Malaysia Beri Kebenaran Industri Beroperasi Tanpa Sekatan

Noah Lee & Nisha David
2020.04.28
Putrajaya, Malaysia
200428-MY-C19-Business917.jpg Suasana di hadapan kompleks membeli belah terkenal di ibunegara, Pavilion yang sunyi selepas kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan bagi memutuskan rantaian COVID-19 dari terus merebak, di Kuala Lumpur, 15 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia telah memberi kebenarkan kepada industri yang sebelum ini mendapat kelulusan beroperasi sewaktu tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) untuk beroperasi sepenuhnya tanpa sekatan masa mulai Rabu, tetapi dikehendaki mematuhi segala syarat ditetapkan, demikian kata Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa pada Selasa.

Mohamed Azmin Ali berkata keputusan kerajaan memberikan kebenaran kepada sektor-sektor ekonomi beroperasi sepenuh masa bermula Rabu dibuat pada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin pada hari yang sama.

"Menyedari keperluan mendesak untuk menangani krisis ekonomi semasa, kerajaan bersetuju supaya sektor-sektor ekonomi yang telah dibenarkan beroperasi pada PKP Tahap 1, 2 dan 3 meningkatkan kapasiti beroperasi sepenuhnya dan dibenarkan beroperasi tanpa sekatan masa mengikut keperluan industri masing-masing,

“Bagaimanapun pihak syarikat di dalam sektor yang dibenarkan itu wajib mematuhi syarat-syarat Prosidur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi sektor masing-masing ," kata Azmin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan di Putrajaya itu.

Tambah beliau, usaha berkenaan diambil untuk membolehkan negara membina semula ekonomi yang mampan, berdaya saing, serta mengembalikan keyakinan pelabur serta menjamin pekerjaan rakyat.

Namun, tegas Azmin, kegagalan syarikat yang dibenarkan dalam mematuhi prosedur standard ditetapkan kerajaan boleh menyebabkan kebenaran beroperasi mereka dibatalkan serta merta dengan tindakan undang-undang juga akan diambil.

Semasa kerajaan mula menguatkuasakan PKP pada 18 Mac lalu, hanya beberapa sektor yang diklasifikasikan sebagai 'sektor perlu' dibenarkan beroperasi, termasuk pembuatan dan perniagaan makanan. Senarai berkenaan kemudiannya telah dikemaskini pada 10 April lalu dengan MITI menyenaraikan kira-kira 10 lagi sektor tambahan yang dibenarkan beroperasi secara berperingkat-peringkat.

Antara sektor tambahan yang diberikan kebenaran itu termasuk industri automotif, tetapi terhad kepada yang terlibat dengan aktiviti eksport unit pasang siap sepenuhnya serta peralatan dan komponen, dan perkhidmatan selepas jualan; projek-projek pembinaan (terhad kepada beberapa kriteria seperti ditetapkan MITI); dan perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (terhad kepada beberapa kriteria ditetapkan MITI).

Menteri berkata, inisiatif terbaru kerajaan itu akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

"Ini tentunya akan memberi impak positif kepada pendapatan syarikat khususnya Perusahaan Kecil dan Sederhana," kata beliau.

KKM setuju industri beroperasi


Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah berkata, selepas Malaysia dilihat berada dalam fasa pemulihan kes jangkitan COVID-19, Kementerian Kesihatan (KKM) itu memberi persetujuan aktiviti ekonomi negara digerakkan semula seperti biasa tetapi dimestikan mematuhi syarat-syarat ketat yang diperkenalkan pihak berkuasa kesihatan itu.

“Kementerian menggalakkan sektor ekonomi untuk kembali berfungsi seperti biasa….,  industri terlibat perlu mematuhi SOP ketat yang perlu dipatuhi industri bagi mengekang penularan wabak, dengan KKM telah menyediakan SOP bagi semua jenis industri termasuk industri pengangkutan dan berasaskan perkhidmatan,” tambah beliau.

Katanya berbeza semasa kerajaan mula memperkenalkan PKP di mana KKM mendapati keperluan mengawal pergerakan dalam negara melalui penelitian terhadap tiga faktor utama, iaitu jumlah kematian yang tinggi akibat COVID-19, penularan virus yang mudah dan cepat tersebar, dan faktor ekonomi.

"Pada masa itu kita lihat di Malaysia ada tiga faktor dan menjangka berlakunya kes mendadak pada pertengahan April… Tetapi sekarang negara berada dalam fasa pemulihan,” kata Noor Hisham semasa menjawab soalan pemberita mengenai pengumuman Menteri mengenai kebenaran mengerakan semula sektor ekonomi negara.

Dengan tegas, Ketua Pengarah itu berkata SOP yang diperkenalkan itu adalah bagi kesemua pekerja dan mereka semestinya perlu melalui proses saringan COVID-19, dengan majikan menyediakan ruangan cukup untuk pekerja melaksanakan kerja termasuk tidak boleh ada sebarang perhimpunan melibatkan pekerja di ruangan sempit.

Selain itu, penjarakkan sosial juga wajib dipatuhi sepanjang masa dan majikan mesti memastikan pekerja mereka mengamalkan kebersihan tangan dengan sentiasa mencuci tangan menggunakan sabun atau sanitiser.

Malaysia mencatatkan jumlah kes jangkitan terendah pada Selasa dengan 31 kes sejak PKP dilaksanakan pada 18 Mac menjadikan keseluruhan kes 5,851 dengan satu kematian sekaligus  100 kematian direkodkan.

Pada sidang media yang sama Noor Hisham juga memberitahu yang seorang bayi baru dilahirkan dan berusia 18 hari telah disahkan positif  COVID-19.

Katanya, KKM masih belum dapat memastikan samada bayi itu mendapat jangkitan semasa dalam kandungan ibunya yang positif COVID-19 atau selepas kelahiran

"Kita belum pasti (bagaimana jangkitan berlaku), namun tiada sebarang komplikasi berlaku ketika proses kelahiran,” tambah Noor Hisham.

Timbalan menteri, exco didenda ingkar PKP

Di Perak pula, Timbalan Menteri Kesihatan, Noor Azmi Ghazali dan anggota pentadbiran kerajaan negeri Perak, Razman Zakaria dikenakan denda sebanyak RM1,000 (AS$229) setiap seorang selepas mereka mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Gerik atas pertuduhan mengingkari PKP dengan berhimpun di sebuah Maahad Tahfiz di Kampung Luat, Lenggong pada 17 April lalu.

Menurut kertas pertuduhan,  Noor Azmi dan Razman serta 13 orang lagi termasuk adik kepada Noor Azmi dituduh melakukan kesalahan berkenaan di antara jam 6 petang hingga 7 petang pada tarikh tersebut.

Kesemuanya dituduh di bawah Peraturan 6 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020, yang boleh dihukum di bawah Peraturan 11 akta sama dengan hukuman denda RM1,000, atau penjara enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ketika menjatuhkan hukuman, Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh berkata denda adalah memadai bagi kesalahan yang dilakukan kesemua 15 tertuduh setelah mahkamah melihat kepada tujuan mereka berhimpun, namun menegaskan ia tidak bermakna pengecualian boleh diberikan.

"Hukuman berbentuk denda adalah memadai bagi kesalahan itu setelah melihat kepada tujuan tertuduh berhimpun iaitu menunaikan solat Asar serta memberi sumbangan. Mengambil kira tujuan berhimpun ini bukanlah bertujuan tidak berfaedah tetapi yang baik, membantu masyarakat setempat yang berdepan Covid-19.

"Bagaimanapun saya mendapati tujuan berhimpun sedemikian bukanlah suatu pengecualian tetapi yang penting ia turut memberi risiko besar dalam penularan wabak itu," kata Norhidayati.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.