Tiga Lagi Warga Indonesia Diculik Di Perairan Sabah

Hata Wahari
2016.07.11
160711-my-kidnap-620 Kapal-kapal yang terlibat dalam penculikan di perairan Lahad Datu, Sabah, lewat malam Sabtu. 11 Julai 2016.
[Ihsan Polis DiRaja Malaysia]

Tiga warganegara Indonesia telah diculik di perairan Lahad Datu, Sabah pada Sabtu lalu, dengan pengesahan bahawa mereka telah dibawa ke Kepulauan Sulu oleh kumpulan pengganas yang menculik mereka melalui maklumat risikan, kata Persuruhjaya Polis Sabah Abdul Rashid Harun kepada BeritaBenar pada Isnin.

Katanya, pihak berkuasa Filipina telah membuat pengesahan mengenai maklumat perisikan yang mengesahkan bahawa kesemua mangsa culik itu kini berada di kepulauan berkenaan yang juga merupakan tempat kumpulan Abu Sayyaf bersembunyi.

“Kita sedang menyiasat bersama pihak berkuasa Indonesia dan Filipina dalam menjejaki  kumpulan pengganas mana yang terlibat dalam penculikan terbaru warga Indonesia itu serta mengenalpasti di mana mangsa berada dan keadaan mereka,” katanya semasa dihubungi BeritaBenar.

Pada Ahad, Abdul Rashid memberitahu media tempatan bahawa tiga anak kapal pukal tunda milik Malaysia telah diculik oleh lima lelaki bersenjata yang berbaju hitam dan celoreng disekitar perairan selatan Filipina berhampiran Lahad Datu, Sabah pada lewat malam Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Inquirer.net portal berita yang berpangkalan di Manila, Filipina  melaporkan Jurucakap Pusat Pemerintahan Wilayah Barat Mindanao, Mejar Filemon Tan.Jr sebagai mengesahkan bahawa ketiga-tiga warga Indonesia yang diculik di perairan Lahad Datu, Sabah telah dibawa ke Kepulauan Sulu oleh kumpulan pengganas itu.

Abdul Rashid berkata, hasil risikan yang diperolehi mendapati tiga mangsa yang diculik itu adalah juragan kapal tunda berkenaan yang dikenali sebagai Lorence, 34, serta dua anak kapal iaitu Teo Dorus, 40, dan Emanuel, 46, yang bekerja dengan bot nelayan Malaysia di Lahad Datu.

“Insiden itu berlaku ketika arahan perintah berkurung dikuatkuasakan di Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) semasa kapal tunda yang dinaiki tujuh juragan dan anak kapal itu berada di 3.6 batu nautika dari pesisiran pantai Sahabat.

“Tujuh anak kapal berada di atas kapal pukat tunda terbabit ketika dipintas bot laju dinaiki penculik yang melarikan tiga mangsa,” katanya seperti dilaporkan oleh media tempatan pada Ahad.

Abdul Rashid menambah tiga daripada lima suspek pengganas tersebut merempuh kapal pukat tunda dan mengarahkan kesemua mereka berkumpul di bahagian hadapan sambil mereka menggeledah kapal dan melarikan telefon bimbit, dokumen pengenalan diri serta permit pengecualian perintah berkurung milik daripada bot berkenaan.

“Siasatan juga mendapati tiga-tiga suspek yang menaiki kapal pukat tunda itu dipercayai membawa senjata M14, M16 dan karbain manakala dua lagi rakan mereka menunggu di atas bot.

“Kita juga mengenal pasti tiga suspek berketurunan Melayu tetapi (mereka) tidak menggunakan loghat tempatan dan berusia 30 hingga 40-an,” katanya.

Indonesia kecewa

Sementara itu, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi mahu pihak berkuasa Malaysia dan Filipina mengambil tindakan serius untuk membendung kegiatan penculikan di sekitar kawasan perairan itu.

“Perkara ini tidak boleh dipandang ringan dan usaha perlu diambil” katanya sambil melahirkan rasa dukacita dengan penculikan terbaru melibatkan warganegara negara itu seperti dilaporkan BeritaBenar Indonesia pada Isnin.

Ini merupakan kejadian keempat membabitkan anak kapal warganegara Indonesia diculik oleh kumpulan militan dari selatan Filipina dengan menjadikan semua warganegara Indonesia yang diculik dan masih ditahan berjumlah 10 orang.

Sebelum ini 14 anak kapal warga Indonesia juga diculik tetapi telah dibebaskan pada bulan Mei lepas.

Dalam pada itu, Agence France-Presse [AFP] melaporkan Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Gatot Nurmantyo sebagai berkata menteri pertahanan dari ketiga-tiga negara dijadualkan bertemu di Kuala Lumpur pada Selasa [esok] untuk membincangkan mengenai kejadian penculikan terbaru serta kawalan keselamatan di perairan sempadan di Laut China Selatan itu.

Pada Mei lepas, Menteri Luar dari Malaysia, Indonesia dan Filipina telah mengadakan pertemuan di Jakarta dan secara bersama bersetuju untuk memperkukuhkan langkah-langkah konkrit terhadap kawalan keselamatan di perairan sempadan di kawasan berkenaan.

Mesyuarat itu diadakan selepas lahirnya kebimbangan mengenai peningkatan kes penculikan oleh kumpulan militan Abu Sayyaf di perairan Sulu, yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Beberapa kes penculikan telah berlaku sejak kebelakangan ini di perairan pantai timur Sabah terutamanya kawasan perairan yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia, yang melibatkan rakyat Malaysia, Indonesia dan pelancong luar negara.

Empat rakyat Malaysia telah diculik oleh Abu Sayyaf, kumpulan yang telah berikrar taat setia terhadap kumpulan pengganas Negara Islam, pada 1 April lepas. Mereka diculik dari kapal tunda ‘Masfive 6’ yang dalam perjalanan pulang ke Sarawak selepas selesai menghantar kayu balak ke Manila.

Bagaimanapun, empat anak kapal Malaysia itu telah dibebaskan pada 7 Jun lepas, selepas keluarga mendakwa sejumlah RM12 juta telah diserahkan sebagai pembayaran wang tebusan.

Kumpulan Abu Sayyaf juga telah memancung kepala mangsa culik rakyat Kanada, John Ridsdel pada 25 April lepas, dan rakan senegaranya Robert Hall, 50, pada 13 Jun lalu.

Mereka berbuat demikian selepas wang tebusan sebanyak AS$6.2 juta (RM24.8 juta) yang diminta bagi setiap seorang tebusan itu tidak ditunaikan.

Bekas anggota Abu Sayyaf, Isnilon Hapilon atau Abdalah al-Filipina, menurut maklumat terkini, dikatakan telah dilantik sebagai wakil kumpulan pengganas Negara Islam bagi Khatibah Nusantara yang bertanggungjawab ke atas kawasan rantau Asia Tenggara meliputi Filipina, Malaysia dan Indonesia.


Tia Asmara di Jakarta turut menyumbang kepada laporan ini.


Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.