Putrajaya Arah Semua Pesakit Bukan COVID-19 dipindahkan Ke Hospital Swasta

Arahan berkuatkuasa serta merta itu bertujuan membolehkan hospital kerajaan meningkatkan kapasiti menampung kes COVID-19 yang serius.
Noah Lee & Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-07-21
Share
Putrajaya Arah Semua Pesakit Bukan COVID-19 dipindahkan Ke Hospital Swasta Pesakit COVID-19 yang kritikal dan memerlukan sokongan alat pernafasan ditempatkan di sebuah tempat khas sebelum dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Selangor, 21 Mei 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Kerajaan Malaysia telah mengarahkan semua pesakit bukan COVID-19 yang dirawat di hospital awam dipindahkan ke hospital swasta dengan serta merta, bagi membolehkan hospital kendalian kerajaan meningkatkan had kapasiti untuk merawat kes koronovirus yang serius, pada waktu yang sama negara itu mencatatkan kematian tertinggi dengan 12,000 kes jangkitan harian telah direkodkan.

Keputusan Putrajaya itu telah disampaikan kepada Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia, Kuljit Singh melalui sepucuk surat yang dilihat oleh BenarNews pada Rabu.

Surat yang ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Mohd Shafiq Abdullah antara lain turut memaklumkan yang kerajaan bersedia menanggung kos rawatan pesakit yang dipindahkan ke hospital swasta bertetapan dengan nilai siling yang dikenakan kepada setiap pesakit.

"Kerajaan bersetuju meningkatkan perkhidmatan penyumberluaran pesakit selain COVID-19 dari hospital kerajaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia ke hospital swasta. Tujuan penyumberluaran ini adalah untuk memindahkan pesakit selain COVID-19 bagi meningkatkan kapasiti hospital kerajaan merawat pesakit COVID-19 kategori 3, 4, dan 5.

"Sehubungan dengan itu, Kementerian Kesihatan berhasrat untuk memindahkan sebahagian pesakit kerajaan ke hospital swasta bagi tujuan ini. Pemindahan pesakit ini perlu dilakukan segera bermula dari tarikh surat ini dikeluarkan," kata surat yang ditandatangani oleh Mohd Shafiq bertarikh 20 Julai.

Mohd Shafiq berkata, semua pesakit yang dipindahkan perlu diberi rawatan yang sewajarnya oleh hospital swasta dan kos rawatan mereka akan tertakluk kepada Garis Panduan yang dikeluarkan oleh kementerian itu.

Berdasarkan pindaan garis panduan penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan pada 15 Mac 2021, mereka menetapkan caj siling sebanyak RM45,000 (AS$10,652) bagi setiap pesakit yang memerlukan pembedahan dan RM25,000 (AS$5,917) bagi mereka yang tidak memerlukan pembedahan.

Bagi caj katil pesakit ianya berdasarkan kepada wad yang mempunyai kadar harian terendah dan bagi rawatan susulan pula, kerajaan menetapkan kadar caj siling pada RM5,000 (AS$1,183) bagi setiap pesakit.

"Namun, adalah menjadi tanggungjawab pihak swasta untuk meneruskan rawatan sehingga selesai. Sebarang tuntutan bagi kos rawatan yang melebihi kadar yang ditetapkan dalam Garis Panduan akan dijelaskan selepas penilaian dan pertimbangan sewajarnya oleh Kementerian Kesihatan," kata Mohd Shafiq.

Tindakan memindahkan pesakit bukan COVID-19 itu diambil ketika hospital-hospital kerajaan di kawasan Lembah Klang dan sekitarnya menghadapi kesesakan ekoran kadar kemasukan pesakit positif koronavirus yang tinggi setiap hari, dengan jumlah kes aktif melebihi paras 100,000 di seluruh negara.

Pada Selasa, hari surat itu dikeluarkan, Malaysia merekodkan 12,366 kes harian positif COVID-19 dengan 93 kematian, manakala pada Rabu, sebanyak 11,985 kes harian dengan 199 kematian telah dicatatkan.

Angka kematian 199 orang pada Rabu itu adalah satu jumlah yang tertinggi pernah direkodkan sejak negara itu dilanda pandemik tahun lepas.

Gembira membantu

Kuljit semasa dihubungi BenarNews memberitahu proses pemindahan pesakit telahpun bermula pada Selasa dan masih berjalan tetapi tidak memberikan perincian lanjut mengenai jumlah pesakit yang terlibat dalam perpindahaan itu serta hospital swasta yang terbabit.

Namun, kata doktor itu, hospital swasta di bawah naungan mereka masih terus menerima kemasukan pesakit COVID-19 yang membayar sendiri.

"Walaupun dengan perkembangan terbaru ini, kami akan terus menerima kemasukan pesakit COVID-19 berbayar, berdasarkan kepada kapasiti dan kemampuan kami," kata Kuljit.

Beliau menambah dengan berkata, Persatuan Hospital Swasta Malaysia gembira dapat membantu kerajaan dalam mengharungi situasi getir  terutamanya apabila hospital kerajaan memerlukan lebih banyak ruang untuk meneruskan rawatan kepada pesakit COVID-19.

Rancangan untuk menggunakan perkhidmatan hospital swasta bagi merawat kes-kes bukan COVID-19 untuk meningkatkan kapasiti hospital kerajaan pernah diumumkan pada awal bulan ini oleh Menteri Kesihatan Adham Baba.

Menteri berkenaan pada masa itu berkata, jumlah kemasukan pesakit COVID-19 yang semakin meningkat di hospital seliaan Kementerian Kesihatan di Lembah Klang ditangani dengan kerjasama pelbagai fasiliti kesihatan lain, termasuk tiga buah hospital universiti dan Hospital Angkatan Tentera Malaysia.

"Secara keseluruhan, penggunaan katil pesakit, termasuk repurpose bed, di Lembah Klang kini telah mencapai kadar melebihi 85 peratus," kata Adham dalam kenyataan media pada 4 Julai lalu.

Oleh itu, tambah Adham, satu perbincangan di antara Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Hospital Kuala Lumpur telah diadakan mengenai keperluan untuk menambah kapasiti katil di hospital-hospital.

"Antara langkah alternatif yang akan dilaksanakan segera adalah memperluaskan lagi penyumberluaran pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta bagi membolehkan Hospital Kuala Lumpur menerima dan merawat lebih ramai pesakit COVID-19," kata beliau.

Siasatan

Dalam perkembangan lain, pihak berkuasa kesihatan Malaysia yang sedang giat menjalankan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan bagi mewujudkan imuniti kelompok terhadap koronavirus kini berhadapan dengan isu penerima vaksin dikatakan telah diberi suntikan jarum kosong.

Ia berikutan timbulnya kembali dakwaan oleh beberapa penerima bahawa mereka samada telah dicucuk dengan jarum yang tidak diisi vaksin, atau hanya dicucuk tanpa vaksin disuntik ke dalam badan mereka. Sebahagian daripada penerima yang membuat dakwaan tersebut turut menyertakan video semasa mereka menerima suntikan.

Ia termasuk kejadian-kejadian seperti di pusat vaksinasi di Kem Lapangan Terbang Sungai Petani di Kedah pada 17 Julai, di pusat vaksinasi Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) juga pada 17 Julai, dan di pusat vaksinasi Bangi Avenue Convention Centre (BACC) pada 18 Julai.

Susulan daripada itu, Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 pada Isnin (19 Julai) mengumumkan bahawa satu siasatan sedang dijalankan oleh pihak mereka dengan kerjasama polis dan Angkatan Tentera Malaysia bagi memastikan kejadian serupa tidak berulang.

"Pihak polis kini sedang menjalankan siasatan. Sebarang perkembangan mengenai perkara ini akan dimaklumkan oleh pihak berkuasa yang berkenaan. Sekiranya didapati bersalah, pihak CITF tidak akan teragak-agak untuk menamatkan perkhidmatan petugas yang terlibat dan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang berkenaan perkara ini," kata badan bertindak tersebut.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh