Pasangan Ahli Politik dan Selebriti Didakwa Terima Rasuah RM2.8 juta

Radzi Razak & Noah Lee
2019.05.03
Kuala Lumpur, Malaysia
190503-MY-Bung-Felcra620.jpg Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin bersama isteri Zizie Ezette A Samad semasa keluar dari ruang mahkamah di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan rasuah, 3 Mei, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Anggota Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya pelakon Zizie Ezette A Samad masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menerima rasuah bernilai lebih 2.8 juta ringgit (AS$676,592) selepas mendapatkan kelulusan bagi Felca Berhad membuat pelaburan 150 juta ringgit (AS$36.24 juta) dalam produk unit amanah Public Mutual Berhad, empat tahun lepas.

Bung Moktar yang juga Pengerusi UMNO Sabah tiba bersama isterinya untuk perbicaraan secara berasingan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Jumaat.

Anggota Parlimen itu nampak tenang semasa perbicaraan dan mengaku tidak bersalah ketika tiga pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozina Ayob.

"Saya mengaku tidak bersalah dan minta bicara," kata beliau yang memakai sut berwarna hitam dan baju kemeja putih kepada Hakim berkenaan.

Ketiga-tiga pertuduhan tersebut didakwa dilakukan ketika Bung, 60 atau nama sebenarnya Moktar Radin menjadi Pengerusi Bukan Eksekutif Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan Berhad (Felcra) empat tahun lalu.

Isterinya pula yang dibicara secara berasingan turut mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya memperolehi rasuah berjumlah 2.8 juta ringgit itu, di hadapan Hakim Azura Alwi.

"Saya tidak mengaku bersalah," kata beliau kepada Hakim Azura selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen Jenayah 9.

Dalam pertuduhan pertama, Bung dituduh menerima suapan berupa wang tunai 2.2 juta ringgit (AS$531,608) daripada seorang ejen pelaburan Public Mutual Berhad pada 12 Jun 2015.

Suapan itu dibayar sebagai upah bagi mendapatkan kelulusan daripada Menteri Kewangan II supaya Felcra membuat pelaburan sebanyak 150 juta ringgit untuk menyertai produk unit amanah Public Mutual Berhad.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga pula, Bung didakwa menerima suapan 262,500 ringgit (AS$63,430) dan 337,500 ringgit (AS$81,553) melalui akaun bank yang didaftarkan atas nama isterinya, Zizie pada 19 Jun 2015.

Kesemua wang itu diberi oleh dua ejen pelaburan Public Mutual Berhad iaitu Madhi Abdul Hamid, 38, dan Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui akaun Public Iktikal Sequel Fund (PITSEQ).

Kesemua kesalahan itu dilakukan di Public Bank Berhad cawangan Taman Melawati, Jalan Bandar 12, Taman Melewati, Kuala Lumpur, antara 12 hingga 19 Jun 2015.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) yang boleh dihukum mengikut subseksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau 10 ribu ringgit mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Suami isteri bicara bersama

Kedua suami isteri itu diwakili peguambela K. Kumaraendran yang juga mewakili isteri bekas perdana menteri Najib Razak, Rosmah Mansor dalam pertuduhan rasuah beliau.

Kumaraendran juga tidak membantah ikat jamin yang dikemukakan oleh pendakwaraya Umar Saifuddin Jaafar bagi kes Bung Mokhtar dan Mohd Mukhzany Fariz Mohd Mokhtar bagi kes Zizie di mana keduanya diminta membayar wang jamin sebanyak 100 ribu setiap seorang (AS$24,164) dengan masing-masing seorang penjamin serta syarat tambahan di mana pasport antarabangsa perlu diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.

"Kami bersetuju dengan permohonan pendakwaraya (mengenai) ikat jamin tersebut," kata Kumaraendran.

Rozina menetapkan tarikh sebutan semula kes Bung Mokhtar pada 10 Jun depan.

Sementara itu, Azura turut bersetuju menetapkan sebutan semula kes Zizie pada tarikh yang sama selepas pendakwaraya memohon perbicaraan dilakukan bersama.

"Kami memohon kedua perbicaraan ini dilakukan bersama kerana ia berkaitan," kata Umar.

Bung dan Zizie meninggalkan perkarangan mahkamah kira-kira jam 11 pagi.

Kedua mereka termasuk peguam tidak memberi sebarang kenyataan kepada media.

Rabu lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan kepada BeritaBenar mengenai penahanan dan siasatan terhadap kedua suami isteri ini.

"Ya, ia berkaitan kes Felcra," kata beliau ketika dihubungi pada masa itu.

SPRM kemudiannya mengeluarkan kenyataan yang memaklumkan Bung Moktar ditahan 10.50 pagi pada 1 Mei di pejabat SPRM Sabah manakala Zizie Izette ditahan di pejabat SPRM Putrajaya pada 11.15 pagi pada tarikh yang sama selepas mereka hadir untuk melengkapkan proses siasatan akhir berkenaan kes rasuah itu.

Bung Moktar merupakan satu-satunya Anggota Parlimen UMNO dari Sabah yang memenangi Pilihan Raya Umum lalu dan masih kekal bersama UMNO.

Enam lagi Anggota Parlimen sudahpun keluar dengan empat menyertai Parti Bersatu dan dua lagi menjadi Anggota Parlimen bebas.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi dan Strategik UMNO Sabah, Ghazalie Ansing semasa mengulas penahanan dan pendakwaan Bung Moktar dan isterinya mendakwa isu rasuah melibatkan pemimpin Sabah itu berkemungkinan merupakan mainan politik bagi menghadapi pilihan raya kecil Sandakan pada 11 Mei depan.

Bekas Perdana Menteri Najib Razak turut hadir di mahkamah untuk memberikan sokongan moral kepada Bung dan isterinya itu.

Najib berdepan dengan 42 pertuduhan jenayah bersabit rasuah, salahguna kuasa dan pengubahan wang haram berkaitan SRC International dan juga 1Malaysia Development Berhad.

Kes tujuh pertuduhan bersangkut SRC international sedang berjalan di mahkamah manakala kes bersangkut 1MDB akan mula bicara pada 19 Ogos selepas ditangguh dua kali bagi memberikan laluan untuk perbicaraan SRC International.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.