Lapan Didakwa Terlibat IS Termasuk Lima Anggota Tentera

S. Adie Zul & Hata Wahari
2015.09.15
150915-MY-DAKWAIS620 Seorang pereka fesyen dan seorang Juru X-Ray dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar, Perlis kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan kumpulan militan Negara Islam (IS). 15 September 2015
BeritaBenar

Lapan individu termasuk lima anggota tentera dan dua anggota  komando dihadapkan di beberapa Mahkamah di Malaysia pada Selasa di atas pelbagai pertuduhan kerana terlibat dalam kumpulan militan Negara Islam (IS).

Tiada pengakuan direkodkan terhadap tuduhan yang dibacakan kepada kesemua mereka termasuk seorang wanita sehingga kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Di Johor, dua anggota komando dari Kem Rejimen 21 Komando Sungai Udang, Melaka dituduh di Mahkamah Majistret Kota Tinggi atas pertuduhan menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas IS pada Ogos tahun lepas.

Mohd. Zuraidi Shafiq Zulkeflee, 27, dan Muhammad Adibzakir Zahri, 28, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret Mazana Sinin.

Kedua-dua tertuduh didakwa atas kesalahan menggalakkan keahlian dalam kumpulan pengganas IS di Markas 21 Gerup Gerak Khas, Kem Iskandar, Mersing pada Ogos 2014.

Kedua-duanya yang didakwa mengikut Seksyen 130G (b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan, diwakili oleh peguam Mohd Tarmeze Mohd Taib manakala pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Suhaila Shafi’uddin.

Hakim Mazana menangguhkan kes tersebut untuk sebutan semula pada 21 Oktober depan di Mahkamah Majistret Mersing untuk menunggu permohonan kes tersebut yang akan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, tiga anggota tentera di dakwa secara berasingan di Kuala Lumpur, Gerik, Perak dan Port Dickson, Negeri Sembilan di atas kesalahan memiliki bahan penerbitan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan dan perbuatan kumpulan pengganas IS.

Di Kuala Lumpur, seorang anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Selasa atas pertuduhan memiliki seunit telefon bimbit mengandungi bahan berkaitan kumpulan pengganas, bulan lalu.

Zakariya Ahmad, 27, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Erry Shahriman Nor Aripin.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di bilik tetamu Bangunan Kem Komandan, Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman, Kuala Lumpur pada pukul 9.05 pagi, 19 Ogos lalu.

Tuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda jika sabit kesalahan

Di Perak, prebet Mohammad Rosdan Mohammad Khir, 24, dihadapkan di Mahkamah Majistret Gerik atas pertuduhan memiliki 11 bahan penerbitan yang mempunyai kaitan dengan perlakuan dan perbuatan militan IS.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Mohammad Rosdan yang berasal dari Mahang, Kulim, Kedah, dan bertugas di Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Tertuduh didakwa memiliki 11 buku iaitu Daulatul Islam Baaqiyah, Tentera Fisabilliah (Bangkitlah wahai umat Islam), Bendera Hitam Lailahaillah, "End The Word Of Allah Is The Highest", Ajnad As-Syams dan "Keep Calm and Support Jihad", buku "Bendera Hitam Kami Pembela Daulah Islam", Jihad Wa Harb Nozun El Taghout, "Global Tawheed: Working To Establish The Right Of Allah SWT", Jihad Jalan Kami Syahid Cita-Cita Kami, Kami Berdiri Bersama Palestin dan Daulah Islamiah-Alkhulafa' a'la manhaj anna bawiyah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Balai Polis Gerik, pada 10.20 pagi, 19 Ogos lepas.

Rosdan didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan penerbitan tersebut, jika sabit kesalahan.

Majistret A. Akhiruddin@Boy Acho menetapkan 13 Okt, sebutan semula kes itu.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faridza Hamdan manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Di Negeri Sembilan, Koperal Mohd Azidi Said, 28, dihadapkan di Mahkamah Majistret Port Dickson di atas pertuduhan memiliki bahan penerbitan berkaitan dengan kumpulan militan IS, bulan lepas.

Juga tiada pengakuan direkodkan daripada Mohd Azidi, yang beralamat di Kolej Tentera Darat Port Dickson, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret M. Mageshwary.

Mohd Azidi dituduh memiliki sebuah telefon bimbit yang mengandungi bahan berkaitan dengan IS iaitu gambar bendera kumpulan militan itu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson di sini pada kira-kira 10.05 pagi, 19 Ogos lepas, mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dirampas harta yang digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 5 Okt depan untuk sebutan semula kes sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin.

Tiga lagi didakwa

Tiga lagi individu dari Kedah dan Perlis turut dihadapkan ke mahkamah di atas pertuduhan mempunyai bahan berkaitan kumpulan militan Negara Islam (IS) dan melindungi pengganas.

Di Kedah, Seorang pegawai perangkaan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sungai Petani di atas pertuduhan melindungi individu yang melakukan perbuatan keganasan.

Poziah Harun, 42, didakwa melindungi individu bernama Zulkarnain Ghaz Abd Ghani, dan mengetahui bahawa Zulkarnain telah melakukan perbuatan keganasan.

Poziah didakwa melakukan kesalahan itu di Poliklinik Azhar & Rakan-Rakan di Jalan Masjid, Taman Pekan Baru, Sungai Petani antara awal September hingga Disember tahun lalu, mengikut Seksyen 130K (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norsalha Hamzah.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi pertuduhan tersebut dan menetapkan 18 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes sebelum kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di atas permohonan Timbalan Pendakwa Raya Nuraswan Aminudin.

Sementara itu, di Perlis, dua orang lagi iaitu seorang Juru X-Ray, Ahmad Kamil Ghazali dan pereka dalaman, Azlee Md Salleh didakwa di Mahkamah Majistret Kangar menghadapi tuduhan memiliki bahan-bahan berkaitan kumpulan pengganas IS pada Ogos lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Ahmad Kamil, 24, dan Azlee, 30, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Kangar, Monica Joseph Gaisah.

Ahmad Kamil yang bertugas di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, dituduh memiliki majalah Dabiq jilid satu hingga 10 yang berkaitan dengan kumpulan IS.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di hadapan Kompleks Pentadbiran Taman Kechor di sini pada 7.50 pagi, 19 Ogos lepas.

Azlee pula yang diberkas pada 8.30 pagi, 19 Ogos lalu didakwa memiliki sebuah telefon bimbit mengandungi gambar pengganas IS.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan boleh dilucutkan hak terhadap mana-mana bahan penerbitan tersebut, jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 30 Sept untuk sebutan semula kes sebelum dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.