Negara serantau gesa China, AS kekalkan keamanan susulan lawatan Pelosi ke Taiwan
2022.08.03
Washington

Beberapa kerajaan di Asia Tenggara pada Rabu menggesa China dan kuasa besar saingannya, Amerika Syarikat (AS) supaya mengelak daripada "tindakan provokatif" yang boleh memburukkan lagi ketegangan, dengan menyatakan bahawa mereka memantau dengan teliti keadaan di sekitar Taiwan di tengah-tengah lawatan kontroversi Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi ke negara itu.
Pegawai-pegawai Indonesia, Malaysia, Filipina dan Taiwan mengulangi sokongan mereka terhadap Dasar Satu China dengan Beijing diiktiraf sebagai kerajaan tunggal China. Amerika Syarikat juga berpegang kepada dasar ini tetapi ia mengekalkan hubungan erat tidak rasmi dengan Taiwan dan bersedia memberikan sokongan pertahanan. Washington hanya memaklumi tuntutan kedaulatan China ke atas Taiwan dan bukan menyokongnya.
Kementerian Luar Indonesia mengeluarkan kenyataan bagi menyuarakan kebimbangan terhadap "persaingan yang semakin meningkat antara kuasa-kuasa besar" tanpa menamakan AS dan China walaupun ia menggesa "semua pihak supaya mengelak daripada melakukan tindakan provokasi yang mungkin memburukkan lagi keadaan.
"Dunia amat memerlukan kebijaksanaan dan tanggungjawab semua pemimpin untuk memastikan keamanan dan kestabilan dikekalkan."
Kementerian Luar Negeri Thailand turut mengeluarkan kenyataan dengan gesaan serupa.
“Kami tidak mahu melihat sebarang tindakan yang akan memburukkan lagi ketegangan dan menjejaskan keamanan dan kestabilan di rantau ini,” kata jurucakap kementerian itu Tanee Sangrat dalam satu kenyataan.
“Kami berharap semua pihak yang berkenaan dapat menahan diri dengan sepenuhnya, mematuhi undang-undang antarabangsa dan prinsip menghormati kedaulatan dan integriti wilayah serta menyelesaikan perbezaan mereka secara aman.”
Ketika pesawat tentera yang membawa Pelosi mendarat di Taipei pada petang Selasa, Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) China mengumumkan mengenai latihan kebakaran di enam lokasi sekitar Taiwan dengan beberapa daripadanya bertindih dengan perairan wilayah berdaulat pulau itu.
Selain itu, sebanyak 21 pesawat tentera China termasuk 10 jet pejuang J-16 dan dua pesawat peninjau melakukan penerbangan di ruang zon pengenalan pertahanan udara Taiwan (ADIZ).
Semasa di Taipei, Pelosi melawat Parlimen Taiwan sebelum bertemu dengan Presiden Tsai Ing-wen, yang menganggapnya sebagai "seorang sahabat Taiwan yang paling setia."
Dalam ucapan ringkasnya pada pertemuan itu, Pelosi memuji Taiwan kerana mampu berdaya tahan.
“Keazaman Amerika untuk memelihara demokrasi di Taiwan dan seluruh dunia kekal utuh,” katanya sambil menegaskan bahawa AS “tidak akan melepaskan komitmen kami terhadap Taiwan.”
Filipina, yang berkonfrontasi dengan China di Laut China Selatan dan mengekalkan Perjanjian Pertahanan Bersama dengan Amerika Syarikat, berkata ia mengikuti lawatan Pelosi kerana bimbang ia boleh meningkatkan ketegangan dengan Beijing.
Delegasi AS yang diketuai Pelosi berlepas dari Taiwan pada petang Rabu dan menuju pula ke Korea Selatan.
“Tentera dan DFA (Jabatan Luar Negeri) kami memantau dengan teliti situasi ini seperti mana yang mereka lakukan untuk mana-mana keadaan serupa,” kata Trixie Cruz-Angeles, jurucakap Presiden Ferdinand Marcos Jr.
“Mengenai hubungan antarabangsa, kami kaji reaksinya. Kami tidak memberi reaksi sambil lewa kerana ia boleh menjejaskan hubungan antarabangsa,” katanya sambil menegaskan bahawa “kata-kata celupar” boleh menjejaskan hubungan Filipina-China.
Cruz-Angeles berkata utusan China ke Manila, Huang Xilian, mengingatkan para pegawai supaya mematuhi Dasar Satu China.
“Hanya ada satu China di dunia. Taiwan adalah bahagian yang tidak boleh dipisahkan daripada wilayah China,” kata Huang pada Selasa menjelang lawatan Pelosi.
Diplomat China itu berkata beliau berharap Filipina akan "mengendalikan semua isu berkaitan Taiwan dengan berhemah untuk memastikan perkembangan hubungan China-Filipina yang kukuh dan mantap."
Sementara itu, menteri luar Malaysia berkata kerajaannya mahu memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran terus dipelihara di rantau ini, dengan para pegawai di Kuala Lumpur berusaha mengekalkan hubungan yang baik dengan rakan sejawatan mereka di Beijing dan Washington.
“[Saya] mahu semua pihak berkenaan menangani situasi ini dengan cara yang terbaik kerana kami menghargai dan meletakkan nilai yang tinggi terhadap AS dan China apabila ia berkaitan dengan perdagangan dan teknologi di rantau ini selain mahu menjadi sahabat kepada kedua-dua negara itu,” kata Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah.
Seorang penunjuk perasaan pro-Beijing memijak gambar Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi semasa perhimpunan bantahan di luar Konsulat A.S di Hong Kong, 3 Ogos 2022. [Peter Parks/AFP]
'Halangan maksimum'
Menteri-menteri Luar Persatuan Negara-negara Asia Tenggara menyediakan satu kenyataan mengenai "pembangunan rentas selat" dengan menyuarakan kebimbangan yang sama dan menggesa semua pihak yang terlibat supaya "melaksanakan halangan maksimum dengan menahan diri daripada tindakan provokatif bagi mendukung kuat prinsip tidak campur tangan.
“Dunia amat memerlukan kebijaksanaan dan tanggungjawab semua pemimpin untuk menegakkan multilateralisme dan perkongsian, kerjasama, kewujudan bersama secara aman dan persaingan sihat demi mencapai matlamat bersama kita iaitu keamanan, kestabilan, keselamatan dan pembangunan inklusif dan mampan.”
Selain itu, para pegawai di Kemboja, Republik Demokratik Rakyat Laos, Myanmar dan Vietnam mengulangi sokongan mereka terhadap Dasar Satu China sambil menggesa supaya dipelihara keamanan dan kestabilan di rantau ini.
“PDR Laos mengulangi sokongannya terhadap dasar kerajaan Republik Rakyat China mengenai penyatuan semula negara secara aman,” katanya dalam catatan di Facebook.
Kerajaan pimpinan junta di Myanmar pula mengulangi keyakinannya bahawa Taiwan adalah "sebahagian daripada Republik Rakyat China" namun menyuarakan kebimbangannya terhadap lawatan Pelosi "yang menyebabkan meningkatnya ketegangan di Selat Taiwan."
“Myanmar menyeru semua pihak yang berkenaan supaya mengendurkan ketegangan dengan mengadakan dialog membina dan rundingan damai untuk keamanan dan kestabilan di seluruh Selat Taiwan,” kata junta itu dalam catatan di Facebook.
China menjadi sumber pelaburan asing terbesar di Myanmar sejak Barat menarik balik perniagaannya di negara itu susulan rampasan kuasa tentera pada Februari 2021.
Reaksi penganalisis
Seorang penganalisis di Universiti Chiang Mai, Thailand berkata beliau terkejut dengan laporan-laporan berhubung lawatan Pelosi ke Taiwan.
“Sebagai pemimpin ketiga paling berpengaruh AS selepas Presiden Joe Biden dan Naib Presiden Kamala Harris, Pelosi boleh mencatatkan peristiwa penting dalam pendekatan baharu AS di Asia. Kunjungannya ke Taiwan memberi isyarat politik yang kuat dan ia amat penting dalam hubungan AS dan Asia Timur pada masa hadapan,” kata Isa Gharti kepada BenarNews. “Beliau seperti tentera pertama AS yang meletakkan penanda penting dalam menjejaki titik kilat.
"Selepas membaca beberapa analisis kebelakangan ini, saya terkejut bahawa mereka menganggap ini sebagai permulaan kepada perang dingin baharu," katanya.
"Saya tidak fikir begitu kerana kuasa besar masih belum memulihkan ekonomi mereka dan ia tidak mampu untuk menerima kehilangan mana-mana rakan kongsi."
Nani Yusof di Washington, Tria Dianti di Jakarta, Nontarat Phaicharoen & Wilawan Watcharasakwet di Bangkok, Kunnawut Boonreak di Chiang Mai, Thailand, Jason Gutierrez di Manila dan staf perkhidmatan berita Radio Free Asia turut menyumbang kepada laporan ini.