Buruh Paksa: Syarikat kaut keuntungan di kilang sarung tangan Malaysia disaman

Saman terhadap Kimberly-Clark Corp dan Ansell Ltd difailkan bagi pihak 13 warga Bangladesh untuk menuntut ganti rugi.
John Bechtel
2022.08.10
Washington
Buruh Paksa: Syarikat kaut keuntungan di kilang sarung tangan Malaysia disaman Seorang kakitangan perubatan menanggalkan sarung tangan getah selepas mengambil sampel semasa ujian COVID-19 di dewan badminton di Petaling Jaya, dekat Kuala Lumpur, 18 Jan, 2021.
(Mohd Rasfan/AFP)

KEMASKINI pada 12.30 pagi waktu tempatan ETS - 2022-08-11

Tiga belas pekerja Bangladesh menyaman dua syarikat iaitu dari Amerika dan Australia di sebuah mahkamah di Amerika Syarikat yang didakwa "secara sedar mendapat keuntungan" daripada pekerja buruh paksa di kilang membuat sarung tangan di Malaysia, demikian menurut kumpulan yang memfailkan saman itu.

Menurut saman yang difailkan di Washington pada Selasa, plaintif dalam kes terhadap Kimberly-Clark Corp (KCC) dan Ansell itu memohon untuk mewakili beribu-ribu pekerja lain yang didakwa secara sistematik telah diperdagang untuk terlibat dalam skim buruh paksa di kilang-kilang milik Kumpulan Brightway.

Syarikat Malaysia itu tidak dinamakan sebagai defendan tetapi perkataan ‘Brightway’ muncul lebih daripada 300 kali di dalam dokumen saman setebal 78 muka surat yang dilihat oleh BenarNews.

"Ansell dan KCC telah cuba mengekalkan reputasi awam mereka walaupun menggunakan buruh paksa, masing-masing mengeluarkan kenyataan mengenai dedikasi mereka untuk menangani dan menamatkan perhambaan moden," kata Peguambela Hak Asasi Antarabangsa dalam saman itu.

“Perkataan tanpa tindakan tidak bermakna dan sama sekali tidak menyelesaikan tanggungjawab dari segi undang-undang atau moral syarikat. Dasar syarikat telah berjaya mengelirukan pengguna namun tidak mengambil sebarang tindakan untuk mengatasi isu buruh paksa dalam rantaian bekalan mereka. Malah kenyataan itu membuktikan bahawa syarikat terbabit mempunyai pengetahuan mengenai isu buruh paksa dan mengiktiraf akauntabiliti mereka."

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa firma yang berpangkalan di Malaysia iaitu pengeluar sarung tangan getah pakai buang terkemuka di dunia, telah dikenakan larangan import atau sekatan yang dikuatkuasakan oleh pegawai kastam AS berhubung dakwaan penggunaan buruh paksa dan penyalahgunaan lain di tempat kerja. Pekerja dari Bangladesh dan Indonesia adalah antara komuniti pekerja asing terbesar yang ke Malaysia untuk bekerja sebagai buruh kasar dengan bayaran gaji yang tidak seberapa serta menuntut kerahan tenaga secara fizikal.

Saman itu, yang difailkan oleh Peguambela Hak Asasi Antarabangsa (IRA), sebuah organisasi undang-undang berpangkalan di Washington serta berdedikasi dalam menangani kes pelanggaran hak asasi manusia oleh syarikat multinasional, mendakwa kebanyakan warga Bangladesh terbabit telah membayar lebih AS$4,000 kepada perekrut untuk bekerja di kilang pengeluar sarung tangan di Malaysia itu.

Menurut saman itu, sebaik tiba di Malaysia, ramai yang pasportnya dirampas, mereka juga dipaksa bekerja berjam-jam tanpa cuti kecuali pada Aidilfitri dan terpaksa tinggal di dalam sebuah bilik bersama 70 orang. Gaji mereka turut disekat jika enggan bekerja lebih masa serta diberikan "akses terhad kepada makanan, air dan tandas."

Saman itu mendakwa Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS telah memfailkan Perintah Pelepasan Penahanan (WRO) terhadap Kumpulan Brightway pada 20 Dis 2021 dan ini bermakna sarung tangan getah keluaran syarikat itu tidak dapat dihantar ke pelabuhan AS.

WRO masih berkuat kuasa. Brightway adalah antara enam pengeluar sarung tangan Malaysia yang tertakluk kepada WRO agensi AS itu.

"Sebelum dikenakan WRO oleh CBP, Ansell dan KCC telah mengimport sarung tangan yang dikeluarkan oleh Brightway dan memperoleh keuntungan besar dengan mengedarkan produk itu di Amerika Syarikat," dakwa saman itu sambil menambah kedua-dua syarikat mengekalkan hubungan perniagaan dengan Brightway walaupun terdapat tindakan daripada pihak berkuasa AS terhadapnya.

Ibu pejabat Kimberly-Clark ialah di Irving, Texas manakala Ansell adalah sebuah syarikat dari Australia yang memiliki beberapa pejabat di AS

Peguam Terrence Collingsworth, yang juga Pengarah Eksekutif Peguambela Hak Asasi Antarabangsa, berkata saman terhadap pembuat sarung tangan di Malaysia itu adalah unik dan beliau cuba mengadakan pengantaraan serta mendapatkan penyelesaian terlebih dahulu.

“Setahu saya ini adalah kes pertama. Agak ganjil kerana penemuan CBP sepatutnya menjadikan kes ini lebih mudah,” katanya kepada BenarNews.

“Saya telah menghantar surat kepada kedua-dua syarikat. Saya ingat dengan penemuan CBP serta hubungan langsung antara Brightway dengan KCC dan Ansell, orang yang berfikiran rasional sudah tentu akan cuba menyelesaikannya daripada mengupah firma guaman gergasi yang akan mengenakan bayaran berjuta-juta, tetapi tidak. Mereka menolak dan meminta firma guaman itu menghubungi saya.”

Jurucakap Kimberly-Clark pula berkata syarikat itu "menentang segala bentuk buruh paksa dan kami komited untuk memastikan bahawa semua pekerja dalam rantaian bekalan kami dilayan secara berperikemanusiaan serta mengikut piawaian tempat kerja kami dan hak asasi manusia."

“Sebagai amalan, kami tidak mengulas secara spesifik perkara litigasi. Bagaimanapun, tindakan undang-undang ke atas Kimberly-Clark baru-baru ini adalah sama sekali tanpa merit,” kata jurucakap itu, Terry Balluck, kepada BenarNews melalui e-mel.

Sementara itu, pegawai syarikat Ansell belum memberikan maklum balas kepada permintaan BenarNews untuk mendapatkan komen manakala Pengarah Urusan Kumpulan Brightway Holdings G. Baskaran pula memaklumkan pihaknya tidak akan mengulas mengenai perkara itu.

Peguambela bersuara

Siaran berita yang dikeluarkan oleh Peguambela Hak Asasi Antarabangsa pada Rabu memetik Andy Hall, pakar hak buruh dan peguam bela bagi pekerja asing di Asia Tenggara, sebagai berkata pekerja Brightway telah “meminta bantuan saya untuk mengetengahkan isu mengenai keadaan daif di tempat kerja dan tinggal mereka kepada komuniti antarabangsa."

“Percubaan saya untuk berunding dengan Ansell dan KCC bagi menyelesaikan perkara ini secara relatifnya telah menemui jalan buntu,” katanya. ‘‘Melalui kerjasama dengan IRA dalam mengemukakan tuntutan saman yang inovatif terhadap Ansell dan KCC, saya berharap pekerja terjejas dapat memastikan kedua-dua syarikat global ini bertanggungjawab atas tadbir urus mereka yang lemah dan keadaan menyedihkan pekerja dalam rantaian bekalan mereka.’’

Balluck berkata Hall bercakap secara positif tentang Kimberly-Clark pada Disember dalam reaksi terhadap WRO.

“Walaupun beberapa topik yang membimbangkan masih dibincangkan antara saya dan KCC, saya mengakui bahawa usaha positif sememangnya telah dilakukan oleh KCC untuk menangani keadaan buruh paksa dalam Kumpulan Brightway, memperbaharui pendekatan syarikat dan mengeluarkan belanja yang besar bagi pemulihan pekerja di syarikat itu,” kata Hall dalam catatan Facebook pada 21 Dis 2021.

“Tindakan KCC amat berbeza dengan pendekatan Ansell, sebuah syarikat Australia yang kekal sebagai antara pengeluar sarung tangan terbesar di dunia. Ansell tidak menjawab sebarang komunikasi saya mengenai isu ini atau memainkan sebarang peranan dalam pemulihan mangsa perhambaan moden di Kumpulan Brightway.”

Saman itu diakhiri dengan tuntutan bagi relief membabitkan lima dakwaan terhadap kedua-dua syarikat yang dikaitkan dengan buruh paksa, penyeludupan manusia, pengayaan yang tidak adil, pengawasan yang cuai dan sengaja menimbulkan tekanan emosi. Ia bagaimanapun tidak menyenaraikan tuntutan khusus bagi ganti rugi untuk 13 warga Bangladesh terbabit.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.