Malaysia Jejaki Alamat Protokol Internet Bocor Data Peribadi

Hata Wahari
2017.11.01
Kuala Lumpur
171101-my-cellfon-620.jpg Seorang wanita sedang melihat telefon bimbit di kaunter Maxis di Kuala Lumpur, 3 April 2003.
AFP

Pihak berkuasa Malaysia telah menjejaki alamat protokol internet [IP] yang menjadi punca kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan telefon nombor mudah alih dari Mei hingga Julai 2014 dari pelbagai syarikat telekomunikasi di negara ini, dan yang dipercayai terbesar di rantau itu.

Menteri Komunikasi dan Multimedia,  Salleh Said Keruak memberitahu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), sebuah badan yang mengawal industri telekomunikasi di Malaysia, telah  mengenalpasti IP dan posting asal yang membuat tawaran untuk menjual data peribadi rakyat Malaysia yang dijejaki daripada satu alamat di luar negara.

"SKMM telah mengenalpasti sumber yang berkemungkinan membocorkan data berkenaan dengan menjejaki alamat protokol internet entiti terbabit yang memuat naik data bocor ke laman sesawang Lowyat.net dua minggu lalu, dan akan mengambil tindakan tegas dalam menyelesaikan perkara itu secepat mungkin,” katanya pada Rabu.

Dilaporkan, pada September lalu, laman sesawang Lowyat.net menyiarkan artikel berhubung kecurian data berkaitan maklumat peribadi besar-besaran di rantau Asia Tenggara untuk dijual, yang melibatkan 50 juta data daripada syarikat telekomunikasi dan 17 juta data daripada laman mencari kerja.

Baru-baru ini, Lowyat.net berkata individu yang cuba menjual data peribadi berjuta rakyat Malaysia itu, cuba untuk membuat keuntungan dengan cepat.

Antara syarikat perkhidmatan telefon mudah alih terbesar di Malaysia yang terjejas adalah Maxis, Kumpulan Celcom Axiata dan DiGi.

Saleh memberitahu yang SKMM juga telah mengadakan perbincangan dengan syarikat-syarikat telekomunikasi berkenaan pada Selasa berhubung dengan kebocoran data yang telah berlaku itu.

"Siasatan SKMM menjurus kepada dua aspek iaitu siapa yang membocorkan maklumat itu dan dari mana maklumat data itu diperolehi," tegasnya.

Beliau berkata tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati bersalah membocorkan data peribadi berdasarkan undang-undang sedia ada termasuk Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Penduduk Malaysia hanya sekitar 32 juta, tetapi ramai yang mempunyai beberapa nombor telefon bimbit. Senarai itu juga dipercayai termasuk nombor tidak aktif dan yang dibeli sementara oleh pelawat asing, akhbar The Star melaporkan.

Sementara itu, agensi berita Reuters melaporkan Bryce Boland, ketua pegawai teknologi FireEye di Asia Pasifik, berkata jika data itu didapati secara meluas seperti yang disyaki, ia boleh digunakan untuk penipuan identiti dan penipuan lain.

"Data yang dicuri itu mungkin memberi impak kepada hampir setiap rakyat Malaysia," katanya.

Data itu juga termasuk maklumat peribadi lebih daripada 80,000 individu yang bocor dari rekod Majlis Perubatan Malaysia, Persatuan Perubatan Malaysia dan Persatuan Pergigian Malaysia, menurut Lowyat.net seperti dilaporkan agensi berita itu.

Pada Isnin, Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun mengesahkan pihaknya, melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kebocoran data peribadi itu .

Pada 20 Oktober lepas, SKMM dalam satu kenyataan media memberitahu, suruhanjaya itu bersama dengan polis sedang menyiasat laporan bahawa terdapat iklan untuk menjual data pengguna yang disyaki diperolehi secara tidak sah.

Tambah kenyataan itu, sebagai langkah pencegahan, SKMM  telah meminta pentadbir laman sesawang lowyat.net untuk menurunkan iklan penjualan tersebut.

“Pentadbir laman sesawang tersebut telah memberi kerjasama menurunkan iklan serta artikel yang berkaitan,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, pengendali telefon mudah alih Celcom dan Maxis berkata dalam kenyataan berasingan mereka bekerjasama dengan pihak berkuasa mengenai siasatan manakala DiGi tidak menjawab permintaan untuk memberi komen.

N.Nantha turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.