Polis Malaysia Tahan 22 Warga Pakistan Cuba Seludup Dadah Ke Eropah

Oleh Hata Wahari
2015.07.27
150727-MY-DADAH620 BeritaBenar
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Mohd Mokhtar Mohd Sharif mempamerkan dadah yang dirampas di Desa Melawati, Kuala Lumpur. 27 Julai 2015

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 22 warga Pakistan di sekitar Kuala Lumpur, dan berjaya menggagalkan sindiket penyeludupan dadah bernilai RM2.85 juta (AS$750 ribu) ke negara Eropah pada Sabtu lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Mohd Mokhtar Mohd Sharif berkata, jabatan itu bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) berjaya merampas dadah seberat 35 kilogram dalam serbuan keatas sebuah premis yang digunakan untuk menyimpan dadah di Desa Melawati, Kuala Lumpur.

“Hasil serbuan sebanyak 33 bungkusan dadah jenis heroin yang disembunyikan di dalam 13 bongkah jerami ditemui dalam satu dari tiga kontena yang diperiksa.

"Dalam serbuan itu polis menahan 10 warga Pakistan dan sejam kemudian menjalankan serbuan susulan di kawasan perumahan berhampiran dan menahan 11 warga Pakistan dan kemudian menahan seorang lagi dalam serbuan berikutnya," katanya dalam sidang media di ibu negara, pada Isnin.

Tambah beliau, dadah itu disembunyikan dalam kontena dan diisytiharkan sebagai makanan haiwan.

Katanya, kesemua dadah itu dipercayai diseludup masuk melalui sebuah pelabuhan di Karachi, Pakistan untuk dipasarkan ke negara-negara Eropah.

Beliau bagaimanapun, tidak menyatakan nama dan lokasi pelabuhan berkenaan.

Sindiket itu dipercayai aktif sejak sebulan lalu dan kesemua suspek yang berumur di antara 20 dan 45 tahun itu kini ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam perkembangan sama, Mohd Mokhtar berkata, dalam tujuh bulan pertama tahun ini, dadah pelbagai jenis bernilai RM168 juta (AS$44 juta) dirampas membabitkan sitaan harta bernilai RM39.7 juta (AS$11 juta).

"Ini membabitkan penangkapan seramai 101,574 orang dan daripada jumlah itu, warga asing yang ditahan berjumlah seramai 3,963 orang," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.