China Hulurkan 'Diplomasi Topeng Mulut Dan Hidung' Kepada Negara Asia Semasa Krisis COVID-19

Oleh Imran Vittachi
2020.03.27
Washington
200326-GR-CH-aid-shipment-1000.jpg Pekerja di Lapangan Terbang antarabangsa Athens sedang memunggah kotak-kotak dari pesawat Air China, yang membawa 500,000 topeng pelindung hidung dan mulut sebagai sebahagian daripada pakej bantuan China untuk membantu Greece dan negara-negara Eropah lain yang dilanda wabak coronavirus, 21 Mac, 2020.
[AFP]

KEMASKINI pada 10.00 malam waktu tempatan ETS - 2020-03-27

China, yang sebelum ini menjadi pusat wabak koronavirus, mengambil langkah memulihkan imejnya yang tercalar dengan berusaha menyumbang peralatan perubatan dan sumber lain ke negara-negara yang turut dilanda virus COVID-19.

Negara-negara di Asia Selatan dan Tenggara menerima penghantaran besar-besaran berupa peralatan perubatan, alat perlindungan peribadi dan kit ujian selain nasihat perubatan tentang kaedah merawat mangsa virus COVID-19 yang menular dan membawa maut, kata para pegawai.

Di Malaysia - di mana koronavirus kini mecatat lebih 2,000 kes - pihak berkuasa kesihatan mengadakan persidangan video dengan pakar-pakar China pada minggu lalu bagi membincangkan bagaimana untuk mengekang kadar jangkitan itu, yang meningkat ketara dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kata  Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Noor Hisham Abdullah.

"Kami sedang meneliti cara dan perkara baru untuk membantu kami memerangi COVID-19...terdapat ubat-ubatan baru dari China ...," katanya kepada pemberita sambil memberitahu bahawa beberapa ubat mungkin belum diluluskan untuk digunakan di Malaysia kerana kesan sampingannya perlu dikaji terlebih dahulu.

China telah membekalkan Malaysia dengan peralatan perlindungan, sanitiser tangan dan bahan lain untuk memerangi virus itu, katanya.

Beijing juga menawarkan untuk menghantar doktor-doktornya ke Malaysia, kata Noor Hisham sambil memberitahu, "namun, syukur kepada Tuhan, setakat ini kami mempunyai doktor yang mencukupi."

'Kami akan membalas kebaikan mereka'


Selain Malaysia, sejak seminggu lalu, Beijing telah menghantar sumbangan besar-besaran berupa topeng hidung dan mulut N95, topeng perubatan, gogal perubatan, sut pelindung, kit ujian COVID-19 serta dan peralatan lain ke Bangladesh, Indonesia dan Thailand, menurut pegawai-pegawai kerajaan di negara berkenaan.

Penganalisis menamakan langkah China berbuat demikian sebagai 'diplomasi topeng hidung dan mulut.'

Ada yang menyatakan bahawa usaha Beijing itu bertujuan untuk mengawal keadaan setelah dikecam teruk kerana tidak memaklumkan tentang krisis itu semasa ia di peringkat awal ketika  virus tersebut didapat mula tersebar di pusat bandar Wuhan pada November lepas. Negara kuasa besar itu juga dipersalahkan kerana tidak memberikan amaran awal global yang secukupnya.

"Antara kesilapan serius pada permulaan wabak itu di Wuhan adalah kegagalan negara itu untuk berkomunikasi," demikian menurut laporan  Majlis Hubungan Luar Negeri yang berpejabat di New York pada minggu ini. "Pihak berkuasa tempatan menahan maklumat mengenai virus itu daripada dihebahkan kepada orang awam dan kerajaan pusat serta mengarahkan para doktor untuk tidak bercakap mengenainya."

Seorang pakar mengenai China, yang berpejabat di Filipina, Rommel Banlaoi berkata Beijing, yang menghulur bantuannya kepada negara-negara jirannya semasa wabak koronavirus, menghantar sumbangna itu kepada mereka "kerana mahu terus membina imejnya sebagai kuasa besar yang baik dan bertanggungjawab."

"China juga mahu menangkis kritikan Barat mengenai pendekatan gigihnya dalam menangani pandemik itu. Kini, China semakin pulih daripada kesan wabak yang teruk itu dan ia mahu memberitahu dunia bahawa China boleh menawarkan pengajaran berguna hasil daripada pengalaman yang baru sahaja dilaluinya," kataBanlaoi, yang mengetuai badan pemikir Institut Penyelidikan Keamanan, Keganasan dan Terorisme kepada BeritaBenar.

Kerajaan China, firma-firma China yang dikendalikan oleh kerajaan serta lelaki China yang terkaya di dunia Jack Ma telah menghulurkan bantuan melangkaui Asia iaitu hingga ke negara-negara di Afrika dan  Eropah termasuk Itali dan Sepanyol, yang mencatatkan jumlah kematian akibat COVID 19 melebihi bilangan yang direkodkan di China.

"Bagi negara-negara yang telah membantu China semasa ia memerangi wabak ini, kita akan membalas kebaikan mereka tanpa ragu-ragu sekiranya mereka memerlukannya," kata jurucakap Kementerian Luar China, Geng Shuang.

"Kami akan menawarkan bantuan mengikut keupayaan kami kepada  negara-negara sahabat yang sedang berada dalam keadaan teruk dan serba kekurangan ... bahan-bahan pencegahan dan kawalan terutama kepada negara-negara membangun di Asia, Afrika dan Amerika Latin, serta organisasi serantau seperti Kesatuan Afrika."

Sementara itu di Washington pada Khamis, Setiausaha Negara Mike Pompeo mengumumkan bahawa Amerika Syarikat telah menyediakan bantuan tambahan sebanyak $274 juta untuk membantu negara-negara  lain memerangi wabak COVID-19.

Kuasa besar itu akan memberikan wang berkenaan kepada "64 negara yang paling berisiko di dunia untuk memerangi pandemik itu dengan lebih baik" dan membolehkan agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu "membantu populasi yang paling lemah” di dunia, kata Pompeo.

Pakej bantuan baru itu termasuklah sumbangan kesihatan kecemasan sebanyak $100 juta manakala $110 juta bagi bantuan bencana antarabangsa baru, katanya.

Pakej bantuan itu menyusul $1.3 bilion bantuan asing AS bagi membantu negara-negara seluruh dunia memerangi wabak itu selepas Presiden Donald Trump menandatanganinya sebagai undang-undang pada awal Mac, kata Pompeo.

"Amerika Syarikat akan terus mengambil tindakan untuk memerangi pandemik COVID-19. Bantuan ini merupakan pelaburan awal, selain daripada sumbangan berterusan yang telah kami sediakan untuk organisasi pelbagai hala seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan UNICEF, "kata setiausaha itu.

"Kami mengalu-alukan sumbangan yang tidak mengikat secara berterusan daripada para penderma lain untuk terus mengukuhkan lagi usaha tindak balas secara global," katanya.

China hulurkan bantuan kepada negara jiran

Menteri Luar China, Wang Yi, yang berada di Jakarta minggu ini berkata sekarang adalah masa bagi China untuk membalas sokongan yang ditunjukkan Indonesia kepada Beijing apabila negara yang mempunyai penduduk paling ramai itu menghadapi krisis semasa virus itu melanda Wuhan, yang merupakan ibu kota wilayah Hubei.

"Bekalan bantuan dari China telah dihantar ke Indonesia hari ini dan kami akan menyediakan kemudahan bagi negara ini untuk membeli bekalan dalam menghadapi respon wabak itu dari China," katanya pada Rabu.

Pesawat kargo tentera Indonesia telah membawa masuk sembilan tan bekalan perubatan dari China pada minggu ini.  Pada Jumaat, sebanyak 20 tan lagi peralatan dan bekalan perubatan yang diimport dari China untuk memerangi wabak virus itu tiba di Indonesia, dan 20 tan kit kesihatan juga akan tiba dari China pada keesokan harinya, kata pegawai kerajaan Indonesia.

Sesetengah daripada bekalan itu didermakan oleh warganegara Indonesia yang tinggal di China, kata seorang pegawai di Kementerian Luar Negeri Indonesia, Santo Darmosumarto.

Di Dhaka, pesawat China membawa masuk 10,000 kit ujian COVID dan bekalan lain yang disumbangkan oleh China pada minggu ini, lapor BSS, agensi berita Bangladesh.

Sementara itu di Thailand, Kementerian Kesihatan mengumumkan bahawa ia telah menerima penghantaran puluhan ribu kit ujian COVID, topeng perubatan dan set perlindungan diri yang disumbangkan oleh yayasan yang dikaitkan dengan Jack Ma serta   menerima penghantaran bekalan sumbang kerajaan China pada awal minggu ini.

Minggu lalu di Filipina, Jabatan Luar Negeri mengumumkan bahawa ia telah menerima sumbangan besar berupa bekalan perubatan daripada China yang merangkumi topeng perubatan, peralatan perlindungan diri dan kit ujian.

Rosak?


Tidak ada laporan buruk mengenai bantuan China di rantau Asia namun, keadaannya berbeza di Eropah.

Menurut laporan berita yang diterbitkan pada Rabu, sebanyak 80 peratus daripada kit ujian pantas COVID, yang diterima Republik Czech daripada China baru-baru ini, didapati rosak dan telah menghasilkan keputusan ujian yang salah dalam kalangan rakyat Czech, lapor Taiwan News yang memetik pegawai-pegawai Czech.

Di Washington, seorang Ahli Parlimen Amerika Syarikat dan anggota kanan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara mendedahkan apa yang dikatakannya sebagai beberapa laporan mengenai China menjual peralatan perubatan yang rosak ke negara-negara yang teruk dilanda wabak virus itu seperti Republik Czech dan Sepanyol.

"Walaupun Parti Komunis China berusaha sedaya upaya untuk mengalihkan dakwaan yang dilemparkan kepadanya dengan menampilkan dirinya sebagai pelindung kesihatan global, kebenaran kini terbongkar di sebalik penonjolan propaganda mereka," kata Ahli Kongres Michael McCaul dalam satu kenyataan.

Satu lagi tempelak berhubung sumbangan besar-besaran China ditimbulkan di Beijing apabila Kedutaan Thailand mengeluarkan kenyataan media bagi memberi maklum balas terhadap tuduhan media China bahawa Thailand menerima bantuan perubatan daripada China walaupun ia mengeksport topeng hidung dan mulut ke Amerika Syarikat.

"Kedutaan ini ingin menjelaskan bahawa Thailand menerima bantuan perubatan China atas kehendak China. Thailand telah menyediakan bekalan perubatan kepada China sebelum ini semasa ia sedang dilanda wabak COVID. Banyak topeng hidung dan  mulut dihasilkan oleh kilang-kilang asing yang didaftarkan di bawah Lembaga Pelaburan Thailand dengan klausa yang menyatakan bahawa ia hanya untuk dieksport sahaja, " menurut kenyataan itu.

Penganalisis: Perhubungan Awam yang baik untuk China

Usaha perhubungan awam China di Asia juga dapat membantu meredakan kebimbangan rantau itu mengenai Inisiatif Jalur dan Laluan Beijing yang bertujuan membiayai dan membina projek-projek infrastruktur raksasa.

Sesetengah pegawai dan pakar di rantau itu, yang walaupun mengakui inisiatif berkenaan akan melonjakkan lagi perdagangan dan pertumbuhan negara-negara berkenaan, namun menyuarakan kebimbangan mereka bahawa projek-projek yang melibatkan kos tinggi boleh menjadi perangkap hutang bagi kerajaan-kerajaan yang membuat pinjaman.

Sumbangan topeng hidung dan mulut serta bekalan secara besar-besaran China ke negara-negara yang sedang dilanda krisis koronavirus "adalah penting dalam memulihkan imej China yang pernah mencatatkan sejarah buruk dan dahsyat di beberapa kawasan tertentu," kata Brian Wong, yang merupakan saintis politik dan penuntut sarjana falsafah di Oxford University, dalam artikel terbitan The Diplomat pada minggu ini.

"Dengan menawarkan bantuan kecemasan pada waktu kritikal seperti bencana alam dan krisis kesihatan awam ...China memperoleh akses yang tiada bandingan dan signifikan kepada infrastruktur penting di negara-negara yang telah membuka pintu mereka kepada China," katanya.


Noah Lee, Nisha David di Kuala Lumpur, Ahmad Syamsudin di Jakarta, Jason Gutierrez di Manila dan Pimuk Rakkan di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.