juga menafikan laporan sebuah agensi berita bahawa "bekas" anggota BRN menyertai pasukan perbincangan itu.

"Saya tidak mahu mengulas mengenai laporan Reuters kerana orang itu [ahli BRN] tidak mempunyai kuasa untuk bercakap bagi pihak BRN, walaupun orang itu adalah anggota BRN, dan mungkin dia bercakap dalam kapasiti peribadi, " kata Abu Hafez, sambil memberitahu bahawa tiga daripada tujuh ahli teknikal adalah anggota kumpulan pemberontak itu.

Para perunding tidak menyatakan bila perbincangan itu akan disambung semula.

Perbincangan itu yang diadakan di Kuala Lumpur sejak lebih dari dua tahun lalu dan dipermudahkan oleh Malaysia, belum membawa kepada gencatan senjata yang sebelum ini mahu dilaksanakan di satu daerah di Selatan Thailand, walaupun kedua-dua pihak telah bersetuju dengan rangka kerja zon keselamatan itu pada Februari lalu.

Enam bulan kemudian, para perunding masih belum bersetuju dengan daerah yang perlu dipilih daripada lima daerah berpotensi untuk dilaksanakan zon keselamatan itu, yang bertujuan membantu menamatkan konflik tersebut yang telah menyebabkan hampir 7,000 orang terkorban di kawasan yang majoriti penduduknya adalah orang Islam dan berbahasa Melayu sejak 2004.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.