Malaysia Gagal Hormati Janji, Tahan Migran Ketika COVID-19, kata NGO

Hadi Azmi & Nisha David
2020.05.01
Kuala Lumpur, Malaysia
200501-MY-C19-Migran1000.jpg Warga asing yang dipercayai tidak memiliki dokumen yang sah dibawa keluar dengan trak oleh pihak berkuasa Malaysia dari kawasan Masjid India di Kuala Lumpur, 1 Mei, 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia gagal menghormati janjinya untuk tidak menahan pendatang semasa wabak COVID-19, apabila beberapa agensi penguatkuasaan keselamatannya pada Jumaat menangkap ratusan pendatang yang berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan [PKPD] di Kuala Lumpur, demikian menurut badan-badan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa.

Menurut Refuge for the Refugees (RFTR) dan Tenaganita, walaupun kerajaan berjanji tidak ada tindakan yang akan diambil terhadap golongan itu semasa COVID-19 melanda negara, tetapi Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia dan beberapa lagi agensi penguatkuasaan lain telah menjalankan operasi di sekitar Jalan Masjid India dan menahan ratusan pendatang.

Pengasas RFTR Heidy Quah memberitahu BeritaBenar, ramai pendatang yang memiliki dan tanpa dokumen yang tinggal di sekitar Masjid India, Menara City One, Malayan dan Selangor Mansion telah ditahan dan dibawa dalam beberapa trak pihak berkuasa, termasuk kanak-kanak berumur empat tahun.

"Penangkapan besar-besaran pelarian, pendatang yang ada dokumen dan tanpa dokumen berlaku di Masjid India, Menara City One, Malayan dan Selangor Mansion.  Ia sedang berlaku sekarang, dan kanak-kanak semuda empat tahun turut ditahan.  Mereka di ambil dari rumah dan dibawa ke beberapa buah lori yang sedang menanti dan dihantar ke Imigresen (pejabat) untuk diproses sebelum ditahan,” kata beliau.

Menurutnya, semua bentuk komunikasi dirampas dari mereka yang ditahan dan ditutup untuk mengelak daripada berhubung dengan yang lain.

"Beberapa orang menghantar pesan ringkas [SMS] dari Masjid India dan semasa mereka sedang menghantar mesej tiba-tiba terhenti dan kemudiannya dimatikan. Ia amat membimbangkan dan menyedihkan. Bilakah kita berhenti menjadi manusia?, " soal Quah.

Menurut maklumat yang diterima RFTR, ada juga yang ditahan terdiri dari pendatang yang berdokumen termasuk pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Bangladesh, Rohingya, Pakistan.  Ia tidak terhad kepada kumpulan tertentu, tetapi di semua negara, termasuk Burma," tambah Quah.

Berita mengenai operasi itu tersebar di media sosial dengan video yang diambil oleh mereka yang ditahan dikongsi di laman sosial Twitter dan juga rakaman yang diambil oleh penduduk bangunan berkejiranan di Masjid India yang menunjukkan para tahanan berbaris di sepanjang jalan sebelum dibawa menaiki kenderaan yang sedang menunggu.

Sementara itu, pegawai Jabatan Imigresen yang dihubungi BeritaBenar memberitahu yang serbuan di kawasan tersebut masih berjalan dan tiada sebarang kenyataan rasmi akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

"Ini bukan operasi, hanya pemeriksaan biasa," kata pegawai itu yang tidak boleh dinamakan kerana tidak mendapat kebenaran untuk bercakap dengan media.

Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap keselamatan negara melalui seorang sumber turut memberitahu BeritaBenar yang kementerian itu tidak ada kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat kerana operasi masih berjalan.

Penahanan yang dibuat pada Jumaat dan semasa bulan puasa itu dilihat sebagai tidak menghormati janji kerajaan kerana pada 22 Mac lepas, Menteri Kanan Keselamatan, Ismail Sabri Yaakob telah memberi jaminan yang kerajaan tidak akan menahan pendatang tanpa izin atau pelarian selama tempoh kawalan pergerakan COVID-19 kerana mahu mendorong mereka untuk tampil menjalani ujian saringan.

"Saya telah berbincang perkara ini dengan Ketua Polis Negara sebelumnya, walaupun ada pendatang yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, yang penting sekarang adalah mereka tampil tanpa rasa takut.

"Kami tidak akan memfokuskan pada dokumen mereka melainkan sama ada mereka positif dengan COVID-19. Kes paling ekstrem yang boleh berlaku hanyalah kuarantin 14 hari (untuk COVID-19). Itu sahaja (itu boleh berlaku)," kata Ismail memberi jaminan semasa sidang media lebih sebulan lepas.

Malah pada 28 April lalu, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud dalam satu temubual khas bersama Radio Televisyen Malaysia  (RTM) berkata penugasan pegawai imigresen dalam kawasan PKPD di Masjid India, Selangor Mansion, Malayan Mansion dan One City Plaza, yang dihuni kira-kira 4500 warga asing adalah bagi membantu petugas yang melibatkan proses dokumentasi.

"Peranan imigresen di kawasan PKPD ini adalah membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mencatatkan rekod nama dokumen dan sebagainya dimiliki warga asing ini," tambah beliau.

Mungkir janji

Dalam pada itu Tenaganita, yang berperanan melindungi dan memperjuangkan hak wanita, pendatang dan pelarian mempersoalkan niat dan nilai kerajaan Malaysia yang sekarang ini menidakkan hak asasi manusia setiap individu tidak kira status dokumentasi mereka.

"Ianya akan menodai moral dan integriti negara berdasarkan nilai yang kita letakkan kepada hak untuk hidup yang bermaruah bagi semua dan seterusnya menambah risiko kepada kesihatan awam negara.

"Walaupun dapat difahami bahawa langkah-langkah diperlukan untuk mengekang wabak COVID-19 di masa depan, untuk mensasarkan dan menahan individu-individu ini…., tidak masuk akal, dan bukan satu-satunya penyelesaian yang tersedia. Pemerintah Malaysia tidak boleh mengambil pendekatan yang mudah dan menganggap bahawa pendirian yang bersifat autoritatif adalah tindakbalas yang ideal,” kata pengarahnya Glorene A Das dalam satu kenyataan.

Ketua Kumpulan Kerja Rohingya di Asia Pacific Refugee Rights Network (APRRN) Lilianne Fan turut menegur perubahan tindakan pentadbiran Putrajaya yang membuat pusingan U dalam tindakannya yang dilihat boleh mengakibatkan ketakutan di kalangan masyarakat migran.

"Kanak-kanak juga ditahan.  Ini akan mewujudkan budaya ketakutan tepat ketika kita perlu mendorong orang untuk tampil ke hadapan bagi menjalankan ujian saringan COVID-19.  Bagaimanakah ini boleh menjadikan kita lebih selamat? " soal Fan.

Sehingga Jumaat, Malaysia mencatatkan 6, 071 kes positif COVID-19 dengan 103 kematian di seluruh negara menurut Kementerian Kesihatan Malaysia pada Jumaat.

Sementara itu, Phil Robertson, Timbalan Pengarah Asia, Human Rights Watch turut mengkritik tindakan Malaysia yang menarik balik janjinya, sambil mengatakan bahawa serbuan pihak berkuasa itu memberi peringatan kepada pendatang yang masih ada, yang mereka akan menjadi sasaran seterusnya.


"Serbuan ini memberi isyarat kepada semua pekerja asing yang tinggal di Malaysia untuk tidak bekerjasama dengan perintah kawalan pergerakan atau langkah-langkah kuarantin lain kerana mereka akan ditangkap jika mematuhinya.  

“Saya yakin Kementerian Kesihatan tidak senang dengan cabaran baru ini, dan Kementerian Luar Negeri tidak senang dengan sakit kepala yang akan mereka hadapi ketika berusaha meyakinkan negara-negara asal untuk mengambil kembali warganegara mereka ketika pandemik COVID-19 terus merebak," kata Robertson.

Beliau menyatakan bahawa serbuan tersebut berlaku setelah serangan perkauman terhadap komuniti Rohingya dalam bentuk ucapan kebencian setelah khabar angin mula tersebar bahawa Rohingya, melalui salah seorang pemimpin masyarakatnya, menuntut hak yang sama dan kewarganegaraan Malaysia.

"Muhyiddin menutup mata terhadap kempen pidato kebencian terhadap Rohingya yang mengejutkan dunia, dan mengingatkan banyak kebencian di media sosial yang dihadapi Rohingya ketika mereka dibersihkan secara etnik dari Myanmar.  

“Reputasi Malaysia yang sebelum ini disanjung tinggi di pentas antarabangsa telah menurun disebabkan oleh tindakan pemerintah yang tidak bertanggungjawab dan kegagalan untuk menghormati hak asasi manusia, migran dan pelarian,” tambah Robertson lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.