Pakaian terpakai Amerika Syarikat jadi "harta karun" di Selatan Thailand

Membeli dan mengguna pakaian terpakai sudah sebati menjadi budaya kehidupan masyarakat di wilayah sempadan Selatan Thailand.
Asmadee Bueheng
2025.02.19
Pattani dan Yala, Thailand
Pakaian terpakai Amerika Syarikat jadi "harta karun" di Selatan Thailand Pembeli memilih baju terpakai yang dijual secara longgok di Pasar Pagi Yaring di wilayah Pattani, Selatan Thailand, 2 Februari 2025.
[Arifeen Paehohele/BenarNews]

Piya Dueramae, seorang peniaga pakaian terpakai di Yala, Selatan Thailand menghabiskan banyak masanya mencari barangan unik di pasar-pasar sekitar wilayah itu untuk dijual.

Peniaga berusia 43 tahun itu berkata hubungannya dengan pakaian terpakai sudah tersemai sejak kecil lagi apabila ibu bapanya memperkenalkannya dengan pasar yang menjual barangan tersebut.

“Di Yala, kami membesar dengan pergi ke Pasar Maprao untuk membeli pakaian,” kata Piya kepada BenarNews, merujuk kepada pasar pakaian terpakai yang terkenal di wilayah tersebut.

“Ketika kanak-kanak di bandar membeli-belah di gedung beli-belah, ibu bapa kami membawa kami ke pasar pakaian terpakai. Ia menjadi satu cara hidup, satu budaya.”

Antara “harta karun” yang boleh ditemui di pasar-pasar pakaian terpakai di selatan Thailand ialah seluar jean biru dan kemeja-T yang memaparkan wira aksi Marvel Comics, yang kebanyakannya diimport dari Amerika Syarikat (AS).

thaibundle-2.jpeg
Peniaga pakaian terpakai, Piya Dueramae (kanan) dan Adinan Matiyoh mempamerkan kemeja-T vintaj yang menampilkan kumpulan rock “The Rolling Stones” di Pasar Maprao di daerah Mueang, wilayah Yala, Selatan Thailand, 8 Februari 2025. [Arifeen Paehohele/BenarNews]

Budaya pakaian terpakai di Selatan Thailand

Wilayah sempadan selatan yang majoritinya dihuni oleh masyarakat Melayu Muslim lebih dikenali kerana konflik pemberontakan pemisah yang berpanjangan, berbanding pasaran pakaian terpakai yang berkembang pesat.

Namun, budaya pakaian terpakai telah lama menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk di wilayah itu.

Bagi penduduk berpendapatan rendah di wilayah ini, pakaian terpakai membolehkan mereka memiliki pakaian berjenama terkenal pada kadar harga yang berpatutan.

Populariti pakaian terpakai kian meningkat seiring dengan trend global fesyen vintaj.

Menurut Thitaree Srisurat, editor Jurnal Rusamilae di Universiti Prince of Songkla, Pattani, jualan pakaian terpakai di wilayah sempadan selatan bermula pada 1973.

“Ketika itu, penduduk kampung dari daerah Yaring, Pattani yang bekerja sebagai nelayan di Malaysia membawa balik pakaian dan barangan terpakai dari Malaysia untuk dijual di kampung,” tulis Thitaree dalam satu artikel pada 2021.

“Perniagaan ini mendapat sambutan hangat dan banyak keluarga menjadikannya sebagai sumber pendapatan utama. Sekitar 20 peratus daripada masyarakat setempat terlibat dalam perniagaan pakaian terpakai dan ada keluarga yang masih meneruskannya sehingga kini.”

thai-bundle3.jpeg
Soliha Ayohsae, seorang peniaga pakaian terpakai berbual dengan pelanggan (tidak kelihatan) di gerainya di Pasar Maprao, daerah Mueang, wilayah Yala, Selatan Thailand, 8 Februari 2025. [Arifeen Paehohele/BenarNews]

Harga murah tetapi berkualiti

Dengan trend kenaikan kos sara hidup, faktor utama yang mendorong pembelian penduduk lebih gemar membeli pakaian terpakai adalah kerana harganya lebih murah.

“Penduduk di sini tidak mampu membeli barangan mahal dan kerana ia adalah pakaian terpakai, mereka tidak kisah memakainya untuk bekerja di ladang,” jelas Thitaree.

Soliha Ayohsae, seorang peniaga veteran pakaian terpakai pernah memiliki kedai pakaian biasa di Bangkok sebelum bertukar angin dengan menjual pakaian terpakai di Selatan Thailand yang mendapat permintaan yang lebih tinggi.

“Di sini lebih mudah dan pantas untuk menjual berbanding di Bangkok kerana harganya lebih murah. Walaupun keuntungan bagi setiap helai pakaian di Bangkok lebih tinggi, jualannya agak perlahan.

"Di wilayah selatan, orang ramai lebih kerap membeli pakaian terpakai dalam jumlah yang banyak. Oleh kerana ia pakaian terpakai, mereka tidak mempunyai masalah untuk menukar pakaian dengan kerap,” katanya kepada BenarNews.

“Penduduk di sini lebih suka pakaian terpakai kerana ia berjenama, berkualiti tinggi dan mampu milik…permintaannya sentiasa kukuh.”

Pasaran pakaian terpakai berkembang

Industri pakaian terpakai telah menyaksikan pertumbuhan pesat di peringkat global. Menurut ThredUp, sebuah pasar jualan semula yang berpangkalan di Amerika Syarikat merekodkan saiz pasaran pakaian terpakainya dalam industri pakaian global dijangka mencapai 10 peratus pada 2025 bersamaan dengan nilai AS$ 246 bilion.

Pasaran tersebut dijangka berkembang pada kadar tahunan 12 peratus dari 2024 hingga 2027, mencecah kira-kira AS$350 bilion pada 2027, dengan Asia dijangka menyumbang sebanyak 41 peratus.

Thailand juga mengalami pertumbuhan pesat dalam pasaran pakaian terpakai. Pada 2023, pasaran pakaian terpakai di Thailand dianggarkan bernilai 1.8 bilion baht (AS$53.4 juta), meningkat sebanyak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya, menurut laporan SCB Economic Intelligence Center.

Ia dijangka terus berkembang pada kadar 15 peratus setahun sehingga 2027, kata laporan itu.

Bagaimanapun, data bagi 2024 belum diperoleh.

Dalam pada itu, setakat ini belum ada lagi kajian khusus mengenai pasaran di Selatan Thailand, di mana budaya membeli pakaian terpakai telah wujud sejak berdekad lalu.

Pakaian terpakai di Selatan Thailand banyak didapati di pasaran utama seperti Pasar Maprao di Yala serta pasar Rusamilae dan Yaring di Pattani.

Para pembeli terdiri daripada penduduk tempatan dan pengumpul pakaian vintaj yang memburu pakaian buatan Amerika, seperti seluar jeans klasik.

Kebanyakan pakaian terpakai dari AS dihantar melalui kapal kargo ke Malaysia sebelum diimport ke Thailand oleh pemborong tempatan.

Menurut Soliha, pakaian terpakai dari AS sangat popular dan mendapat permintaan tinggi kerana kualitinya.

“Pakaian ini mungkin telah dibuang di Amerika, tetapi di sini ia menjadi harta karun. Orang ramai membelinya untuk bekerja, bertani, ke pejabat malah sebagai fesyen. Kualitinya baik, harganya murah dan fesyen vintaj tidak pernah lapuk,” katanya.

“Pasar Maprao adalah syurga membeli-belah. Kami menerima pelanggan dari kawasan sempadan Malaysia, Pakistan dan pelancong Barat. Saya memperoleh pendapatan lebih 100,000 baht (AS$2,966) sebulan.”

Seguni pakaian terpakai yang diimport dari Malaysia yang mengandungi antara 200-220 helai kemeja-T atau 150-180 jaket atau seluar berharga sekitar 1,000 baht (AS$29.6).

Di Pasar Maprao, pakaian terpakai tersebut boleh dijual dari serendah 5 baht (AS$0.14) sehelai hingga berpuluh ribu baht bergantung pada jenama dan keunikan barang tersebut.

Permintaan tinggi terhadap pakaian terpakai turut menyaksikan beberapa item dijual dengan harga lelong yang menarik perhatian pelanggan.

Sebagai contoh, kemeja-T vintaj (1997) Marvel Comics dengan watak Spider-Man, Daredevil dan Silver Surfer dijual pada harga 220,000 baht (AS$6,526) dalam satu lelongan dalam talian.

"Pengumpul dari Jepun kebanyakannya meminati kemeja-T dari AS terutamanya yang dihasilkan daripada kain "cotton" dan kemeja-T kumpulan muzik," katanya.

Piya berkongsi pengalaman bagaimana dia membeli sehelai kemeja-T vintaj edisi 1970-an di Pasar Maprao pada harga 80 baht (AS$2.37) dan menjualnya semula pada harga 22,000 baht (AS$654).

Pakaian tentera terpakai, pakaian kerja, denim, jersi dan kemeja Hawaii turut mendapat permintaan tinggi.

Pakaian tentera dari Perang Dunia Kedua, Perang Korea dan Perang Vietnam mempunyai nilai tinggi terutamanya yang mempunyai cetakan unit khas.

Selain itu, cenderamata tidak rasmi kumpulan muzik yang dijual di luar tapak konsert, turut menjadi trend dan mempunyai ramai peminat. 

“Ada yang mencecah harga lebih 100,000 baht (AS$2,800) setiap satu, lebih mahal daripada cenderamata rasmi kumpulan muzik,” kata Piya.

thai-bundle4.jpeg
Orang ramai menunggang motosikal melintasi Pasar Rusamilae, sebuah pasar pakaian terpakai dengan gerai-gerai (kiri) dibuka sepanjang lebih 3.2 kilometer di daerah Mueang, wilayah Pattani Selatan Thailand, 2 Februari 2025. [Arifeen Paehohele/BenarNews]

Persaingan sengit

Bagaimanapun, persaingan semakin sengit apabila permintaan meningkat. Kebanyakan peniaga membeli pakaian bernilai tinggi di selatan untuk dijual semula di Bangkok selain semakin ramai pengumpul dari Jepun datang ke Thailand untuk memburu pakaian vintaj.

Susulan lonjakan permintaan, peniaga perlu mengembangkan pengetahuan tentang produk barangan vintaj bagi memastikan mereka kekal dapat bersaing dalam pasaran yang kian berkembang di peringkat global.

“Perniagaan ini bukan sekadar minat lagi, kami menjadikannya sebagai sumber pendapatan untuk menyara keluarga dan menampung kos pendidikan anak-anak,” kata Piya.

“Kami perlu sentiasa belajar dan menyesuaikan diri. Pasaran pakaian terpakai berubah dengan pantas dan hanya mereka yang terus belajar dan berkembang akan mampu bertahan.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.