Rakyat Malaysia Kecewa dengan Sekatan Pergerakan Mengelirukan, Peningkatan Jangkitan

Mereka menjadikan kerajaan Muhyiddin Yassin yang tidak dipilih sebagai sasaran kemarahan.
S. Adie Zul & Noah Lee
2021.07.20
Kuala Lumpur
Rakyat Malaysia Kecewa dengan Sekatan Pergerakan Mengelirukan, Peningkatan Jangkitan Aktivis meletakkan mayat dami mangsa COVID-19 di depan kain rentang berbahasa Melayu yang menyebut “Kita Mati Dalam Derhaka”dan “Keluar dan Berjuang”ketika mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meletak jawatan selepas beliau dianggap gagal menangani isu pandemik itu.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Sebilangan besar rakyat Malaysia kecewa dan marah dengan sekatan pergerakan mengekang penularan COVID-19 yang membingungkan dan seolah tidak berpenghujung, ditambah pula dengan pertikaian politik yang tidak sepatutnya berlaku semasa negara sedang bergelut dengan krisis kesihatan dan kejatuhan ekonomi akibat pandemik tersebut.

Kemarahan orang ramai semakin meningkat terhadap anggota gabungan parti pemerintah selepas beberapa ahli parlimen mengeluarkan kenyataan tidak sensitif mengenai kesukaran hidup yang terpaksa dilalui rakyat selain bertindak melanggar sekatan pergerakan susulan penularan pandemik itu namun hanya berdepan kesan yang minimum.

Selain itu, tahap tekanan rakyat Malaysia meningkat kerana mereka terpaksa berkurung di dalam rumah atau kehilangan punca pendapatan yang amat diperlukan, atau kedua-duanya, susulan sekatan pergerakan – dengan jumlah jangkitan tertinggi ketika sekatan pergerakan terbaharu – seperti yang terdapat dalam komen beratus-ratus warganet di Twitter.

“Saya tidak mampu berbuat apa-apa. Saya sudah tidak tahan lagi dikurung di dalam rumah, ibu bapa saya pula asyik bertengkar hampir setiap hari,” kata seorang pengguna Twitter dengan nama Comelgebugebu baru-baru ini di platform media sosial itu.

“Sudah berbulan-bulan begini dan ia amat melelahkan. Tolonglah, saya sudah muak dengan dunia seperti ini!”

Dalam usaha memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik itu, Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengumumkan pusingan keempat pakej rangsangan bulan lepas sebanyak 150 bilion ringgit (US$36.2 bilion), yang merangkumi pemberian tunai sebanyak 10 bilion ringgit kepada golongan isi rumah pertengahan dan berpendapatan rendah menjelang akhir tahun ini.

Langkah itu, bagaimanapun nampaknya gagal meredakan kemarahan rakyat Malaysia seperti yang dijelaskan oleh Rahimah Ramli, 36.
“Terima kasih atas bantuan itu namun rakyat hanya mahu kembali kepada kehidupan mereka. Saya mahu begitu,” kata Rahimah, yang merupakan seorang penjual sayur dan ibu dua anak, kepada BenarNews.

210720-MY-Inside1-C19.jpg

Jalan-Jalan raya kelihatan lengang semasa pelaksanaan sekatan pergerakan COVID-19 di Kuala Lumpur, 13 Jan 2021. [Reuters]

Tekanan telah mempengaruhi kesihatan mental rakyat Malaysia, kata psikiatri Norliza Chemi yang melihat peningkatan penyakit berkaitan keresahan dan stres, terutama kemurungan.

“Malah sekatan pergerakan itu sendiri boleh mencetuskan keresahan kerana orang ramai terpaksa duduk di rumah, justeru secara amnya kita menyaksikan peningkatan kes penyakit mental,” kata Norliza, yang mengetuai Jabatan Psikiatri dan Penyakit Mental Hospital Kajang, kepada BenarNews

‘SOP yang mengelirukan semakin banyak’

Protokal sekatan pergerakan yang rumit – dan kenyataan bercanggah kerajaan mengenainya – telah menyumbang kepada keresahan dan kemarahan rakyat.
Kesemua sekatan ini disebut sebagai ‘prosedur operasi standard’ atau SOP dan Malaysia menetapkan beberapa tahap SOP – masing-masing dengan inisialnya sendiri – yang boleh membingungkan semua pihak termasuk birokrat.

“SOP yang mengelirukan semakin banyak ...PKP 3.0 lawan PKPD lawan Fasa 1 lawan PKPD Fasa 1 lawan Fasa 2? …Siapa saya? … Di mana saya? … Saya tidak tahu tentang negara lain namun saya pasti Malaysia mempunyai SOP paling rumit dan mengelirukan serta panjang lebar. #KerajaanGagal,” demikian menurut seorang rakyat Malaysia di Twitter pada awal bulan ini.

#KerajaanGagal adalah kempen media sosial yang menjadi antara trend teratas Twitter Malaysia sejak April. Pada masa itulah segalanya jelas bahawa langkah mengisytiharkan Darurat yang diambil oleh Muhyiddin, kononnya bagi membendung pandemic itu, tidak menyaksikan penurunan dalam jangkitan COVID-19.

Ketika kempen itu bermula, Muhyiddin tidak melaksanakan sekatan pergerakan yang ketat seperti dikehendaki oleh banyak pihak. Beliau akhirnya mengambil keputusan untuk berbuat demikian pada 1 Jun namun jangkitan baharu terus meningkat.

Pada Isnin, negara Asia Tenggara itu melaporkan hampir 10,972 kes baharu COVID-19 – sedikit rendah berbanding Khamis lepas yang menyaksikan angka 13,215 – dengan jumlah kumulatif kes hampir sejuta.

Dengan 129 kematian akibat virus itu – yang menyusuli jumlah tertinggi 138 pada Sabtu – angka korban akibat pandemik meningkat kepada 7,148.

Seperti kebanyakan rakyat Malaysia, aktivis yang juga peguam Lim Wei Jet tertanya-tanya apa sebenarnya yang sedang berlaku.

“Sekatan pergerakan sepatutnya mengurangkan jumlah jangkitan dan memberi masa kepada sistem penjagaan kesihatan kita. Tiada satupun yang berjaya – jumlah jangkitan semakin meningkat manakala sistem kesihatan kita kian tumbang. Berapa lama lagi rakyat perlu menempuh keadaan ini#KerajaanGagal?” katanya ketika disoal di laman Twitter minggu lepas.

210720-MY-Inside2-C19.jpg

Seorang wanita yang memakai pelitup muka melihat ke luar rumahnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Kuala Lumpur, 3 Julai 2021. [Reuters]

‘Guna maklumat berdasarkan sains’

Pengkritik berkata apabila sekatan pergerakan ketat dilaksanakan pada 1 Jun, semua perniagaan diarah tutup kecuali mereka yang berada dalam senarai 17 sektor ‘penting’. Selain itu, lebih sedozen sector pembuatan dibenarkan beroperasi dengan 60 peratus kapasiti.

“Membenarkan kesemua sektor ini beroperasi semasa pelaksanaan sekatan pergerakan yang kononnya ketat itu telah mencetuskan ‘banyak perdebatan dan ketidakpuasan hati,” kata Munir Majid, pengerusi badan pemikir bebas CARI ASEAN Research kepada National Public Radio di AS baru-baru ini.

“Sesetengah orang berkata ‘Sekatan pergerakan apa namanya jika anda membenarkan 92,000 syarikat terus beroperasi?’ Dan begitu ramai pekerja yang terus pergi ke tempat kerja,” katanya.

Pada akhir Jun, Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan dan Industri, berkata adalah tidak adil untuk mendakwa bahawa tempat kerja merupakan penyumbang utama kepada jangkitan baharu.

“Jumlah kes positif yang direkodkan daripada sektor pembuatan dan kilang adalah antara lima hingga 10 peratus sahaja. Jadi adalah tidak benar untuk meletakkan kesalahan ke atas sektor ekonomi, terutama ke atas sektor pembuatan,” demikian lapor akhbar tempatan yang memetic kenyataan Azmin.

Bagaimanapun, isunya bukan jumlah pekerja yang dijangkiti tetapi jumlah individu yang dijangkiti pekerja terbabit apabila mereka pulang ke rumah dan tinggal di kuarters kediaman yang sesak, kata Ong Kian Ming, bekas timbalan menteri di kementerian Azmin.

210720-MY-Inside3-C19.jpg

Halijah Naemat, 74, menyimpan bendera putih selepas menerima bantuan daripada orang ramai di rumahnya ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Petaling Jaya, Malaysia, 6 Julai 2021. [Reuters]

‘Seorang perdana menteri yang hidup dalam dunia khayalan’

Malaysia tidak bersendirian dalam mendepani pandemik berbahaya itu namun apa yang turut berlaku di dalam negara sepanjang dilanda virus tersebut telah mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia, kata saintis politik Bridget Welsh menerusi satu esei pada Ahad dalam Forum Asia Timur.

“Apa yang menjadikan krisis ini berbeza adalah bagaimana ia dipolitikkan. Malaysia boleh dikatakan sebagai berdepan krisis terbesarnya sejak rusuhan kaum pada 1969,” kata Welsh dalam esei bertajuk “Pandemic failures will transform Malaysian politics.”

Penganalisis politik Awang Azman Awang Pawi pula berkata kerajaan Muhyiddin yang tidak dipilih melalui pilihan raya dan memiliki majoriti tipis di Parlimen, telah memfokus kepada langkah untuk terus bertahan berbanding menangani jangkitan COVID-19.

Pada Januari, apabila Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Proklamasi Darurat atas nasihat Muhyiddin,, PM itu juga turut menggantung persidangan Parlimen.

Jadi, kerajaan bukan sahaja tidak mengendahkan permintaan pembangkang berhubung sekatan pergerakan dan dasar vaksin, ia juga turut mengabaikan syor pakar kesihatan, kata Azman.

“Rakyat kini berpendapat bahawa ahli politik masih bermain politik untuk mendapatkan kuasa sedangkan jangkitan COVID-19 semakin memburuk, yang telah mengalihkan perhatian kerajaan daripada menguruskan isu pandemik dengan sewajarnya,” katanya kepada BenarNews.

210720-MY-Inside4-C19.jpg

Seorang anggota polis memeriksa dokumen pemandu dalam satu sekatan jalan raya semasa pelaksanaan sekatan pergerakan menjelang sambutan Aidiladha di Petaling Jaya, Malaysia, 10 Mei 2021. [Reuters]

Namun begitu, bukan hanya rakyat Malaysia yang mahir media sosial kecewa dengan kerajaan.

Penjual sayur iaitu Rahimah misalnya, berkata beliau telah hilang rasa hormat kepada ahli politik.

“Ahli politik hanya kisahkan diri mereka sahaja. Mereka hanya ambil berat tentang kepentingan sendiri dan kroni mereka,” katanya kepada BenarNews.

Welsh bersetuju dengan kenyataan ini.

“Terdapat persepsi yang semakin meningkat bahawa mereka yang berkuasa tidak ambil peduli,” katanya.

“Menteri-Menteri merupakan pesalah bersiri dalam pelanggaran protocol kesihatan dan mendapat hukuman denda yang ringan berbanding denda berat yang dikenakan terhadap rakyat biasa.”

Welsh merujuk kepada gambar dan video yang menunjukkan beberapa menteri yang tidak memakai pelitup muka, makan bersama dengan rakan di restoran dan sebagainya, telah diberikan hukuman ringan bagi kesalahan mereka namun rakyat biasa Malaysia dikenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan lebih kecil.

Selain itu, komen yang dibuat oleh anggota gabungan parti pemerintah juga tidak mendekatkan mereka dengan rakyat biasa di Malaysia.

Sebagai contoh, komen Muhyiddin dan pemimpin kanan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Nik Abduh Nik Abdul Aziz mengenai inisiatif dikenali sebagai gerakan “Bendera Putih” telah dikritik hebat.

Inisiatif itu menggesa rakyat Malaysia yang memerlukan untuk mengibarkan bendera putih di rumah mereka jika mereka terdesak memerlukan makanan dan ubat-ubatan. Inisiatif ini ternyata amat berguna.

Sebagai respons, Nik Abduh berkata rakyat sepatutnya berdoa dan tidak mengibarkan bendera putih.

Muhyiddin pula berkata kerajaan pimpinan beliau telah menyediakan bantuan yang mencukupi jadi tiada siapa yang perlu mengibarkan bendera putih.

“Ia adalah okay untuk mengibarkan bendera biru,” kata perdana menteri itu.

Warna gabungan parti Muhyiddin yang memerintah ialah biru.

“Saya ingin mengingatkan beliau [Muhyiddin] bahawa terdapat ramai orang yang sedang hidup dalam kelaparan, dengan hanya makan sekali sehari di Malaysia, ketika ini,” kata Ahli Parlimen pembangkang Charles Santiago di laman Facebook.

“Saya rasa kita mempunyai seorang Perdana Menteri yang hidup dalam dunia khayalan dan tidak berpijak bumi nyata untuk menyedari apa yang sedang berlaku di lapangan.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.