Ketua Tentera Filipina: Situasi Di Laut China Selatan 'Amat Tegang'

Aie Balagtas See & Muzliza Mustafa
2020.10.13
Manila & Kuala Lumpur
201013-PH-scs-620.JPG Kapal-kapal USS Ronald Reagan dan USS Nimitz Carrier Strike Group berlayar dalam formasi semasa eksesais di Laut China Selatan, 6 Julai 2020.
[Tentera Laut AS melalui AP]

Penampilan ketenteraan di Laut China Selatan telah mewujudkan situasi yang "amat tegang", kata ketua angkatan tentera Filipina pada Selasa, manakala di Malaysia, menteri luar China yang mengunjungi negara itu berkata laluan laut berkenaan tidak boleh "dipenuhi dengan kapal perang."

Bercakap kepada wartawan tempatan dan asing di Filipina semasa satu forum dalam talian, Jeneral Gilbert Gapay berkata sikap agresif China berisiko mendorong negara yang turut membuat tuntutan wilayah terjerumus dalam konflik di Laut China Selatan, di mana Beijing menuntut hampir keseluruhan kawasan itu sebagai miliknya.

"Ia amat tegang. Situasi sekarang menjadi lebih tegang kerana China melakukan eksesais satu pihak. Ia malah melepaskan tembakan peluru berpandunya sendiri,” kata Gapay pada forum itu, yang merujuk kepada latihan tentera negara berkenaan pada Ogos. "Ini berpotensi menjadi punca yang boleh meledak di rantau ini."

Di Malaysia, Menteri Luar Hishammuddin Hussein menerima kunjungan rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, di mana mereka turut membincangkan kebimbangan masing-masing mengenai laluan laut tersebut.

"Kami berdua bersetuju supaya dijaga keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan dan berpendapat bahawa Laut China Selatan seharusnya tidak menjadi landasan bagi pertarungan kuasa besar, dan dipenuhi dengan kapal perang," kata Wang, yang juga merupakan Anggota Majlis Penasihat Negara bagi kerajaan China, pada sidang media selepas pertemuan itu.

"China dan ASEAN mempunyai kemampuan dan kebijaksanaan serta tanggungjawab untuk menjaga keamanan dan kesaksamaan di Laut China Selatan," katanya, yang merujuk kepada 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara.

Dalam satu kenyataan media bersama, Hishammuddin dan Wang "menekankan pentingnya menjaga keamanan, keselamatan dan kestabilan, serta kebebasan pelayaran dan penerbangan di ruang Laut China Selatan."

Mereka juga mengumumkan bahawa China dan Malaysia akan bekerjasama dengan negara-negara ASEAN untuk menggiatkan usaha bagi melaksanakan "Kod TataLaku (CoC) yang efektif dan substantif."

Selama hampir dua dekad, negara-negara ASEAN dan China gagal mencapai persetujuan melaksanakan CoC ke atas pihak yang membuat tuntutan wilayah di Laut China Selatan.

Kedua-dua menteri luar itu juga tidak memberitahu sekumpulan wartawan yang dipilih, termasuk dari organisasi berita kendalian kerajaan di Malaysia dan China, sama ada mereka membincangkan tentang nasib enam bot nelayan atau 60 anak kapal China yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada Jumaat. Bot-bot tersebut dikesan berada dalam perairan wilayah di tenggara negeri Johor.

Pada Isnin, kerajaan China meminta kes tersebut "disiasat dengan adil".

‘Risiko keselamatan tersembunyi’

Wang, diplomat tertinggi China, turut menempelak Amerika Syarikat (AS) berikutan sikapnya di laluan laut yang menjadi pertikaian itu, dengan menyatakan kuasa besar Barat tersebut berusaha mewujudkan "NATO Indo Pasifik" bersama-sama dengan India, Australia dan Jepun.

"Apa yang dilakukannya adalah menggalakkan mentaliti Perang Dingin kuno untuk memulakan konfrontasi antara kelompok dan blok  berbeza selain memacu persaingan geopolitik," katanya semasa menjawab pertanyaan wartawan.

"Strateginya bertentangan dengan semangat saling memanfaatkan dan menguntungkan yang telah dijalin oleh kerjasama Asia Timur. Ini memberi kesan kepada kerangka kerjasama serantau dengan ASEAN di paksinya dan akhirnya menjejaskan prospek mewujudkan kedamaian dan pembangunan di Asia Timur,” katanya. "Dalam aspek ini, strategi tersebut itu sendiri adalah risiko keselamatan yang tersembunyi."

Pada September, Setiausaha Negara AS Mike Pompeo memberitahu negara-negara ASEAN bahawa Washington menekankan pentingnya peraturan undang-undang dan menghormati kedaulatan di Laut China Selatan.

"Beijing berterusan melakukan kempen paksaan dan pemusnahan alam sekitar yang agresif," kata ketua diplomat Amerika pada ketika itu.

Beberapa hari kemudian, penolong setiausaha negara AS bagi Hal Ehwal Asia Timur dan Pasifik David Stilwell mengkritik China kerana memaksa negara-negara berkenaan membuat pilihan di Laut China Selatan, dengan menyatakan bahawa Beijing telah membina pulau-pulau buatan dan menempatkan tentera di wilayah yang dituntutnya.

Enam negara Asia lain - Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam - membuat tuntutan wilayah atau sempadan maritim di Laut China Selatan yang bertindih dengan China. Walaupun Indonesia tidak menganggap dirinya sebagai pihak dalam perselisihan Laut China Selatan, Beijing turut menuntut hak bersejarah di bahagian laut itu yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.

'Bergolak dan tidak menentu'

Di Manila, Gapay membidas China dan AS kerana mewujudkan situasi ketidakpastian di rantau itu.

"Situasi di Laut China Selatan terus bergolak dan tidak menentu kerana tindakan pelaku tertentu di kawasan ini khususnya China dan Amerika Syarikat, selain perikatan AS, Australia, Jepun dan India," kata Gapay.

"Kita telah melihat tindakan agresif yang dilakukan China dalam menuntut kawasan itu dengan mengerahkan beberapa kapal perangnya di situ. Pengawal pantai mereka juga dapat dilihat di kawasan itu,” katanya.

Gapay berkata demikian sehari selepas Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana memberitahu majlis pembentangan belanjawan Senat bahawa keadaan Laut China Selatan adalah "terkawal" dan "stabil".  Ketua pertahanan itu berkata bahawa negara berkenaan perlu memberi lebih tumpuan kepada "ancaman dalaman" atau parti komunis tempatan.

Pada Selasa, Gapay memberitahu wartawan bahawa menara dan peralatan telekomunikasi yang dibina sebuah syarikat yang disokong oleh China tidak berisiko digunakan untuk mengintip pasukan tentera. Syarikat Filipina Dito Telecommunity Corp., yang disokong oleh China telecom, membina menara dan membangunkan sistem di kem-kem tentera di Filipina.

"Kami tidak nampak sebarang risiko keselamatan, ia adalah amat rendah dan kami berpendapat adalah lebih baik mereka berada di dalam kerana kami mungkin melakukan pemeriksaan tanpa pemakluman. Kami boleh memeriksanya pada tengah malam pun,”kata Gapay.

Kedutaan Besar China di Manila tidak melayani permintaan BeritaBenar untuk mendapatkan komen.

Wang, yang berada di Kemboja sebelum mengunjungi Malaysia, melakukan lawatan ke Singapura pada Selasa. Beliau dijadualkan melawat Thailand pada Rabu sebelum menuju ke Laos pula.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.