Follow us

Malaysia Dalam Fasa Pemulihan, Kes Harian Terus Kekal Dua Angka

Noah Lee
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-04-24
E-mel
Komen
Share
Salah satu daripada sembilan menara tinjau yang didirikan oleh Angkatan Tentera Malaysia bagi mengawal dan memastikan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dipatuhi di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, 22 April 2020.
Salah satu daripada sembilan menara tinjau yang didirikan oleh Angkatan Tentera Malaysia bagi mengawal dan memastikan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dipatuhi di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur, di Kuala Lumpur, 22 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia pada Jumaat menyatakan bahawa negara itu telah berjaya meratakan lengkungan peningkatan kes COVID-19 hasil keberkesanan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi memberikan amaran awal bahawa kejayaan itu boleh berubah kepada sebaliknya jika masih tidak berhati-hati menghalang penyebaran jangkitan.

Pada hari yang sama juga Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menyertai beberapa pemimpin dunia menawarkan sokongan penuh Malaysia terhadap kerjasama global dalam berkolaborasi untuk menyegerakan usaha penghasilan vaksin bagi COVID-19, pandemik yang telah teruk menjejaskan dunia.

Pengumuman kejayaan Malaysia meratakan lengkungan peningkatan kes COVID-19 dibuat oleh Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Putrajaya dengan berkata perlaksanaan PKP Fasa 1 dan 2 berkemungkinan telah meratakan jumlah peningkatan kes.

"Ini bermakna PKP Fasa 1 dan 2 berkemungkinan telah meratakan jumlah peningkatan kes dan kami juga menyedari bahawa kita sekarang sedang berada di fasa pemulihan dan bukan lagi fasa kenaikan (kes)," katanya.

Katanya, kementerian itu juga berharap momentum kejayaan tersebut dapat diteruskan sekaligus membolehkan pihak berkuasa kesihatan mengawal jumlah kes dan mengurangkan kadar jangkitan dari semasa ke semasa.

"Akan tetapi, tidak mustahil boleh berlaku peningkatan kes secara mendadak sekiranya kita leka. Jadi, ianya adalah penting untuk kita terus mengikut segala yang telah dipraktikkan di dalam PKP Fasa 1 dan 2 dan kini sudah memasuki Fasa 3," tambah Noor Hisham.

Katanya sebanyak 121 kes pulih dan dibenarkan keluar daripada hospital dicatatkan pada Jumaat yang dengan itu menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 3,663 kes iaitu kira-kira 64.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Malaysia juga katanya terus merekodkan jumlah kes baru positif COVID-19 yang rendah, iaitu berada pada tangga dua digit dengan bilangan pesakit pulih sepenuhnya melebihi jumlah kes harian.

“Bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah melebihi bilangan kes yang dilaporkan dan terdapat 88 kes baharu yang telah dilaporkan menjadikan jumlah kes adalah sebanyak 5,691,” tambahnya sambil memberitahu satu kes kematian dilaporkan dengan jumlah kumulatif kes kematian  sebanyak 96 kes iaitu kira-kira 1.69 peratus di Malaysia.

Program WHO

Muhyiddin semasa bercakap pada pelancaran pemecut Akses kepada Peralatan (ACT) COVID-19 yang dihoskan oleh Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) menerusi tele-sidang disiarkan secara langsung menyatakan komitmen Malaysia mengambil bahagian dalam proses pembuatan peralatan dan vaksin melawan jangkitan sebaik sahaja mempunyai teknologi berkeupayaan dihasilkan.

"Malaysia komited sepenuhnya untuk menjadi sebahagian usaha yang terikat pada masa ini dan akan turut serta mengambil bahagian dalam penghasilan dan pembuatan beberapa peralatan dan vaksin sebaik sahaja diwujudkan. Dan saya menggesa semua pemimpin di seluruh dunia, para penyumbang, sektor swasta dan komuniti saintifik untuk menyokong usaha penting ini demi memenangi perang melawan COVID-19," kata Muhyiddin dalam ucapannya.

Beliau berkata dunia perlu saling bekerjasama dalam menyegerakan pembangunan, pengeluaran peralatan dan vaksin serta memastikan akses samarata di peringkat global erhadap teknologi kesihatan penting yang baharu bagi COVID-19.

“Satu-satunya cara kita boleh memusnahkan musuh bersama yang tidak kelihatan ini adalah menerusi solidariti dan kerjasama,” katanya dalam program yang disiarkan secara langsung dengan Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus selaku moderator.

Selain Muhyiddin, turut menyertai program berkenaan ialah Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  Antonio Guterres dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen termasuk Presiden Perancis, Presiden Afrika Selatan, Perdana Menteri Norway, Sepanyol, Itali dan Pemerintah Arab Saudi.

Pelajar pulang berperingkat

Sementara itu, Putrajaya turut mengumumkan sejumlah 53,000 pelajar universiti dan kolej di seluruh negara yang terkandas di institusi masing-masing sejak PKP dilaksanakan akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing secara berperingkat mulai Isnin depan.

Menteri Kanan kluster keselamatan, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan telah bersetuju untuk memberikan kelonggaran kepada pelajar  IPT yang berada di kampus termasuk pelajar politeknik dan juga kolej komuniti.

"Mesyuarat telah bersetuju untuk membenarkan pergerakan pelajar bermula Isnin 27 April 2020. Waktu perjalanan dihadkan dari jam 9 malam hingga 9 pagi bagi memastikan perjalanan terkawal dan tidak melibatkan pergerakan besar-besaran," kata Ismail Sabri di Putrajaya.

Beliau berkata kebenaran itu, bagaimanapun hanya tertakluk kepada pelajar yang rumah mereka berada dalam kawasan Zon Hijau dengan semua yang terlibat perlu menjalani saringan COVID-19 sebelum menaiki bas dan akan dibekalkan dengan makanan serta topeng muka.

Selain itu, katanya jumlah pelajar dalam sesebuah bas juga akan dihadkan kepada separuh kapasiti kenderaan bagi memastikan penjarakkan sosial dipatuhi, dengan kesemua mereka akan dihantar ke Ibupejabat Polis Daerah atau Pejabat Daerah di kawasan masing-masing.

Mereka kemudiannya akan dihantar ke rumah oleh anggota agensi kerajaan yang ditugaskan.

Ketika kerajaan menguatkuasakan PKP bermula pada 18 Mac lalu, semua jenis perjalanan antara negeri adalah dilarang kecuali untuk kes-kes tertentu dan mendapat kebenaran pihak berkuasa sahaja, tindakan itu menyebabkan ramai pelajar terkandas serta ada yang tidak dibenarkan keluar dari kampus.

Pelarian bawah umur didakwa


Ismail turut memaklumkan bahawa kira-kira 19,048 orang telah ditahan pihak berkuasa kerana melanggar PKP termasuk 1,014 individu yang ditahan pada Khamis dan telah dituduh di mahkamah.

Difahamkan, antara yang telah ditahan termasuk dua remaja bawah umur dari etnik Rohingya, yang merupakan pelarian yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).

Dalam pada itu, peguam yang mewakili kedua remaja berkenaan Collin Arvind Andrew berkata kedua-duanya yang berusia 16 dan 13 tahun ditahan pada 13 April dan 15 April dan telah dituduh secara berasingan pada Rabu dan Khamis.

Collin berkata remaja berusia 16 tahun ditahan pada 13 April lepas, ketika sedang pulang dari membeli barang keperluan harian bersama seorang rakan, yang turut dituduh di mahkamah sama, dengan beliau mengaku tidak mengaku salah dan minta dibicarakan.

Manakala remaja 13 tahun menurut peguam itu ditahan sekitar  jam 6.30 petang pada 15 April semasa beliau berada tidak jauh dari rumahnya di Pandan Mewah, telah direman selama tujuh hari sebelum dibawa ke hadapan Majistret Normaizan Rahim pada Rabu dengan beliau mengaku melanggar PKP.

Kesemua mereka telah dibebaskan dengan jaminan mahkamah sebanyak RM500(AS$114) setiap seorang, sementara menunggu sebutan kes pada 1 Julai.

Lihat Laman Penuh