COVID-19: Malaysia Jangka Berlaku Gelombang Baharu, Jumlah Jangkitan Melonjak

Noah Lee & Nisha David
2020.10.01
Kuala Lumpur, Malaysia
201001-MY-C19-Gelombang1000.jpg Seorang anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia memeriksa suhu badan seorang lelaki yang mahu memasuki sebuah pasar selepas Putrajaya memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi mematikan penularan jangkitan COVID-19, di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur, 27 Mac 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pihak berkuasa kesihatan Malaysia pada Khamis menyatakan bahawa mereka menjangka berlakunya gelombang ketiga jangkitan COVID-19 selepas negara itu merekodkan peningkatan mendadak kes positif baharu dalam sehari dengan 260 kes dilaporkan, jumlah kedua tertinggi sejak Jun lepas yang kebanyakkannya dikesan di Sabah.

Selain itu, pentadbiran Putrajaya turut mengumumkan sekatan perjalanan antara daerah di negeri timur Sabah sebagai langkah untuk mengekang penularan jangkitan koronavirus baharu di negeri tersebut yang baru sahaja selesai dengan pilihan raya negeri, Sabtu lepas.

"Unjuran pada carta kes COVID-19, mendapati berlakunya peningkatan jangkitan sejak akhir-akhir ini, dan ia berkemungkinan adalah permulaan kepada gelombang jangkitan yang baharu,

“Malaysia pernah mencatatkan kes COVID-19 tertinggi pada 4 Jun lalu, iaitu sebanyak 277 kes, yang mana 270 kes adalah di kalangan bukan warganegara daripada Depot Tahanan Imigresen Bukit Jalil, dengan jumlah yang dicatatkan pada hari ini [Khamis] ia merupakan kedua tertinggi pernah direkodkan di Malaysia setakat ini.

“Dan sememangnya angka ini sangat merisaukan," kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah semasa sidang media di Putrajaya pada petang Khamis.

Sidang berkenaan dipanggil secara tergempar bagi memaklumkan perkembangan terkini situasi COVID-19 dalam negara yang mana pada kebiasaannya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hanya mengadakannya sekali setiap minggu sejak jumlah kes berjaya diturunkan ke paras terkawal.

Rekod yang dikeluarkan oleh KKM pada Khamis menunjukan sejumlah 260 kes positif baharu yang dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh 24 jam, dengan 118 kes adalah di Sabah, diikuti Kedah (98), Kuala Lumpur (13), Selangor (13), Johor (5), Putrajaya (5), Terengganu (2), Perlis (2), dan masing-masing satu kes di Melaka, Pahang dan Pulau Pinang.

Peningkatan kes di negeri utara Semenanjung Malaysia iaitu di Kedah sebanyak 98 kes pada Khamis adalah daripada Kluster Tembok yang melibatkan sebuah lagi penjara di Malaysia, selepas Sabah.

Jangkitan dari Kluster Tembok membabitkan penjara di negeri itu adalah sebanyak 88 kes dengan pertama kali dikesan pada 28 September lalu dan sehingga kini telah menjangkiti 91 individu.

Menurut KKM, Kes indeks telah dikesan terhadap seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun yang dimasukkan ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Star kerana sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia pada hari yang sama, Isnin lalu.

BeritaBenar tidak dapat memastikan jika kesemua yang dijangkiti di dalam penjara itu adalah daripada kalangan banduan atau warden kerana jumlah pecahan tidak dikongsi dengan pihak media.

Pihak berkuasa kesihatan itu juga memberitahu bahawa empat lagi kluster baharu dikesan iaitu di Sabah, Putrajaya, Selangor dan Kedah yang sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan kluster COVID-19 yang aktif di Malaysia kepada 24.  

Kawalan rentas sempadan di Sabah

Sementara itu, Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan media pada Khamis berkata bahawa Putrajaya telah memutuskan untuk melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh negeri Sabah bermula jam 12.01 pagi Sabtu ini.

Perintah berkenaan berkuatkuasa selama 14 hari sehingga 16 Oktober depan.

"Namun begitu, perkhidmatan ‘essential’ seperti keperluan bekalan makanan, perubatan, keselamatan dan lain-lain adalah dibenarkan untuk melakukan perjalanan rentas daerah," kata beliau.

Menurut Ismail, bagi individu yang sedang menjalani arahan kuarantin dan hampir menamatkan tempoh isolasi mereka, akan dibenarkan pulang ke daerah masing-masing atau pulang ke Semenanjung, Sarawak atau Labuan.

Walaubagaimanapun, empat daerah yang sebelum ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) iaitu Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna tetap tertakluk dengan perintah berkenaan yang melarang sebarang aktiviti keluar masuk.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.