Malaysia sahkan serpihan roket China lintasi ruang udara, jatuh di Laut Sulu

Roket Long March 5B dilancarkan di wilayah Hainan di China, 24 Julai lepas, membawa sebuah modul makmal angkasa yang dalam pembinaan.
Noah Lee & Nisha David
2022.08.01
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia sahkan serpihan roket China lintasi ruang udara,  jatuh di Laut Sulu Roket yang membawa modul kedua China untuk stesen angkasa Tiangongnya berlepas dari pelabuhan angkasa Wenchang di selatan China, 24 Julai 2022.
[CNS/AFP]

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI) mengesahkan bahawa serpihan daripada roket Long March 5B milik negara China telah melintasi ruang udara Malaysia dan dikesan sekitar memasuki negeri Sarawak dengan sisa serpihan yang terbakar telah direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu hujung minggu lalu.

Pihak berkuasa itu juga menggesa orang ramai supaya kekal bertenang sementara ia menjalankan siasatan selepas beberapa klip video menunjukkan serpihan yang terbakar berada di udara tular di media sosial.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) Azlikamil Napiah berkata lintasan serpihan roket itu turut dialami beberapa negara jiran termasuk Indonesia dan Filipina namun ia tidak dapat dilihat seperti yang berlaku di beberapa kawasan di sekitar Sarawak.

"Serpihan telah terbakar lebih 80 peratus ketika memasuki atmosfera. Dan disahkan jatuh ke dalam Laut Sulu," kata Azlikamil semasa dihubungi BenarNews pada Isnin.

MOSTI dalam satu kenyataan media bersama MYSA pada Ahad berkata, "Pemantauan secara berterusan oleh Kementerian melalui MYSA serta kenyataan oleh Agensi Angkasa China, adalah dimaklumkan bahawa kemasukan semula serpihan roket Long March 5B milik negara China ke ruang udara bumi telah dikesan berlaku pada 00:55am, 31 Julai 2022 waktu Malaysia,"

Kenyataan itu turut memaklumkan bahawasa serpihan roket tersebut telah terbakar semasa memasuki ruang udara bumi dan pergerakannya turut melintasi ruang udara Malaysia, termasuk di sekitar negeri Sarawak.

"Sisa serpihan yang terbakar berkenaan telah direkodkan jatuh di sekitar Laut Sulu pada 31 Julai 2022," tambah kementerian itu dalam kenyataan bersama.

Menurut laporan media, Roket Long March 5B itu telah dilancarkan dari wilayah Hainan di China pada 24 Julai lepas dan digunakan untuk membawa sebuah modul makmal angkasa ke stesen angkasa Tiangong, yang sedang dalam proses pembinaan.

Akhbar The Washington Post memetik kenyataan dikeluarkan oleh Agensi Angkasa Bermanusia China (CMSA) yang menyatakan bahawa roket terkuat pernah dikeluarkan negara itu setakat ini telah jatuh semula ke bumi pada Ahad, dengan "kebanyakan daripada serpihannya" telah terbakar semasa memasuki kembali atmosfera bumi manakala selebihnya "telah jatuh ke dalam laut".

Azlikamil turut memberitahu yang agensi itu telah mula memantau pergerakan Long March 5B sejak dilancarkan China pada 24 Julai lalu, serta telahpun membuat ramalan di mana serpihan roket berkenaan bakal jatuh.

"Sebenarnya kita sudah memantau pergerakan roket ini sejak 24 Julai lalu iaitu apabila ia dilancarkan oleh China. Serpihan itu juga sudah mula mengorbit bumi sejak beberapa hari lalu sebelum terbakar selepas masuk ke atmosfera," katanya lagi sambul menambah satu pasukan telah dihantar ke lokasi serpihan jatuh untuk menjalankan siasatan dan analisa.

Beliau berkata, pada 2020 serpihan sedemikian jatuh di sekitar lautan barat Afrika dan seterusnya pada tahun lalu di sekitar kepulauan Maldives, dan kali ketiga ini adalah semalam di sekitar Laut Sulu.

Katanya lagi, setakat ini tiada kejadian yang membolehkan Malaysia untuk membuat tuntutan kepada China kerana ia tidak melibatkan sebarang kerosakan atau kematian.

Sementara itu, klip video menunjukkan serpihan logam dipercayai serpihan roket Long March 5B yang ditemui berhampiran rumah penduduk kampung di Pekan Sepupok Lama, Niah, Sarawak telah menjadi tular di media sosial sejak Ahad.

Adham Baba, menteri yang mengetuai MOSTI, memaklumkan yang satu pasukan dianggotai pegawai beberapa agensi telah dikerahkan ke lokasi tersebut untuk menyemak serpihan berkenaan dan mengesahkan sama ada ia adalah serpihan roket itu.

"Pihak MOSTI telah menggerakkan satu pasukan penyiasat pada Isnin yang terdiri daripada Bahagian Penguasa Angkasa, MOSTI, MYSA dan Lembaga Pelesenan Tenaga Atom. Pasukan MOSTI ini akan bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah Miri dan pihak berkuasa yang lain dalam menjalankan siasatan. MOSTI akan melaporkan hasil siasatan ini dalam jangka masa terdekat," kata beliau kepada media di Kuala Lumpur.

"Orang ramai dinasihatkan bertenang dan tidak mengganggu proses siasatan dan tidak mendekati lokasi objek," tambah Adham.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.