Follow us

Malaysia Turun Ke Kategori 2 Bagi Penilaian Pengawal Selia Penerbangan AS

Noah Lee & Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-11-11
E-mel
Komen
Share
Pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat, P8 Poseidon berlepas dari Lapangan Terbang Perth dalam perjalanan untuk menyertai operasi pencarian kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia 370 di Perth, Australia, 15 April 2014.
Pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat, P8 Poseidon berlepas dari Lapangan Terbang Perth dalam perjalanan untuk menyertai operasi pencarian kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia 370 di Perth, Australia, 15 April 2014.
[AP]

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) Amerika Syarikat pada Isnin mengesahkan yang badan itu telah menurunkan penilaian Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ke kategori 2 selepas penilaian semula dibuat pada April lepas.

FAA berkata tindakan itu dibuat selepas mendapati CAAM tidak memenuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh Organisasi Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO), yang sekaligus membuat Malaysia berada di Kategori 2 berdasarkan penilaian semula itu.

"Penarafan Penilaian Keselamatan Penerbangan Kategori 2 (IASA) bermaksud bahawa CAAM - badan yang bersamaan dengan FAA bagi perkara keselamatan penerbangan - kurang dalam satu atau lebih bidang, seperti kepakaran teknikal, kakitangan terlatih, penyimpanan rekod, dan/atau prosedur pemeriksaan,

“Proses ini adalah penilaian terhadap CAAM dan bukan mana-mana syarikat penerbangan yang beroperasi di dalam atau di luar Malaysia. Dengan penarafan Kategori 2, syarikat penerbangan Malaysia boleh meneruskan perkhidmatan sedia ada tetapi tidak akan dibenarkan untuk memperkenalkan perkhidmatan baru ke Amerika Syarikat," kata FAA dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di Washington pada Isnin.

Sementara itu, Perdana Menteri Mahathir Mohamad yang mengulas mengenai isu berkenaan berkata Malaysia akan mengambil langkah sewajarnya untuk memperbetulkan kesalahan yang berlaku melibatkan pihak berkuasa penerbangan negara dan keselamatan ruang udaranya.

“Kami akan perbetulkan keadaan supaya seluruh dunia akan menghormati pihak berkuasa penerbangan Malaysia,” kata Mahathir kepada pemberita di Putrajaya pada Isnin.

Akui kepincangan

CAAM pula dalam kenyataan media yang dikeluarkan di Kuala Lumpur pada lewat Isnin mengakui kepincangan di pihak mereka dalam menjalankan tugas sebagai pengawal selia penerbangan.

‘Namun, penilaian yang dibuat oleh pihak FAA itu hanya meliputi tugas CAAM sebagai pengawal selia penerbangan dan tidak meliputi mana-mana syarikat penerbangan, lapangan terbang atau Servis Kawalan Udara di bawah bidang kuasanya.

"Penilaian dan pengkategorian oleh FAA ini adalah bersifat unilateral dan solus, dan merupakan hak mereka sebagai ahli Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO)." kata pengerusi CAAM Kapten Ahmad Ridzwan Mohd Salleh dalam kenyataan itu.

Apapun menurut Ridzwan, CAAM mengambil penilaian FAA itu secara konstruktif dan telah memulakan perubahan secara serius dalam strukur organisasi dan operasinya selain telah membuat permohonan kepada FAA untuk penilaian semula bagi tempoh 12 bulan akan datang.

“Ini adalah hasrat CAAM untuk mendapatkan semula taraf Kategori 1 seperti sebelum ini,” katanya sambil menegaskan perancangan juga telah dibuat bagi mengatasi kekurangan dalam audit FAA itu.

"CAMM akan terus menyumbang kepada peningkatan dan pengawasan penerbangan melalui peranannya di dalam Majlis ICAO. Ia juga akan tetap menuruti semua perundangan dan standard ditetapkan ICAO, seperti yang diaudit ICAO pada pertengahan 2019."

FAA, sebuah agensi di bawah Jabatan Pengangkutan AS yang mengawasi hal-ehwal penerbangan negara itu, turut menjalankan penilaian ke atas standard pengawal selia penerbangan negara-negara lain di bawah satu program yang dinamakan Penilaian Keselamatan Penerbangan Antarabangsa (IASA).

Menurut FAA, penilaian yang dilaksanakan di bawah IASA adalah untuk melihat samada pengawasan sesebuah negara ke atas syarikat penerbangan yang mengoperasikan penerbangan ke AS, atau mempunyai ‘codeshare’ bersama syarikat penerbangan AS, mematuhi semua standard keselamatan yang ditetapkan oleh ICAO.

"Program IASA menumpukan kepada kebolehan sesuatu negara, dan bukannya setiap syarikat penerbangan, dalam mematuhi standard keselamatan penerbangan antarabangsa serta amalan yang disyorkan di dalam Annex 1 (Pelesenan Personel), Annex 6 (Operasi Pesawat), dan Annex 8 (kelayakan udara pesawat) Konvensyen Chicago.”

Lihat Laman Penuh