COVID-19: IbuBapa Bimbang Hantar Anak Ke Sekolah, Kes Meningkat 33 Kali Ganda

Jumlah kes di kalangan remaja bawah 18 tahun direkodkan melebihi 400,000 kes tahun ini.
Noah Lee & Nisha David
2021.10.01
Kuala Lumpur
COVID-19: IbuBapa Bimbang Hantar Anak Ke Sekolah, Kes Meningkat 33 Kali Ganda Petugas kesihatan memberikan penerangan kepada seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Putrajaya Presint 8 (1) sebelum beliau menerima suntikan vaksin COVID-19 di Putrajaya, 20 September 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Dengan sekolah di Malaysia dijadualkan dibuka semula secara berperingkat bermula minggu hadapan, para ibubapa di negara itu mempunyai kebimbangan untuk membenarkan anak mereka ke sekolah selepas pihak berkuasa kesihatan merekodkan peningkatan mendadak kes jangkitan COVID-19 di kalangan individu berusia 18 tahun ke bawah, iaitu sebanyak 33 kali ganda berbanding jumlah pada tahun lepas.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin ketika mengumumkan mengenai kenaikan kes itu dalam satu webinar minggu ini tidak menyatakan sebab mengapa ia berlaku, tetapi seorang pakar kesihatan memberitahu BenarNews bahawa rakyat Malaysia patut dipersalahkan kerana ramai yang tidak mematuhi protokol kesihatan seperti memakai pelitup muka di tempat awam.

Menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia [KKM], bilangan kematian individu berusia bawah 18 tahun akibat koronavirus setakat Oktober telah mencecah 67 orang, berbanding hanya enam sepanjang tahun lepas.

"Penularan COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia bawah 18 tahun telah menyaksikan trend peningkatan untuk tahun ini.

"Jika tahun lepas, kes yang melibatkan golongan bawah 18 tahun hanyalah sekitar 12,000 kes tetapi pada tahun ini, ia telah meningkat kepada lebih 400 ribu.

"Daripada jumlah tersebut, 252,569 adalah melibatkan murid sekolah dan 42,831 kes adalah kanak-kanak pra-sekolah. Dan lebih membimbangkan, sebanyak 67 kes kematian telah dicatatkan," kata Khairy pada Khamis dalam ucapan beliau di satu webinar dianjurkan KKM bertajuk 'Hidup Bersama-sama Virus COVID-19: Kanak-Kanak Dan Remaja'.

Menurut menteri itu, adalah menjadi tanggungjawab bersama bagi semua untuk memastikan anak-anak mereka terhindar daripada jangkitan virus dengan mewujudkan persekitaran selamat, termasuklah mengambil langkah pencegahan sewajarnya.

Tambah beliau, kerajaan telah memulakan program imunisasi COVID-19 untuk remaja berusia antara 12 dan 17, tetapi vaksinasi sahaja tidak mencukupi untuk mengelakkan golongan itu daripada risiko jangkitan.

"Ketika ini, lebih 30 peratus daripada keseluruhan 2.5 juta sasaran vaksinasi remaja telah menerima dos pertama mereka. Namun begitu, walaupun vaksinasi memberikan perlindungan daripada kesan buruk COVID-19, tetapi ia masih belum cukup.

"Pembudayaan amalan normal baharu masih perlu terus dipraktikkan bagi memastikan kita dan anak-anak dapat menjauhkan diri daripada risiko jangkitan."

Khairy turut menasihati ibubapa serta warga sekolah untuk memastikan para pelajar boleh beradaptasi dengan situasi dengan memberikan mereka galakan untuk mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak.

Sekolah Dibuka Berperingkat

Semua sekolah kerajaan dijangka dibuka semula secara berperingkat bermula 3 Oktober, selepas ditutup selama hampir lima bulan sejak Mei disebabkan penularan pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan ketika itu.

Jenis sekolah yang akan dibuka semula adalah berdasarkan tahap sesebuah negeri mengikut seperti cadangan dalam Pelan Pemulihan Negara.

Bagaimanapun, golongan ibubapa termasuk mereka yang bercakap dengan BenarNews menyatakan kekhuatiran untuk membenarkan anak ke sekolah dengan peningkatan bilangan kes COVID-19 yang membabitkan remaja berusia bawah 18, serta mengharapkan proses vaksinasi ditingkatkan supaya dapat membantu mengekang pandemik tersebut.

Immanuel Steve, 45, seorang peguam dan bapa kepada dua remaja perempuan berusia 11 dan 15 tahun berkata bahawa beliau sangat berharap pihak sekolah dapat mengambil langkah ketat untuk mengurangkan risiko jangkitan, termasuk menghalang guru serta pelajar yang belum divaksin daripada menghadiri kelas secara fizikal.

"Anak saya yang sulung sudah disuntik vaksin, dan yang kedua pasti saya akan bawa untuk menerima vaksinnya sebaik kerajaan perkenalkan vaksin untuk mereka di bawah 12 tahun seperti di India.

"Disebabkan ada anak bawah umur yang berisiko tinggi, saya tidak benarkan ahli keluarga lain yang belum mengambil vaksin berkunjung ke rumah. Saya tidak boleh paksa mereka untuk ambil vaksin tetapi saya boleh larang mereka untuk datang ke rumah. Itu saja cara untuk melindungi anak saya.

"Di sekolah nanti saya harap pengurusan buat perkara yang sama, guru atau pelajar tidak divaksin patut terus menghadiri kelas secara atas talian. Jangan bahayakan pelajar lain," kata beliau kepada BenarNews.

Azizah Omar, 45, seorang guru di Pulau Pinang berkata keluarganya risau dengan golongan anti-vaksin termasuk segelintir guru yang dikhuatiri akan membahayakan para remaja.

"Sebagai guru dan juga ibu tunggal kepada dua orang anak remaja, saya cukup risau dengan jangkitan COVID-19 di kalangan remaja bawah 17 tahun. Sejak awal lagi saya memang menantikan vaksin untuk remaja seperti yang dilaksanakan di luar negara.

"Yang saya risaukan sekarang ialah kumpulan anti vaksin yang akan mengagalkan usaha kerajaan untuk mewujudkan imuniti kelompok. Ditambah lagi dengan guru-guru degil yang anti vaksin juga."

Gunalan Govindasamy, 45, seorang pemandu lori kren turut menyuarakan pandangan serupa.

"Memang saya risau dan takut dengan peningkatan kes di kalangan remaja disebabkan itu saya membawa anak saya untuk dapatkan vaksin secepat mungkin. Vaksin yang akan membantu kita atasi COVID-19, kerana itu saya pelik dengan ibu bapa yang anti-vaksin. Kenapa hendak bahayakan nyawa anak-anak?"

Seorang doktor memberitahu BenarNews bahawa beliau percaya peningkatan kes di kalangan mereka yang berusia bawah 18 tahun berkemungkinan disebabkan imunisasi COVID-19 untuk golongan itu bermula lewat.

Gerard Lawrence berkata kerajaan harus mempercepatkan lagi program vaksinasi, dan dalam masa sama ia patut menunda pembukaan semula sekolah sekiranya bilangan kes membabitkan remaja masih tidak menunjukkan penurunan.

"Orang ramai juga bersalah dalam hal ini kerana tidak mematuhi SOP dan tidak ada kawalan kendiri ketika mereka keluar bersosial dan menjalankan aktiviti lain.

"Kadar vaksinasi untuk kumpulan remaja perlu ditingkatkan lagi, manakala sesi persekolahan patut ditunda atau dibuat secara atas talian sepenuhnya sekiranya kes masih belum menurun," kata beliau.

Dua vaksin untuk remaja

Sementara itu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Malaysia yang bermesyuarat pada Jumaat telah meluluskan vaksin CoronaVac keluaran syarikat Sinovac Life Sciences Co. Ltd. yang berpangkalan di China serta Pharmaniaga di Malaysia bagi kegunaan remaja berusia 12 tahun ke atas.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah, ia adalah vaksin kedua yang diberikan kelulusan bersyarat untuk digunakan kepada kumpulan umur tersebut selepas vaksin Cominarty keluaran Pfizer-BioNTech.

"Mesyuarat telah bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin CoronaVac keluaran Sinovac Life Sciences Co. Ltd., China dan Pharmaniaga Lifesciences Sdn Bhd, Malaysia, kepada golongan yang berumur 12 tahun dan ke atas.

"CoronaVac sebelum ini telah diluluskan pendaftaran bersyarat bagi penggunaan dalam kalangan individu berumur 18 tahun dan ke atas. Ini merupakan vaksin COVID-19 kedua yang diluluskan untuk penggunaan bagi golongan remaja selepas kelulusan sama diberikan kepada vaksin Cominarty, keluaran Pfizer-BioNTech pada bulan Jun 2021," kata Noor Hisham dalam satu kenyataan.

Walau bagaimanapun, menurut beliau, kegunaan vaksin CoronaVac itu disarankan untuk diguna ke atas remaja tanpa komorbiditi, serta yang tidak mempunyai masalah alahan, atau yang tidak sesuai untuk menerima vaksin Cominarty.

"Penilaian bagi penggunaan CoronaVac dalam kalangan remaja dengan komorbiditi akan diteruskan sebaik sahaja data yang dikemukakan mencukupi.

"KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa. Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif," tambah Noor Hisham.

Setakat 30 September, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan telah memberikan sejumlah 43,696,743 dos suntikan vaksin COVID-19, dengan kadar liputan vaksinasi lengkap telah mencecah 86.3 peratus populasi dewasa Malaysia.

Kementerian Kesihatan merekodkan 11,889 kes baharu jangkitan COVID-19 pada Jumaat, menjadikan jumlah kumulatif kes meningkat kepada 2,257,584.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.