COVID-19: Malaysia Sekali Lagi Catat Kes Harian Melepasi Sembilan Ribu

Kebanyakkan mereka yang dijangkiti koronavirus memerlukan alat bantuan pernafasan.
S. Adie Zul & Noah Lee
2021.07.09
Kuala Lumpur
COVID-19: Malaysia Sekali Lagi Catat Kes Harian Melepasi Sembilan Ribu Anggota Tentera Malaysia memasang kawat duri di sekitar kawasan Taman Murni di Sepang, Selangor, 30 Jun, 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Malaysia terus mencatatkan peningkatan kes jangkitan baharu COVID-19, walaupun berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan yang telah berlanjutan lebih sebulan, dengan sebanyak 9,180 kes dicatatkan pada Jumaat, satu rekod tertinggi setakat ini, demikian menurut pihak berkuasa kesihatan negara itu.

Pakar kesihatan Malaysia sebelum ini turut berkata sistem perkhidmatan kesihatan awam di beberapa negeri bakal lumpuh jika lonjakan angka kes berterusan, berikutan peningkatan saringan bersasar yang giat dijalankan di kawasan dan kilang terpilih.

Sebelum ini jangkitan melebihi paras sembilan ribu adalah pada 29 Mei lalu dengan sebanyak 9,020 kes direkodkan pada masa itu.

“Malaysia merekodkan peningkatan kes positif COVID-19 melebihi 9,000 iaitu 9,180 kes berbanding semalam, 8,868 kes sekaligus mengatasi kes sembuh iaitu 5,713 kes.

“Sebanyak 77 kes kematian dicatatkan dengan 959 kes di unit rawatan rapi (ICU) selain 465 kes memerlukan bantuan pernafasan dan 80,665 kes aktif, " kata Ketua Pengarah Kesihatannya Noor Hisham Abdullah dan satu kenyataan media.

Beliau turut memberitahu Selangor terus menjadi penyumbang terbesar kepada jangkitan dengan merekodkan sebanyak 4,400 kes manakala Kuala Lumpur mencatatkan 1,271 kes, dengan peningkatan kes di negeri dan wilayah persekutuan itu adalah disebabkan oleh saringan bertumpu.

“Situasi peningkatan kes di Selangor dan Kuala Lumpur telah dijangka berikutan peningkatan saringan bertumpu yang sedang giat dijalankan di kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan di kilang-kilang," tambah Noor Hisham.

Selain itu, katanya ramai individu di kawasan Lembah Klang yang tampil sendiri ke klinik swasta untuk menjalani ujian COVID-19 dengan mereka adalah terdiri daripada kalangan yang berisiko tinggi misalnya yang bergejala atau kontak rapat,.

Katanya, lonjakan juga berlaku di Negeri Sembilan dan Labuan dan peningkatan kes harian di kedua-dua negeri dan wilayah itu telah melebihi kapasiti maksimum hospital.

"Kes harian baharu yang dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan malah kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini. Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri dan wilayah ini akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku.

"KKM khuatir dengan situasi ini dan mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat COVID-19 di lapangan," tambahnya lagi.

Sehubungan itu, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan media memberitahu yang pihak berkuasa keselamatan berkenaan telah membuka Disaster Management Zone (DMZ) di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan yang mampu menampung 50 katil untuk pesakit COVID-19 bagi kategori 4 dan 5 yang beroperasi sepenuhnya Jumaat.

Sementara itu, Noor Hisham juga memberitahu sebanyak 30 kluster baharu telah dikesan, dengan 21 daripadanya adalah kluster tempat kerja, menjadikan jumlah kluster aktif setakat ini adalah sebanyak 865 kluster.

Data terbaru yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan menunjukkan dalam tempoh dua minggu lalu, kluster tempat kerja terus menjadi penyumbang terbesar kepada penularan kes jangkitan dengan 1,445 kluster yang melibatkan 128,125 pekerja, berbanding hanya 220 kluster melibatkan 53,574 pekerja yang direkodkan dalam tempoh sama tahun lalu.

Difahamkan, 60 peratus daripada keseluruhan kluster tempat kerja yang dikesan dalam tempoh sebulan pelaksanaan perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Jun lepas, adalah berpunca daripada sektor perkilangan.

Perintah Kawalan Pergerakan yang tidak berkesudahan serta jumlah kes yang masih tidak menampakkan penurunan terus menjadi perbualan rakyat Malaysia di media sosial.

Rata-rata marah dengan kerajaan atas situasi pandemik yang berlanjutan serta kelulusan pembukaan sektor perkilangan yang menjadi punca utama jangkitan.

Tindakan keatas majikan ingkar

Di Melaka, pihak polis sedang menyiasat sebuah syarikat agensi pekerja asing kerana membawa masuk 79 pekerja asing dari Selangor ke sebuah kilang di Ayer Keroh tanpa membuat saringan kesihatan, di mana 51 daripada mereka kemudiannya telah dikesan positif COVID-19.

"Pihak pengurusan syarikat dan ejen pekerja asing itu akan dipanggil untuk membantu siasatan manakala 51 pekerja berkenaan kini diasingkan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC)," demikian menurut Ketua Polis Melaka Abdul Majid Mohd Ali dalam satu kenyataan.

Di Selangor pula, Polis berkata satu kertas siasatan telah dibuka terhadap syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, Top Glove atas dakwaan melanggar peraturan perintah larangan pergerakan apabila memindahkan 1,060 pekerjanya dari daerah Petaling Jaya ke Klang.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata siasatan awal mendapati para pekerja tersebut dipindahkan ke lapan buat hotel di sekitar Klang dari kediaman mereka di daerah Petaling Jaya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan secara bersasar dilaksanakan di asrama itu.

“Kita telah mengenalpasti lapan buah hotel itu dan kita telah ambil langkah memastikan mereka tidak dapat keluar sehingga kita mendapat keputusan ujian saringan ke atas semua pekerja itu,” katanya kepada BenarNews.

Menurutnya, pada Rabu, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan telah mengeluarkan arahan kepada syarikat itu menghentikan operasi kesemua 28 kilangnya yang terletak di daerah Klang bagi mematuhi sekatan pergerakan ketat yang dilaksanakan di Selangor.

Siasatan itu dijalankan susulan pendedahan seorang wanita yang mendakwa pengerusi sebuah badan bukan kerajaan di Selangor, yang mendakwa syarikat itu telah memindahkan 1,500 pekerja, sekaligus melanggar syarat di kawasan PKPD.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.