Lawatan Najib Ke China Akan Tingkatkan Hubungan Dua Hala, Kata Penganalisis

Muzliza Mustafa
2016.11.01
Kuala Lumpur
161031-MY-china-620.jpg Perdana Menteri Malaysia Najib Razak semasa berucap pada persidangan Negara-negara Persatuan Asia Tenggara -Republik Korea, 7 September 2016.
AFP

Perdana Menteri Najib Razak pada Isnin memulakan lawatan enam hari ke China yang menjanjikan hubungan dua hala yang lebih erat dalam pertahanan, perdagangan, kerjasama ekonomi dan kawasan-kawasan lain, menurut penganalisis.

Ketika di China, Najib dijangka menyaksikan majlis menandatangani sekurang-kurangnya 10 perjanjian dua hala dan memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang, termasuk pelaburan China dalam projek infrastruktur di Malaysia, agensi berita negeri yang dikendalikan Bernama melaporkan pada Isnin.

Najib juga dijangka menandatangani kontrak untuk perjanjian pertama bagi Malaysia dalam sektor pertahanan dengan China iaitu pembelian kapal tentera laut buatan negara itu, lapor agensi berita Reuters minggu lepas.

Balakrishnan R.K. Suppaiah, pensyarah Kanan Kajian Antarabangsa dan Strategik di Universiti Malaya, berkata bantuan China boleh meningkatkan ketidaktentuan ekonomi Malaysia , serta turut melancarkan hubungan kerajaan Najib dengan kaum minoriti dari etnik Cina di negaranya.

"Ia akan membantu hubungan antara kaum Cina di Malaysia dengan kerajaan," Suppaiah memberitahu BeritaBenar.

Lawatan Najib ke China adalah ketiga sebagai Perdana Menteri, dan kedua dalam dua tahun.

Seorang lagi penganalisis melihat lawatan berkenaan sebagai  penyelamat bagi Malaysia dalam menangani kemelut ekonomi, yang mampu meningkatkan imej Perdana Menteri serta memberinya peluang untuk dipilih semula. Sejak Julai 2015, Najib telah terperangkap di dalam skandal rasuah yang dikaitkan dengan 1MDB, dana pelaburan negara Malaysia yang diperkenalkan oleh kerajaan  pada 2009.

"Perdagangan dan pelaburan adalah penting pada masa ini dan Najib memerlukan sesuatu untuk meningkatkan ekonomi negara selain meningkatkan kesahihan prestasinya dalam tadbir urus negara " kata Dr Mustafa Izzuddin, fellow di ISEAS-Yusof Ishak Institute, sebuah institut pemikir yang berpangkalan di Singapura, memberitahu CNBC.

“Ekonomi yang berkembang mampan , terutama bagi 2017, akan menjadi faktor kritikal bagi Najib, yang bakal mengadakan pilihanraya [tamat tempoh 2018], yang akan memperkukuhkan peluang untuk parti gabungannya terus memerintah.

Hubungan Amerika Syarikat

Walaupun pertemuan Najib di China melambangkan hubungan baik China-Malaysia, ia tidak akan menjejaskan atau memberi kesan kepada hubungan yang wujud  dengan Amerika Syarikat, menurut Asrul Hadi Abdullah Sani, seorang penganalisa Bower Group Asia, sebuah syarikat perunding risiko politik.

Beliau berkata, hubungan AS-Malaysia tetap kukuh walaupun Jabatan Keadilan Amerika, telah memfailkan tindakan undang-undang sivil dalam usaha untuk mendapatkan kembali lebih AS$1bilion dalam aset-aset yang didakwa dibayar menggunakan wang dari dana 1MDB yang dicuri.

White House masih menganggap Najib sebagai sekutu utama Amerika, kata Asrul, dalam usaha untuk memerangi keganasan di Asia Tenggara, serta strategi geo-politik pentadbiran Obama dalam mencorak kuasa tentera Amerika ke atas rantau itu,

"Malaysia sentiasa mengimbangi kedudukannya di kalangan kuasa-kuasa besar dan akan terus berbuat demikian," kata Dr Oh Ei Sun, seorang felo kanan di S. Rajaratnam School of International Studies di Singapura.

Laut China Selatan

Lawatan Najib itu juga boleh meredakan ketegangan di antara kedua negara berkaitan dengan  tuntutan wilayah di Laut China Selatan (SCS), kata penganalisa.

"China akan berlaku baik sekarang dan ini akan mengurangkan ketegangan di Laut China Selatan," kata Suppaiah. Oh turut bersetuju dengan sentimen itu sambil berkata, "China boleh memupuk hubungan baik dengan jiran-jiran, terutama dengan Malaysia yang lantang bersuara mengenai masalah tersebut," katanya.

Pada Julai lepas, satu tribunal PBB menolak tuntutan China terhadap SCS susulan aduan yang difailkan oleh Filipina pada 2013. Tribunal itu juga menolak tuntutan China terhadap apa dipanggil ‘garis sembilan dash’ di laut berkenaan.

Berikutan keputusan itu, kerajaan Malaysia berpendapat pertikaian tersebut boleh diselesaikan melalui proses diplomatik dan undang-undang.

"Malaysia percaya bahawa amat penting bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan melalui latihan kawal diri dalam menjalankan aktiviti-aktiviti yang boleh merumitkan lagi pertikaian atau meningkatkan ketegangan, dan mengelakkan ancaman atau penggunaan kekerasan di Laut China Selatan," Kementerian Luar Malaysia berkata pada masa itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.