Follow us

COVID-19: Kes Jangkitan Baharu Satu Digit, Malaysia Masuk Fasa Pemulihan

Ray Sherman & Nisha David
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-06-08
E-mel
Komen
Share
Penghantar makanan e-hailing secara sukarela melakukan proses saringan COVID-19 yang disediakan oleh kerajaan Selangor dengan percuma di Gombak, 22 April 2020.
Penghantar makanan e-hailing secara sukarela melakukan proses saringan COVID-19 yang disediakan oleh kerajaan Selangor dengan percuma di Gombak, 22 April 2020.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia mencatatkan kes jangkitan baharu satu digit pada Isnin membabitkan tujuh jangkitan, iaitu angka terendah yang direkodkan hingga ini, demikian menurut pihak berkuasa kesihatannya dengan berkata kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk membuka semula pintu sempadan jika mampu mengawal penularan COVID-19 di negara itu.

Keputusan membuka pintu sempadan, bagaimanapun menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah hanya boleh dilakukan jika kes COVID-19 kekal kepada satu angka serta bergantung kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dan mendapat persetujuan kedua-dua negara.

“Terdapat tujuh kes baharu yang telah dilaporkan dan merupakan jumlah terendah yang pernah dicatatkan setakat hari ini, 8 Jun 2020… Dan negara kini sedang memasuki ke fasa pemulihan…

“Jika kita buka sektor dalam negara serta dapat kawal penularan COVID-19 sehingga 31 Ogos, ini bermakna kita sudah berjaya, dan mungkin kita akan pertimbangkan kelonggaran pembukaan pintu negara kepada negara-negara lain…

“Tetapi kita juga perlu melihat SOP dan kenalpasti perkembangan jangkitan (COVID-19) di setiap negara-negara itu sebelum mengambil sebarang keputusan untuk melonggarkan sempadan negara," kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM] itu pada sidang media harian di Putrajaya pada Isnin.

Beliau turut menjelaskan bahawa konsep green bubble boleh digunakan dalam merentas negara dengan melibatkan negara terpilih melalui pelaksanaan yang hanya menurut kriteria tertentu sahaja.

Noor Hisham juga memberitahu yang kes positif yang direkodkan pada Isnin, adalah sebanyak 8,329 kes, dengan tiada kematian dan kekal pada 117, manakala jumlah kes aktif kebolehjangkitan sebanyak1,518 kes.

Malaysia sebelum ini mensasarkan kes jangkitan baharu kepada satu digit pada awal Mei tetapi hanya tercapai pada Isnin dengan mengatakan kelewatan itu disebakan berlakunya peningkatan jangkitan kluster Depoh Imigresen di Lembah Klang, selepas beribu warga asing tanpa dokumen diperiksa dan ditahan sejak Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan dilaksanakan kerajaan.

Pada Ahad, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berkuatkuasa pada 10 Jun bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang tamat pada 9 Jun.

PKPP yang akan dilaksanakan sehingga 31 Ogos, akan melihat lebih banyak kelonggaran diberikan termasuk kebenaran rentas negeri dan pembukaan semula semua sektor ekonomi termasuk pasar pagi dan malam, gerai tepi jalan dan trak makanan dengan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan kerajaan.

Aktiviti riadah dan rekreasi seperti berbasikal, konvoi selain pelancongan domestik turut mendapat lampu hijau tetapi perlawanan sukan yang melibatkan sentuhan seperti hoki, bola sepak, tinju termasuk yang dianjurkan di stadium membabitkan penonton yang ramai masih tidak dibenarkan.

Larangan ini turut merangkumi perarakan dan perhimpunan keagamaan yang membabitkan himpunan orang ramai di sesuatu lokasi.

Premis perniagaan berunsur hiburan seperti pub dan kelab malam termasuk taman tema kekal tutup sehingga diberitahu kelak.

Sementara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah dalam titah sempena Hari Keputeraan Baginda, meminta rakyat Malaysia berbilang bangsa, agama dan budaya terus mengekalkan kemakmuran dan perpaduan dalam negara.

Baginda turut mendoakan agar seluruh rakyat Malaysia terbuka hati untuk bersatu memikul peranan membantu kerajaan menjayakan usaha-usaha pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Baginda turut memohon rakyat untuk bersabar dan berdisplin dengan tatacara serta amalan kebiasaan baru dan mematuhi semua perintah yang dikeluarkan oleh kerajaaan dalam usaha membanteras dan memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19

Pembukaan semula sektor pelancongan

Dua syarikat penerbangan utama Malaysia menyambut baik langkah kerajaan untuk membuka semula sektor pelancongan domestik.

Malaysia Airlines berkata ia akan menambah penerbangan domestik dan antarabangsa, masing-masing bermula Jun dan Julai.

"Pengoperasian semula ini akan memberi peluang kepada ahli keluarga yang tidak dapat pulang ke kampung untuk bertemu insan tersayang akibat kawalan pergerakan di serata dunia.

"Bagaimanapun, penumpang dinasihatkan untuk menyemak syarat masuk dan keluar sebelum penerbangan pada ketika kawalan pergerakan masih berkuatkuasa di kebanyakan negara luar," kata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Kapten Izham Ismail dalam satu kenyataan media.

AirAsia dalam satu kenyataan lain turut menyambut baik pembukaan semula sektor pelancongan dengan berkata pengoperasian semula pergerakan domestik dan antarabangsa oleh negara-negara lain di seluruh dunia, adalah satu "langkah yang tepat".

Dua pakar ekonomi yang dihubungi BeritaBenar turut memuji langkah kerajaan berhubung keputusan untuk membuka semula sektor ekonomi di bawah PKPP.

Lee Heng Guie, Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC) berkata, langkah terkini yang diambil kerajaan itu merupakan berita baik kepada dua kumpulan terutamanya kepada kumpulan yang bekerja sendiri dan sektor pelancongan.

"Tahap pemulihan bergerak selari dengan tempoh pemulihan ekonomi. Untuk membolehkan semua sektor ekonomi dibuka semula, ia akan memberi manfaat kepada mereka yang bekerja sendiri, seperti mereka yang menjalankan salun rambut, dan kedai gunting rambut, yang telah terjejas teruk sejak PKP dilaksanakan, untuk kembali berfungsi. Peniaga kecil juga akan mendapat keuntungan.

"Bagi sektor pelancongan, mereka akan memerlukan sedikit masa untuk menggerakan perniagaan untuk kembali normal. Ia akan menjadi pemulihan yang perlahan, tetapi memberi manfaat bagi jangka panjang," kata Lee kepada BeritaBenar.

Nazari Ismail, pakar ekonomi yang bertugas di Universiti Malaya pula berkata pengumuman Perdana Menteri sangat dialu-alukan terutamanya oleh mereka yang terjejas teruk dari segi kewangan berikutan PKP yang dilaksanakan kerajaan.

"Ini akan memakan masa, tetapi ekonomi negara akhirnya akan pulih," katanya sambil menggesa rakyat Malaysia bijak ketika mengendalikan wang dan menjauhi diri daripada menambah hutang kerana keadaan situasi dunia yang tidak menentu.

Arief Rahmat di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.


Lihat Laman Penuh