Polis Malaysia Siasat Pemilik dan Krew Selepas Bot Tenggelam di Perairan Sabah

Desmond Davidson
2017.01.30
Kuching, Sarawak
170130-MY-shipwreck-620.jpg Pegawai Malaysia mengeluarkan foto tidak bertarikh yang menunjukkan bot yang tenggelam pada Sabtu.
[Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Pihak berkuasa Malaysia pada Isnin, telah berjaya meliputi 2,400 batu nautika persegi kawasan pencarian di perairan Sabah melalui udara dan laut dalam usaha mencari empat orang pelancong China dan seorang anak kapal selepas sebuah bot yang membawa 30 orang tenggelam pada Sabtu.

Sehingga pukul 7 petang Isnin, pihak berkuasa negara itu telah mengesahkan bahawa tiga warga China maut manakala 20 lagi pelancong dan dua anak kapal telah berjaya diselamatkan dalam kejadian itu, sambil memaklumkan bahawa operasi mencari dan menyelamat akan diteruskan tanpa henti.

Pemilik bot didapati telah melanggar peraturan, termasuk membawa muatan lebih, kata Pesuruhjaya Polis Sabah Ramli Din kepada agensi berita Bernama.

"Polis juga akan menyiasat sama ada kecuaian membawa kepada kematian pelancong," tambah Ramli

Bot kelajuan tinggi jenis katamaran yang membawa anak-anak kapal berserta 27 pelancong yang kesemuanya dari China,  sedang dalam perjalanan ke Pulau Mengalum, sebuah destinasi pelancongan 56 km (35 batu) barat laut Kota Kinabalu, pada awal Sabtu tenggelam semasa dipukul ombak kuat, menurut pihak berkuasa.

Bot berkenaan meninggalkan jeti di ibu negeri Kota Kinabalu sekitar jam 9 pagi pada Sabtu. syarikat pelancongan membuat laporan kehilangan bot berkenaan 12 jam selepas ia gagal berlabuh di pulau itu.

China risau

Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan yang pihak berkuasa negara itu, sedang memantau perkembangan terkini selepas Presiden China Xi Jinping pada Ahad "menuntut secara habis-habisan usaha mencari dan menyelamat," menurut agensi berita rasmi China,  Xinhua.

Xinhua berkata, pasukan kecemasan, yang diketuai oleh seorang pegawai dari pentadbiran pelancongan negara di Beijing, telah ditubuhkan untuk mengendalikan kejadian itu.

"Semalam adalah hari pertama perayaan Tahun Baru Cina dan ia sepatutnya hari yang bahagia. Malangnya, perkara yang tidak baik berlaku, " kata Konsul Jeneral China di Sabah, Chen Peijie, kepada agensi berita Bernama pada Ahad.

Rakyat Cina mahu usaha mencari mereka yang hilang dalam kejadian bot katamaran  tenggelam itu diperhebatkan berikutan masih terkesan dengan kejadian kehilangan Penerbangan MH 370 milik  Malaysia Airline pada Mac 2014. Pencarian antarabangsa yang melibatkan tiga negara di Lautan Hindi berakhir awal bulan ini selepas gagal menemui pesawat yang membawa 239 penumpang dan anak kapal di mana 153 daripadanya adalah warga China.

"Saya mengambil serius kejadian tragedi bot karam di Sabah, dan saya mahu siasatan terperinci untuk mengenal pasti punca kejadian," kata Najib dalam laman Facebook pada Isnin.

Penyiasat melaporkan, 28 orang penumpang berada di atas kapal, tetapi lewat Isnin seorang pegawai tertinggi di negeri itu menjelaskan angka yang sebenar. "Siasatan terkini kami menunjukkan hanya 27 pelancong dari China menaiki bot. Jadi empat pelancong dan seorang anak kapal masih hilang, " kata Ramli dalam tweetnya lewat malam Isnin.

Tiga ditahan untuk siasatan

Kedua-dua anak kapal yang diselamatkan ditahan bersama dengan pemiliknya oleh polis bagi siasatan lanjut, kata Ramli pada snin.

Dalam pada itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), berkata 20 pelancong dan dua anak kapal telah diselamatkan dari laut oleh bot nelayan yang melalui perairan itu pada Ahad selepas kesemua mereka terapung dan dilanda ombak besar dan laut bergelora di sekitar perairan Brunei hampir 32 jam, katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Puzi Kahar, Ketua APMM berkata, selepas menyoal siasat krew,  adalah dipercayai  "bot katamaran itu 'pecah' selepas dipukul ombak dan tenggelam" kira-kira sejam selepas memulai perjalanan yang mengambil masa satu setengah jam ke pulau berkenaan.

Pihak berkuasa Malaysia telah menggunakan 13 kapal, dua pesawat dan tiga helikopter termasuk bantuan negara jiran Brunei yang menggerakkan sebuah kapal dan pesawat udara dalam misi itu, kata APMM pada Isnin. Agensi itu telah mengenal pasti tiga terbunuh bersama-sama dengan 22 orang diselamatkan dan lima masih hilang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.