Kapal Peninjau China Bergerak ke Kawasan Perairan Malaysia, Brunei

Drake Long
2020.04.16
Washington

Sebuah kapal peninjau China pada Khamis telah memulakan operasi dalam zon ekonomi eksklusif Malaysia dan Brunei, menurut satu perisian pengesanan kapal, menyaksikan satu lagi petanda mengenai kaedah jangkauan luas yang diambil oleh Beijing di Laut China Selatan yang menjadi rebutan.

Kapal Hai Yang Di Zhi 8 belayar meninggalkan Pulau Hainan, China pada minggu lepas dan dilihat awal minggu ini bergerak melewati perairan Vietnam menuju ke arah Malaysia. Pada Khamis, ia dikesan berada di kawasan perairan kira-kira 190 batu nautika (352 km) dari pantai negeri Sarawak, Malaysia dan Brunei.

Kapal itu dilihat berlegar-legar di kawasan itu, satu petanda bahawa ia sedang meneroka perairan tersebut. China dan Brunei sebelum ini telah bersetuju mengadakan eksplorasi bersama membabitkan sumber tenaga di kawasan Laut China Selatan di Brunei, namun tidak jelas sama ada aktiviti semasa itu adalah sebahagian daripada persetujuan tersebut.

Secara teknikal, sebuah kapal penyelidikan perlu meminta izin sebelum beroperasi dalam zon ekonomi eksklusif negara lain, kata pakar. Hai Yang Di Zhi 8 telah diiringi sekurang-kurangnya enam kapal milik Pengawal Pantai China (CCG), menurut data pengesanan kapal yang dianalisis oleh Radio Free Asia (RFA), perkkhidmatan berita online yang merupakan entiti BeritaBenar.

Ini mengingatkan kita kepada tindakannya menceroboh zon ekonomi eksklusif Vietnam pada Julai 2019 yang terletak berhampiran Tebing Vanguard yang menjadi rebutan. Kesemua aktiviti tinjauan itu seolah-olah bertujuan memberi tekanan terhadap kapal eksplorasi minyak Rusia agar keluar dari kawasan itu dan mencetuskan kebuntuan yang berlanjutan selama sebulan dengan kapal pengawal pantai Vietnam.

Kali ini, Kapal Hai Yang Di Zhi 8 beroperasi di luar sedikit dari bahagian Laut China Selatan yang memisahkan Malaysia dan Vietnam, mungkin untuk mengelak satu lagi konfrontasi dengan Vietnam.

Aktiviti tinjauan itu amat hampir dengan lokasi West Capella, sebuah kapal gerudi yang diupah oleh Malaysia, bekerja pada Oktober. West Capella akhirnya dikesan oleh gabungan CCG, kapal militia maritim China dan militia maritim Vietnam, menurut badan pemikir Asia Maritime Transparency Initiative, yang berpangkalan di Washington.

Sekurang-kurangnya sebuah kapal CCG yang mengiringi Hai Yang Di Zhi 8, iaitu Zhongguohaijing 1105, telah dikesan pada Khamis di lokasi sama di mana kali terakhir West Capella dilaporkan berada.

Bagaimanapun, kapal Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia gagal dikesan di lokasi di mana kapal peninjau China itu berada pada Khamis. Sebuah kapal peronda luar pesisir Malaysia, KM Pekan, dilihat kali terakhir pada Rabu berhampiran sebuah kapal CCG mengawal Gugusan Beting Patinggi Ali, yang terletak di bahagian selatan.

Para pegawai Malaysia atau Brunei gagal dihubungi untuk mendapatkan kenyataan pada Khamis.

Beijing menuntut kebanyakan kawasan di Laut China Selatan yang kaya dengan mineral, termasuk perairan yang hampir dengan pantai di negara jirannya yang lebih kecil. Brunei, Malaysia, Filipina, Vietnam dan Taiwan turut mengemukakan tuntutan bertindih di kawasan perairan itu.

Malaysia, Vietnam dan Filipina secara terang-terangan telah mempertikaikan tuntutan meluas China dalam nota diplomatik dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini. China juga telah dikritik oleh Amerika Syarikat yang menyatakan bahawa Beijing sedang mengeksploitasi pandemik COVID-19 untuk meluaskan “tuntutan tidah sahnya” di Laut China Selatan.

Laporan oleh RFA, perkhidmatan berita online yang merupakan entiti BeritaBenar.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.