Malaysia Tahan 100 Rakyat China Terlibat Sindiket Perjudian Haram Atas Talian

Ali Nufael
2019.08.21
Kuala Lumpur, Malaysia
190821-MY-CH-Gambling1000.jpg Seorang anggota polis Kemboja (kanan) menyerahkan paspot kepada sekumpulan 47 rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam operasi perjudian haram, ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Siem Reap di Kemboja, 17 Februari, 2019.
[AFP]

Polis Malaysia bertindak mematahkan sindiket perjudian atas talian dan pelaburan saham tanpa lesen melibatkan negara China dengan menahan 100 ahli sindiket yang kesemuanya rakyat negara itu dalam serbuan serentak di empat buah banglo di kawasan elit bandaraya Kuala Lumpur pada Rabu.

Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap Polis DiRaja Malaysia [PDRM] Bukit Aman, Mohamad Hedzir Hussin berkata, turut ditahan dalam serbuan itu ialah seorang wanita warga tempatan.

“Seramai 83 lelaki dan 17 wanita warga China yang berusia antara 19 dan 65 tahun ditahan di empat buah banglo yang diserbu di kawasan elit Mont Kiara pada Rabu. Kesemua mereka dipercayai menjalankan aktiviti promosi judi atas talian dan aktiviti pelaburan saham tanpa lesen yang berpusat di Negara China,” kata Mohamad Hedzir kepada pemberita di lokasi.

Beliau berkata sindiket yang mensasarkan mangsa hanya di China, memperdaya dengan menawarkan permainan judi atas talian yang dikatakan senang untuk dimain serta mempunyai peluang menang yang tinggi.

“Mereka akan menghantarkan satu kod kepada pelanggan yang mahu mencuba dengan menawarkan lebih 200 jenis permainan atas talian dari laman web perjudian yang rata-rata menggunakan Bahasa China dalam aplikasinya. Semua urusniaga dan pembayaran dilakukan melalui Wechat Pay atau bank di China dengan jumlah mangsa dianggarkan lebih dari 1,000 orang,” kata Mohamed Hedzir sambil menambah yang pihak polis telah memantau aktiviti sindiket itu sejak sebulan lalu.

Beliau juga memberitahu, bahawa keempat-empat premis yang diserbu itu dipercayai berfungsi sebagai pusat penganjur kepada laman web judi atas talian dengan mengaut keuntungan sebanyak 72,000 ringgit (AS$17,242) sehari.

Katanya, semasa serbuan keatas keempat-empat premis, yang disewa sekitar RM17,000 (AS$4,071) sebulan itu, sebanyak 66 komputer riba, 23 komputer peribadi, 555 telefon bimbit, 11 buah modem dan 8 buah router telah dirampas.

Mohamed Hedzir berkata, hasil kerjasama dengan Jabatan Imigresen Malaysia, kesemua mereka yang ditahan didapati masuk ke negara itu dengan menggunakan pas lawatan sosial dan ditahan bagi  disiasat dibawah Seksyen 4(1) (c) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RM20,000 (AS$4,789) dan maksimum RM200,000 (AS$47,897) dan boleh dihukum penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Selian itu, mereka juga disabitkan kesalahan dibawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda maksimum RM2,000 (AS$478.97) atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali dan juga dibawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1969 kerana tinggal lebih masa yang membawa hukuman penjara tidak melebihi dua tahun dan sebatan.

Premis dikawal ketat

Menurut Hedzir, kawasan banglo yang diserbu pihak polis itu dilengkapi ciri- ciri keselamatan yang ketat dengan kesemua mereka dilarang keluar atau masuk sesuka hati. Sindiket juga menyediakan  makanan dan minuman atau masak sendiri.

“Kawasan perumahan itu mempunyai pengawal keselamatan dan dilengkapi dengan CCTV. Untuk memasuki kawasan itu juga memerlukan kad akses... Pihak Unit Siasatan Jenayah Komputer (D10) Forensik dan Pakar Judi juga hadir membuat analisa terhadap barang kes yang dirampas bagi membantu siasatan,” kata Hedzir.

Sementara itu, Mohamad Rahim Kamaludin, ahli akademik dan kriminologi kanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia berkata, sindiket antarabangsa yang menggunakan warga China itu senang menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi mereka kerana akses yang mudah untuk memasuki negara.

“Pas lawatan tiga bulan selalu disalahguna. Sindiket ini mempunyai rangkaian besar, yang mana ahlinya silih berganti. Jadi mereka senang menyalahgunakan permit masuk… selepas ditangkap mereka diusir pulang, yang lain pula akan menggantikan tempat orang yang diusir keluar itu. Jadi, tiada apa yang mereka takuti, dan perkara seperti ini adalah satu putaran,” tambah Rahim.

Pada awal Ogos, Jabatan Imigresen Malaysia membongkar satu sindiket perjudian dalam talian dengan tertangkapnya 36 warga China dalam satu serbuan di empat buah kediaman di Kuala Lumpur dengan dipercayai telah beroperasi selama lima bulan.

Kesemua yang ditahan dan disiasat dibawah Akta Imigresen kena tidak mempunyai permit perjalanan dan tinggal lebih masa.

Manakala empat bulan lepas, 26 warga China ditahan dalam serbuan pihak polis di sebuah banglo di Taman Hill View, Ampang kerana penglibatan mereka dalam sindiket perjudian dalam talian tanpa lesen

Sindiket itu yang berpindah randah untuk mengelak aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa, dipercayai menerima pertaruhan sebanyak RM48 juta(AS$11.4 juta) sehari.

Pada Januari lalu, seramai 89 warga China dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menjalankan aktiviti pertaruhan haram dan sebahagian daripada mereka ditahan di Bukit Bintang kerana menjadikan sebuah pejabat sebagai pusat panggilan kepada kaki judi dalam talian.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, pihak berkuasa di Filipina, Vietnam, Laos, dan Kemboja telah bertindak untuk menangkap ratusan warga China yang disyaki terlibat dalam operasi perjudian atas talian haram.

China, telah mengharamkan perjudian atas talian, pada Rabu menggesa Filipina untuk mengharamkan semua permainan di internet sebagai sebahagian daripada usaha Beijing untuk mengawal aktiviti pengubahan wang haram dan jenayah lain, yang dikatakan mempunyai kaitan dengan industri tersebut.

Menurut Transparency International dan Asian Racing Federation seperti dilaporkan agensi berita Reuters pada Jun 2018, Asia menyumbang kira-kira 80 peratus daripada AS$500 bilion pertaruhan haram global.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.