Follow us

Pemandu Lori Ada Kaitan Dengan Wanndy Dihukum Penjara 16 Tahun

Ray Sherman
Kuala Lumpur
2017-05-18
E-mel
Komen
Share
Seorang lelaki rakyat Malaysia dijatuhi hukuman 16 tahun penjara selepas mengaku bersalah menerima arahan untuk melakukan tindakan keganasan melalui aplikasi chat Telegram (gambar).
Seorang lelaki rakyat Malaysia dijatuhi hukuman 16 tahun penjara selepas mengaku bersalah menerima arahan untuk melakukan tindakan keganasan melalui aplikasi chat Telegram (gambar).
AFP

Sebuah mahkamah Malaysia pada Khamis menjatuhkan hukuman penjara 16 tahun terhadap seorang pemandu lori berusia 21 tahun selepas beliau mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan, termasuk menerima arahan daripada perekrut kumpulan militan Negara Islam (IS) yang kini telah meninggal dunia.

Hukuman bagi setiap sabitan kesalahan adalah selama 36 tahun, tetapi Pesuruhjaya Kehakiman, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Ab Karim Ab Rahman mengarahkan hukuman terhadap Syed Amir Asyraf Syed Hamdan berjalan serentak iaitu 16 tahun dari tarikh dia ditangkap, iaitu 27 Ogos 2016.

Hukuman itu meliputi tuduhan bahawa pemandu lori itu telah menerima arahan daripada ahli IS Malaysia yang berada di Syria, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi untuk melakukan  tindakan keganasan.

Wanndy terbunuh dalam serangan ‘Drone’ di Syria pada 29 April lalu, dan pihak berkuasa Malaysia hanya mengesahkan mengenai kematiannya awal bulan ini.

Dalam menjatuhkan hukuman terhadap Syed Amir, Ab Karim berkata bahawa apa-apa kesalahan yang berkaitan dengan keganasan, termasuk menyokong perbuatan pengganas, perlu dihukum dengan sewajarnya.

"Keganasan adalah satu ancaman global yang tidak mempunyai sempadan. Mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk menghentikan perbuatan itu, " katanya semasa prosiding pada Khamis.

Semasa meminta hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya, peguam Azamuddin Abd Aziz berkata Syed Amir masih muda, tidak matang dan mudah terpengaruh dengan Wanndy.

Pendakwaraya Mohd Izhanudin Alias pula menekan supaya hukuman berat dikenakan terhadap Syed Amir sambil memaklumkan mahkamah bahawa lelaki berkenaan  menerima arahan terus dari Wanndy untuk melakukan tindakan keganasan.

Syed Amir menerima hukuman 16 tahun kerana menggunakan aplikasi chat Telegram dengan menerima arahan daripada Wanndy untuk melakukan perbuatan ganas yang melibatkan bom tangan, pistol dan 24 butir peluru. Dia didakwa mengikut Seksyen 130FA (A), yang membawa hukuman 30 tahun dan denda.

Selain itu, beliau telah juga dihukum penjara selama 10 tahun kerana dengan sengaja memberi sokongan kepada IS dengan menggunakan akaun Facebooknya, di bawah nama Syed Malizi. Dia didakwa dibawah Seksyen 130J (1) (a), yang membawa hukuman penjara seumur hidup, denda atau rampasan barang yang terlibat dalam perbuatan itu.

Syed Amir turut dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana dengan sengaja menggalakkan keahlian IS melalui WhatsApp dan Facebook dan lima tahun lagi kerana memiliki foto dan video yang berkaitan dengan IS.

Kedua-dua pertuduhan difailkan di bawah Seksyen 130JD (1) dan 130JB (1) (a) yang memperuntukkan hukuman sehingga tujuh tahun dan denda, dan rampasan barangan yang terlibat dalam perbuatan itu.

Wanndy Pengganas Global


Sebulan sebelum dia terbunuh, Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat telah menentukan Wanndy sebagai Pengganas Global.

Pada masa kematiannya, sekurang-kurangnya satu pertiga daripada lebih 250 orang yang ditahan di Malaysia kerana kaitan dengan IS di antara 2013 dan 2016 telah direkrut atau dikaitkan dengan Wanndy, mengikut statistik polis yang dipetik oleh perkhidmatan berita Reuters.

Di samping itu, pihak berkuasa Malaysia menyalahkan Wanndy kerana mendalangi serangan pengganas yang pertama yang didakwa dilakukan oleh IS di bumi Malaysia – iaitu serangan bom tangan di Kuala Lumpur-di kelab malam Movida yang mencederakan lapan orang pada Jun 2016.

Sejak 2014, sekurang-kurangnya 31 rakyat Malaysia yang menyertai IS, termasuk Wanndy, telah terbunuh di Syria atau Iraq, dan 56 lagi berjuang di Syria, demikian menurut perangkaan kerajaan yang diperolehi oleh BeritaBenar.

Lihat Laman Penuh