Follow us

PM Malaysia Larang Pemilikan Asing Dalam Projek Waterfront Johor

Hadi Azmi
Kuala Lumpur, Malaysia
2018-08-27
E-mel
Komen
Share
Bakal pembeli melihat model pembangunan di bilik pameran Forest City yang merupakan projek Garden City di Johor Bahru, Malaysia, 21 Feb, 2017.
Bakal pembeli melihat model pembangunan di bilik pameran Forest City yang merupakan projek Garden City di Johor Bahru, Malaysia, 21 Feb, 2017.
[Reuters]

Pembangunan berhadapan kawasan air bernilai AS $100 bilion yang menyasarkan pelabur-pelabur dari China, kini dalam keadaan tidak menentu selepas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Isnin memberitahu bahawa orang asing dilarang membeli mana-mana hartanah berkenaan.

Projek Forest City adalah pembangunan perumahan bercampur yang dilancarkan pada 2013, dengan ia menghadap Singapura dan terletak di kawasan tebus tanah di pesisir pantai Johor, iaitu kawasan paling selatan di Semenanjung Malaysia.

"Apa yang pasti, bandar yang akan dibina itu tidak boleh dijual kepada orang asing. Kami tidak akan memberi visa untuk orang datang dan tinggal di sini,"kata Mahathir kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Apabila siap nanti, kira-kira 700,000 orang bakal mendiami kompleks kediaman Forest City. Ia akan mempunyai taman, pusat beli-belah dan hotel selain mewujudkan 220,000 pekerjaan dan menyumbang kira-kira RM200 bilion (AS$50 bilion) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia menjelang 2035.

Mahathir berkata, kerajaannya membantah projek itu kerana ia dibina untuk warga asing bukannya untuk rakyat Malaysia.

"Kebanyakan rakyat Malaysia tidak mampu membeli pangsapuri itu," katanya, merujuk kepada laporan bahawa pangsapuri dua bilik tidur dalam projek itu dijual pada harga permulaan sebanyak AS$170,000.

Namun, tidak jelas bagaimana Mahathir akan menghalang orang asing membeli hartanah dalam projek itu, yang merupakan projek usaha sama antara Country Garden Group yang disenaraikan di bursa Hong Kong dan firma tempatan Esplanade Danga 88, syarikat yang sebahagiannya dimiliki oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ismail.

Perkembangan terbaru itu nampaknya memberi kesan kepada pemaju, kata ejen hartanah, dengan munculnya kontroversi susulan laporan bahawa kira-kira dua pertiga pemilik unit kediaman di Forest City setakat ini adalah terdiri daripada rakyat China. Pelabur lain adalah dari Indonesia, Dubai dan Thailand.

Dalam maklum balasnya, pemaju projek itu Country Garden Pacificview (CGPV) pada Isnin menafikan bahawa ia mengeluarkan status pemastautin tetap kepada pembeli asing. Syarikat tersebut menegaskan bahawa ia telah mematuhi semua undang-undang dan peraturan yang ditetapkan.

"Rakyat asing atau syarikat asing boleh memperoleh tanah di Malaysia dengan syarat ia tertakluk kepada kelulusan Pihak Berkuasa Negeri terlebih dahulu," kata CGPV dalam satu kenyataan.

Menurut syarikat itu komen Mahathir "mungkin telah dipetik di luar konteks," dan pegawai syarikat itu sedang mendapatkan penjelasan daripada Pejabat Perdana Menteri.

"Ia adalah seperti apa yang diperkatakan beliau," kata pegawai di pejabat Mahathir kepada BeritaBenar pada lewat Isnin, tanpa mengulas lanjut.

Kenyataan Mahathir itu memberi kesan besar terhadap projek itu, yang sedang berusaha memulihkan permintaan selepas Beijing mengenakan peraturan ketat kepada modal dan aliran keluar mata wang asing pada tahun lepas. Hartanah itu pada mulanya dipasarkan di China tetapi Country Garden mengalihkan tumpuannya dengan menjual kepada pelabur-pelabur asing lain.

Semasa mengetuai pakatan pembangkang dalam mendapatkan kemenangan pada pilihan raya umum 9 Mei, Mahathir menyasarkan Forest City dan projek-projek besar lain yang disokong oleh pembiayaan China. Beliau berulang kali menuduh bekas pemimpin terdahulu,  Najib Razak, menjual kedaulatan Malaysia kepada China dengan membenarkan rakyat asing tinggal di negara itu melalui pembelian hartanah di Forest City. Najib menafikan dakwaan tersebut.

Sebelum pilihan raya umum itu, permintaan terhadap pangsapuri Forest City telah pun berkurangan dengan jualannya merosot sebanyak 20 peratus pada 2017, lapor Reuters.

Mahathir berada di China dari 17 Ogos untuk lawatan rasmi selama lima hari di mana beliau bertemu dengan Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Keqiang bagi merundingkan semula komitmen Malaysia terhadap pelaburan Beijing di negara itu semasa di bawah pimpinan Najib, dengan menyatakan projek-projek itu terlalu tinggi kosnya.

Isu-isu melibatkan kedaulatan negara

Mahathir mungkin menyatakan bahawa tanah Forest City harus kekal menjadi wilayah Malaysia walaupun adanya pemilikan harta oleh warga asing, kata Barjoyai Bardai, penganalisis kewangan di Pusat Antarabangsa bagi Pendidikan Kewangan Islam.

"Dalam hal ini, kerajaan nampaknya mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku di negara-negara tertentu di Afrika, dan juga di Sri Lanka, di mana akibat salah urus dan pembelian strategik, seluruh bandar itu menjadi milik negara asing," kata Barjoyai kepada BeritaBenar.

"Ia boleh menimbulkan masalah kelak kerana ini adalah perkara yang melibatkan kedaulatan negara," katanya.

Awang Azman Awang Pawi, penganalisis politik dari Universiti Malaya, pula berkata bahawa Mahathir perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan yang boleh dilihat sebagai bertentangan dengan kenyataan rasmi terdahulu.

Penganalisis itu melihat kenyataan yang berubah-ubah itu boleh  menjejaskan keyakinan pelabur asing.

"Menurut laporan pada tahun lepas, sebanyak 70 peratus daripada hartanah yang dijual di sana telah dibeli oleh warga asing dari China. Apakah kita perlu membayar pampasan kepada mereka nanti?" kata Awang Azman kepada BeritaBenar.

"Mungkin beliau ‘mempelajari’ sesuatu daripada kerajaan China semasa melakukan lawatan ke Beijing baru-baru ini, yang membuatkan beliau mengubah fikirannya," kata penganalisis itu "tetapi keputusan seperti itu haruslah dibuat dan diumumkan secara rasmi oleh kabinet."

Lihat Laman Penuh