Lima Rakyat Malaysia Dipercayai Diculik, Dibawa Ke Selatan Filipina
2016.07.20
Kuala Lumpur

Malaysia mendapat maklumat bahawa lima anak kapal warganya yang didapati hilang daripada sebuah bot di perairan Dent Heaven, Lahad Datu telah dibawa ke selatan Filipina, di mana dipercayai diculik, kata Timbalan Ketua Polis Noor Rashid Ibrahim kepada BeritaBenar pada Rabu.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan nama kumpulan yang menculik kesemua mereka kerana masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina.
Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, Kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di selatan Filipina bertanggungjawab dalam beberapa siri kes penculikan di perairan Sulu, yang bersempadan dengan negara itu, Malaysia dan Indonesia.
“Maklumat risikan yang diterima kelima-lima rakyat Malaysia itu telah dibawa ke selatan Filipina, tetapi setakat ini belum ada sebarang tuntutan wang terbusan dibuat penculik yang melarikan mereka di perairan Lahat Datu, Isnin lepas,” katanya semasa dihubungi.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan nama kumpulan yang menculik kesemua mereka kerana masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina.
Pada Isnin, Polis Malaysia menemui sebuah bot tunda Serundong 3 kosong dengan enjinnya masih hidup di perairan Lahad Datu apabila pemilik bot berkenaan membuat laporan polis setelah anak kapal sebuah lagi bot Sabah Tug 9 yang sedang dalam perjalanan menuju ke Tawau menghubungi pemiliknya untuk memaklumkan perkara berkenaan.
“Malaysia masih menunggu pengesahan daripada pihak berkuasa Filipina sama ada mereka diculik oleh kumpulan yang sama seperti sebelum ini yang mendalangi insiden penculikan terbaru di perairan Sabah,” kata Noor Rashid seperti dilaporkan oleh agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) pada Rabu.
Kenyataan Noor Rashid itu senada dengan laporan portal berita Philippines Star yang memetik Penasihat Presiden bagi Proses Damai Selatan Filipina, Jesus Dureza sebagai berkata, lima rakyat Malaysia itu telah diculik oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf.
Dureza bagaimanapun tidak memberi butiran lengkap mengenai penculikan berkenaan.
Kejadian kedua sepanjang Julai
Pemeriksaan polis marin di atas kapal itu mendapati keadaannya berselerak dengan kompas jurumudi kapal berkenaan didapati hilang.
Kesemua anak kapal yang didapati hilang daripada bot tunda itu ialah Abd Rahim Summas, 62, juragan bot, Tayudin Anjut, 45; Fandy Bakran, 26 dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, yang kesemuanya berasal dari Tawau, manakala seorang lagi Mohd. Ridzuan Ismail, 32, berasal dari Jengka, Pahang.
Serudong 3, yang memulakan perjalanan menarik sebuah tongkang dari Sandakan pada kira-kira pukul 8 pagi Ahad lepas, dalam perjalanan ke Semporna, juga di Sabah dengan dijadualkan tiba pada kira-kira pukul 5 petang Isnin.
Pada 9 Julai lepas, apabila tiga anak kapal warga Indonesia dari sebuah bot pukal tunda milik Malaysia telah diculik oleh lima lelaki bersenjata yang berbaju hitam dan celoreng disekitar perairan selatan Filipina berhampiran Lahad Datu.
Tiga mangsa yang diculik itu adalah juragan kapal tunda berkenaan yang dikenali sebagai Lorence, 34, serta dua anak kapal iaitu Teo Dorus, 40, dan Emanuel, 46.
Ini merupakan kejadian keempat yang melibatkan anak kapal warga Indonesia diculik oleh kumpulan militan dari selatan Filipina dengan menjadikan semua warganegara Indonesia yang diculik dan masih ditahan berjumlah 10 orang.
Sebelum ini 14 anak kapal warga Indonesia juga diculik tetapi telah dibebaskan pada bulan Mei lepas.
Kebimbangan peningkatan
Beberapa siri mesyuarat membabitkan Menteri Luar dan Pertahanan, serta panglima tentera dari Malaysia, Filipina dan Indonesia telah diadakan berikutan kebimbangan mengenai peningkatan kes penculikan oleh kumpulan pengganas Abu Sayyaf di perairan Sulu.
Kes penculikan itu berlaku terutamanya dikawasan perairan yang bersempadan dengan Filipina dan Indonesia, yang melibatkan rakyat Malaysia, Indonesia dan pelancong luar negara.
Pada 1 April lepas, empat rakyat Malaysia telah diculik oleh Abu Sayyaf, kumpulan yang telah berikrar taat setia terhadap kumpulan pengganas Negara Islam, semasa mereka dalam perjalanan dengan sebuah kapal tunda ‘Masfive 6’ dari Manila untuk pulang ke Sarawak.
Bagaimanapun, empat anak kapal Malaysia itu telah dibebaskan pada 7 Jun lepas, selepas keluarga mereka mendakwa sejumlah RM12 juta telah diserahkan sebagai pembayaran wang tebusan.
Kumpulan Abu Sayyaf juga telah memancung kepala mangsa culik dua rakyat Kanada, John Ridsdel pada 25 April lepas, dan rakan senegaranya Robert Hall, 50, pada 13 Jun lalu selepas kerajaan Kanada tidak mahu menunaikan permintaan wang tebusan sebanyak AS$6.2 juta (RM24.8 juta) yang diminta bagi setiap seorang.