Menteri Luar China Kunjungi Malaysia, Beberapa Hari Selepas Bot Negaranya Ditahan

Staf BeritaBenar
2020.10.12
Washington
201012-MY-Ch-boats1000.jpg Tiga daripada enam bot nelayan China yang ditahan Malaysia pada Jumaat kerana didakwa memasuki perairan negara itu tanpa kebenaran.
[Foto ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Menteri Luar China dijangka tiba di Kuala Lumpur pada lewat Isnin  dalam lawatan ke lima negara Asia Tenggara, di tengah ketegangan di Laut China Selatan serta beberapa hari selepas pengawal pantai Malaysia menahan enam bot nelayan China dan anak kapalnya kerana disyaki menceroboh perairan negara itu.

Semasa lawatannya ke Malaysia yang akan berakhir pada Selasa, Ahli Majlis Penasihat Negara China dan Menteri Luar Wang Yi dijadual bertemu dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Hishamuddin Hussein.

Sementara itu pada Isnin, Beijing mendesak Malaysia supaya melakukan "penyiasatan yang adil" terhadap kes bot dan anak kapal China yang ditahan itu.

“Semasa lawatan itu, Hishammuddin dan Wang Yi akan membincangkan status vaksin COVID-19 yang dihasilkan China, meningkatkan kerjasama ekonomi, kerjasama pascapandemik serta usaha mengukuhkan hubungan dua hala sedia ada di antara kedua-dua negara,” menurut kenyataan Kementerian Luar Malaysia pada Ahad.

China dan Kemboja menandatangani perjanjian perdagangan bebas pada Isnin semasa lawatan Wang ke Phnom Penh, negara pertama yang dikunjunginya dalam lawatan serantau itu.

Setelah pertemuan dengan rakan sejawatannya dari Malaysia, Wang akan berlepas ke Thailand dan Laos sebelum melakukan lawatan transit di Singapura, lapor Associated Press.

Pada Sabtu, Wang mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Teodoro L. Locsin Jr. di China.

"Kedua-dua Menteri Luar itu juga mengadakan perbincangan mendalam mengenai masalah keamanan serantau serta isu-isu kepentingan bersama dalam konteks hubungan ASEAN-China dengan Filipina bertindak sebagai penyelaras China, dan juga dalam forum multilateral yang lebih meluas, ”kata kenyataan kementerian luar Filipina.

Kunjungan Wang ke negara-negara berkenaan adalah semasa meningkatnya ketegangan antara Amerika Syarikat dan China berhubung Laut China Selatan yang menjadi pertikaian, dengan kedua-dua negara besar itu melobi negara-negara Asia Tenggara bagi mendapatkan sokongan.

"Enam negara Asia lain mempunyai tuntutan wilayah atau sempadan maritim di Laut China Selatan yang bertindih dengan tuntutan meluas China. Negara itu ialah Brunei, Indonesia, Malaysia, Filipina, Taiwan dan Vietnam. Walaupun Indonesia tidak menganggap dirinya sebagai pihak dalam pertikaian Laut China Selatan, Beijing menuntut hak bersejarah untuk bahagian-bahagian laut yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia. "

Pada Julai, Malaysia menyatakan kapal pengawal pantai dan kapal tentera laut China memasuki perairan Malaysia di laluan yang dipertikaikan itu sebanyak 89 kali di antara 2016 dan 2019, lapor Reuters. Kapal  China berkenaan sering berada di kawasan itu walaupun tentera laut Malaysia mengarahkannya keluar dari situ, kata kerajaan Malaysia.

Pada Julai juga, Malaysia menyatakan ia menolak "Sembilan Garisan Putus" China yang secara umumnya menunjukkan tuntutannya di sebahagian besar Laut China Selatan. Kenyataan itu adalah tindak balasnya terhadap China yang membantah tuntutan awal Malaysia pada Disember lalu, semasa penyerahan nota kepada PBB, berhubung pentas benua yang diperluaskan di Laut China Selatan.

201012-MY-locator-map-inside620.jpg

'Penyiasatan adil'

Enam bot nelayan China dan 60 anak kapal itu yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada Jumaat telah dikesan di perairan wilayah Tanjung Setapa yang terletak di tenggara negeri Johor, kata pegawai APMM.

Pihak berkuasa maritim Malaysia amat serius dalam memastikan perairan negara sentiasa dilindungi, dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melanggar undang-undang itu, kata seorang pegawai agensi itu dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu.

Pada Isnin, BeritaBenar menghubungi Kedutaan Besar China di Kuala Lumpur bagi mendapatkan komen tetapi ia enggan mengulas mengenai lawatan Wang atau kes nelayan China yang ditahan itu.

Sementara itu pada Isnin, jurucakap Kementerian Luar China menyatakan bahawa kedutaannya di Malaysia telah menghubungi pihak berkuasa tempatan dan menghantar pegawainya melawat nelayan China yang ditahan itu untuk menawarkan bantuan yang diperlukan.

"Pihak China telah meminta pihak Malaysia untuk menjalankan siasatan yang adil mengikut undang-undang, memastikan hak dan kepentingan warganegara China yang terlibat serta memaklumkan kami mengenai perkembangan terkini kes itu," kata Zhao Lijian, jurucakap kementerian itu, pada taklimat harian media.

BeritaBenar menghubungi APMM untuk mengesahkan kenyataan China itu tetapi agensi itu enggan memberi sebarang maklum balas.

Seorang penganalisis keselamatan serantau memberitahu BeritaBenar bahawa penahanan bot China di Malaysia adalah sah tetapi meletakkan negara itu dalam kedudukan yang rumit "kerana ia melibatkan China."

"Insiden seperti ini mungkin membawa kesan negatif jika tidak ditangani dengan baik," kata Ramli Dollah dari Universiti Malaysia Sabah kepada BeritaBenar.

"Malah, hari ini [Isnin] kenyataan jurucakap Kementerian Luar China Zhao Lijian yang disiarkan media antarabangsa boleh dilihat sebagai satu bentuk tekanan kepada kerajaan Malaysia dalam isu ini."


Nisha David di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.