Firma Tenaga Solar China Mahu Labur $10B Di Malaysia

Pelaburan itu dibuat walapun Amerika Syarikat mengenakan larangan terhadap beberapa firma tenaga solar China berikutan dakwaan bahawa etnik Uyghur dijadikan buruh paksa.
Ray Sherman & Hadi Azmi
2021.06.25
Kuala Lumpur
Firma Tenaga Solar China Mahu Labur $10B Di Malaysia Seorang lelaki berjalan di antara panel di sebuah loji tenaga solar yang sedang dibina di Aksu, dalam Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur, China, 5 April 2012.
[Reuters]

Sebuah syarikat tenaga solar dari China bersetuju untuk melabur sebanyak $10 bilion di Malaysia selama 15 tahun, ketika firma-firma China sedang meninjau Asia Tenggara untuk memperluaskan pengeluaran dan mengelak "halangan" yang dikenakan oleh negara-negara Barat, kata seorang pemimpin perniagaan pada Jumaat.

Syarikat-syarikat China memilih untuk menjalankan perniagaan di Asia Tenggara berbanding negara-negara lain di pelusuk dunia kerana adanya jalinan sinergi dalam projek-projek Satu Jalur, Satu Laluan (OBOR) Beijing di rantau itu, kata Tan Yew Sing, presiden Dewan Perniagaan Malaysia-China.

"China berminat melabur di Malaysia kerana Amerika Syarikat dan negara-negara Barat meletakkan lebih banyak halangan bagi China untuk melabur di sana. Oleh itu, mereka meninjau negara-negara ASEAN, Timur Tengah, dan Afrika,” kata Tan kepada BenarNews dengan merujuk kepada Persatuan Negara-negara Asia Tenggara.

"Daripada tiga rantau itu, ASEAN masih menjadi pilihannya terutama kerana dasar Satu Jalur, Satu Laluan," jelasnya.

Pada Khamis, kerajaan Malaysia mengumumkan bahawa syarikat gergasi tenaga solar, Risen Energy Co. Ltd, yang merupakan syarikat swasta China, akan melabur sebanyak RM42.2 bilion (AS$10.1 bilion) dari 2021 hingga 2035 dalam loji utama pertamanya di Asia Tenggara. Ia terletak di negeri utara Kedah.

Pelaburan firma China itu adalah "tepat pada masanya" bagi Malaysia, yang sedang berusaha menarik pelaburan langsung asing (FDI), kata Asrul Hadi Abdullah Sani, pengarah firma perunding politik Malaysia, Bower Group Asia.

"Kerajaan persekutuan dikritik karena gagal membawa masuk FDI," kata Asrul Hadi kepada BenarNews. FDI di Malaysia merosot 56 peratus pada 2020, menurut data kerajaan.

Pelaburan projek solar syarikat China itu, yang menyusuli sumbangan sebanyak 500,000 dos vaksin Sinovac COVID-19 daripada neagra itu, akan mengukuhkan lagi hubungan China-Malaysia, katanya.

Pada Khamis juga, Amerika Syarikat (AS) mengumumkan bahawa ia menghentikan import daripada pengeluar polysilicon utama China, Hoshine Silicon Industry Co. Ltd, berikutan dakwaan menggunakan etnik Uyghur sebagai buruh paksa di Wilayah Autonomi Xinjiang Uyghur.

Washington turut menyenarai hitam unit-unit dalam tiga syarikat China yang lain, dengan sebahagian daripadanya merupakan pengeluar utama silikon monokristal dan polisilikon yang digunakan dalam pengeluaran panel solar.

Lebih 90 peratus daripada semua panel solar yang menghasilkan elektrik memerlukan polisilicon - varian penulenan daripada logam silikon kelabu yang diperbuat daripada kuarza - dan empat daripada lima pengeluar polisilikon terbesar di dunia adalah terletak di China, menurut Bernreuter Research, sebuah firma penyelidikan Jerman.

Kenyataan Perdana Menteri dan menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia tidak menyatakan dari mana kilang Malaysia Risen Energy akan mendapatkan polisilikon. Tetapi, mereka menyatakan bahawa syarikat China akan menghasilkan solar - atau fotovoltaik – sel dan panel solar di bawah anak syarikatnya di Malaysia, Risen Solar Technology Sdn Bhd.

BenarNews menghubungi Pejabat Perdana Menteri untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut tetapi pihaknya tidak segera memberi maklum balas manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri meminta perkhidmatan berita ini supaya merujuk kepada kenyataan mengenai pelaburan tersebut.

Enam syarikat tenaga solar lain sedang beroperasi di Malaysia termasuk tiga daripada China.

‘Malaysia mempunyai banyak bahan mentah’

Sementara itu, satu sumber kementerian perdagangan antarabangsa dan indusri, yang meminta namanya tidak dinyatakan kerana tidak dibenarkan bercakap dengan wartawan, memberitahu BenarNews bahawa pembinaan kilang Malaysia Risen Energy telah pun dimulakan.

Pembinaan kilang baru itu dijadualkan selesai pada akhir tahun ini dan akan beroperasi pada suku pertama 2022, menurut kenyataan Mohamed Azmin Ali, menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kilang itu dijangka mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan modul fotovoltaik (solar) tiga gigawatt (3GW) dengan kecekapan tinggi bagi lima tahun pertama "untuk memenuhi permintaan global yang semakin meningkat," kata Azmin. Ia juga diharapkan dapat mewujudkan 3.000 pekerjaan selama 15 tahun.

Pejabat Azmin memberitahu BenarNews bahawa pakar teknikal dari China akan dibawa ke Malaysia untuk tujuan latihan apabila kilang itu siap dibina.

Xie Jian, ketua dan presiden Risen Energy Co. Ltd., berkata syarikat itu memilih Malaysia kerana lokasinya yang strategik di Asia Tenggara.

"Malah, Malaysia mempunyai banyak bahan mentah, modal insan yang berkualiti tinggi selain hubungan etnik yang harmoni di mana penduduknya saling bergaul dengan baik," menurut kenyataan kementerian perdagangan antarabangsa dan industri itu, yang memetik beliau sebagai berkata demikian.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.