Follow us

Malaysia Tahan Hampir 2,000 Cuba Ceroboh Sempadan Negara Sejak Mei

Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-07-13
E-mel
Komen
Share
Anggota tentera lengkap bersenjata mengawal di sekitaran bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur yang dipasang dengan kawat duri semasa Perintah Kawalan Pergerakan yang diperkenalkan Putrajaya dalam memutuskan rantaian COVID-19, 15 April 2020.
Anggota tentera lengkap bersenjata mengawal di sekitaran bangunan Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur yang dipasang dengan kawat duri semasa Perintah Kawalan Pergerakan yang diperkenalkan Putrajaya dalam memutuskan rantaian COVID-19, 15 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia menahan hampir 2,000 individu termasuk pendatang asing yang cuba menceroboh negara itu melalui jalan tikus di darat dan laut, dengan pihak berkuasa memasang kawat duri bagi mengelak pencerobohan dan aktiviti rentas sempadan di beberapa kawasan panas di sempadan.

Menteri Kanan Keselamatan Ismail Sabri Yaakob berkata, kebanyakan mereka ditahan adalah pendatang asing tanpa izin termasuk 249 kapten bot dan 110 ahli sindiket penyeludup dalam operasi khas yang dikenali sebagai ‘Ops Benteng’ antara beberapa agensi penguatkuasaan keselamatan negara termasuk polis dan tentera.

"Sejak 1 Mei hingga 12 Julai, 2020, seramai 1,494 pendatang asing ditahan, 50 bot dan 191 pelbagai jenis kenderaan yang digunakan untuk menyeludup masuk ke negara ini disita dalam Ops Benteng Covid itu," kata Menteri tersebut dalam kenyataan media pada Isnin.

Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa negara itu akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang mencerobok sempadan negara secara haram dan agensi penguatkuasa juga terus mengetatkan kawalan keselamatan di sekitar sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus yang dikenalpasti.

Sementara itu, sumber Kementerian Pertahanan yang dihubungi BeritaBenar berkata, antara pendatang asing yang ditahan adalah warga Indonesia di selatan, rakyat Thailand dan Vietnam, serta etnik Rohingya di utara negara itu.

Difahamkan mereka yang ditahan ditempatkan di pusat-pusat tahanan Imigresen dengan jumlah sebenar tidak dapat dipastikan manakala cubaan BeritaBenar untuk mendapatkan maklumat lanjut gagal.

Dalam pada itu, Panglima Markas 8 Briged, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, Kelantan, Briged Jeneral Zamsari Abu Hasan berkata sebanyak 13 pangkalan haram yang dikenalpasti aktif di sepanjang Sungai Golok dan menjadi ianya kawasan panas penyeludupan pendatang asing tanpa izin telah dipasang kawat duri bagi mengelak pencerobohan dan aktiviti rentas sempadan.

Menurut Zamsari, kawat duri itu dipasang dengan kerjasama ATM dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan dikawal Batalion 7 PGA Kuantan (PGA7) dipasang sebagai tanda amaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya melintasi sempadan negara dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang mengingkari arahan.

"Kawat duri yang setiap satunya 500 meter panjang dipasang di sekitar Kuala Jambu, Jeram Perdah, di Pasir Mas, dan di Rantau Panjang yang menjadi lokasi panas penyeludup serta pencerobohan pendatang asing, dengan inisiatif itu diharap mampu mengurangkan pelbagai kes di sepanjang sempadan,” katanya seperti dilaporkan agensi berita nasional Malaysia pada Isnin.

Zamsari berkata, sejak Ops Benteng Covid dilaksanakan, sebanyak 158 kes tangkapan dicatatkan dengan nilai rampasan barangan melebihi RM4 juta (AS$934,999) dengan kebanyakan pendatang asing yang ditahan adalah warga Thailand, Myanmar, Kemboja dan Laos.

Bincang isu pemerdagangan manusia

Sementara itu, kerajaan Thailand menyatakan kesediaan berbincang dengan Malaysia menerusi  kerajaan negeri Kedah, di utara Malaysia dalam mencari penyelesaian menangani isu pemerdagangan manusia di sempadan Malaysia -Thailand terutamanya di Pulau Langkawi.

Duta Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn dan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mengadakan perbincangan ringkas selepas Narong mengadakan kunjungan hormat ke Kedah pada Isnin.

"Kami bersedia mengadakan kerjasama dengan kerajaan negeri Kedah berikutan Langkawi sering menjadi tempat pendaratan etnik Rohingya. Ia bukan sahaja membabitkan Malaysia atau Thailand, sebaliknya semua pihak di rantau ini mempunyai berperanan menangani isu tersebut.

"Negara serantau harus melihat masalah ini dalam pendekatan holistik untuk menyelesaikannya dengan lebih baik. Mereka sebenarnya tidak perlu terbabit dalam krisis pemerdagangan manusia dengan perhatian diberikan oleh negara serantau," katanya pada sidang media di Kedah.

Menurut Muhammad Sanusi, kerjasama dengan negara jiran perlu bagi menangani jumlah kemasukan pendatang asing semakin meningkat terutama melalui perairan Pulau Langkawi.

Kira-kira 1 juta etnik Rohingya yang melarikan diri dari negeri Rakhine di Myanmar sedang diberi perlindungan di kem-kem pelarian di dan sekitar daerah Cox's Bazar di Bangladesh.

Penyiasat PBB  menuduh tentera Myanmar melakukan pembunuhan dan kekejaman lain terhadap etnik Rohingya tanpa kewarganegaraan semasa serangan 2017, hingga memaksa lebih daripada 730,000 etnik itu menyeberangi sempadan ke Bangladesh untuk menyertai ribuan orang lagi yang telah melarikan diri ke sana.

Dari Bangladesh, ramai etnik Rohingya cuba melarikan ke negara Asia Tenggara terutamanya Malaysia dengan kesudahannya menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia.

Bulan lalu, pihak berkuasa Malaysia telah menumpaskan sindiket jenayah, diketuai oleh seorang lelaki Rohingya yang fasih berbahasa Melayu dan bertanggungjawab terhadap penyeludupan ratusan etnik Rohingya ke Pulau Langkawi di utara Semenanjung Malaysia sepanjang tahun ini, termasuk 269 yang mendarat pada 8 Jun lepas.

Lihat Laman Penuh