SPRM Minta Perdana Menteri Jelaskan Sumbangan Derma

Oleh Hata Wahari
2015.08.05
150805-MY-NAJIB620 Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak pada persidangan media mengenai rombakan kabinet di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya. 28 July 2015
AFP

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan meminta Perdana Menteri, Najib Razak memberi penjelasan kepada agensi itu berhubung sumbangan berjumlah RM2.64 bilion (AS$700 juta) yang didepositkan ke dalam akaun peribadinya.

SPRM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu berkata, suruhanjaya itu telah mendapat penjelasan daripada penderma yang berasal dari Timur Tengah dan pihak berkenaan telah mengesahkan mengenai sumbangan derma itu. Bagaimanapun, identiti penderma berkenaan tidak didedahkan.

Menurut kenyataan itu, dokumen berkenaan menjelaskan bahawa sumbangan wang beratus-ratus juta itu merupakan derma dan tidak mempunyai kaitan dengan syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Pada awal bulan lepas, dua media antarabangsa dalam laporan mereka mendakwa penyiasatan yang dijalankan mendapati hampir RM2.64 bilion telah dipindahkan ke akaun Najib melalui beberapa agensi kerajaan, bank dan syarikat yang dikaitkan dengan dana pelaburan 1MDB.

Najib menafikan mengambil sebarang wang untuk kepentingan peribadi dan berkata, dakwaan rasuah adalah sebahagian daripada kempen berniat jahat untuk memaksa beliau melepaskan jawatannya.

Pada Isnin lepas, SPRM dalam satu kenyataan berhubung hasil siasatan agensi itu berkata, wang beratus-ratus juta yang dikatakan telah didepositkan ke dalam akaun peribadi Najib, merupakan sumbangan daripada para penderma dan bukannya 1MDB.

Bagaimanapun dalam kenyataan itu, suruhanjaya berkenaan tidak menyatakan siapakah pendermanya dan mengapa wang itu dipindahkan ke dalam akaun peribadi Najib.

“SPRM telah mendapat butiran penderma melalui dokumen yang diambil dari bank dan mendapati bahawa terdapat empat pucuk surat yang diserahkan kepada pihak bank apabila jumlah wang yang besar dimasukkan ke dalam akuan Perdana Menteri dengan dokumen itu menjelaskan bahawa sumbangan wang itu merupakan derma,” kata kenyataan itu.

Suruhanjaya itu, turut menekankan bahawa kes berkenaan belum ditutup sebaliknya menyatakan dana itu bukan dari wang syarikat pelaburan negara itu dan turut meminta orang awam tidak keliru antara siasatan melibatkan SRC International Sdn Bhd dan 1MDB.

SRC International, ialah sebuah syarikat tenaga yang asalnya dikuasai oleh 1MDB tetapi dipindahkan kepada Kementerian Kewangan pada 2012, dan laporan WSJ menyatakan para penyiasat percaya sebahagian daripada wang yang dikesan dalam akaun Najib datangnya dari SRC.

Kenyataan suruhanjaya itu turut menyebut ,SPRM hanya terlibat dalam menyiasat isu SRC International sementara isu 1MDB akan disiasat sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

SPRM berkata, isu SRC International melibatkan dana RM4 bilion masih dalam siasatan dan ia adalah siasatan berasingan dengan dana RM2.6 bilion.

Siasatan telus

“Sebagai suruhanjaya yang bebas, SPRM bertanggungjawab menjalankan siasatan dengan bebas, telus dan professional, dan tidak akan membiarkan mana-mana pihak mempengaruhi ataupun campur tangan dalam siasatan yang dijalankan,’” kata kenyataan itu.

Dalam perkembangan yang sama, kenyataan itu turut memaklumkan bahawa Pasukan Petugas Khas yang dianggotai SPRM, Bank Negara Malaysia (BNM), PDRM dan Pejabat Peguam Negara telah dibubarkan atas nasihat Peguam Negara.

Pada 5 Julai lepas, sebuah pasukan khas terdiri daripada keempat agensi itu telah menjalankan siasatan terhadap skandal dan salah urus kewangan syarikat milik negara 1MDB.

"Hasil siasatan masing-masing akan diserahkan kepada Peguam negara untuk diambil keputusan sama ada terdapat kes untuk didakwa di mahkamah ataupun sebaliknya,’’ kata kenyataan itu.

Sementara itu, tiga pegawai kanan suruhanjaya itu telah diminta hadir untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berkaitan isu pembocoran maklumat siasatan 1MDB pada Rabu.

Sejak hujung minggu lalu, polis telah menahan beberapa pegawai SPRM termasuk Pengarah Operasi Khasnya, Bahri Mohamad Zin, bekas Ahli Lembaga Penasihat, Rashpal Singh; Ahli Sekretariat Kewangan dan Pentadbiran Pasukan Penyiasat Khas, Gurmeet Kaur dan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Szailee Abdul Khairi.

Sehingga Rabu, difahamkan tujuh pegawai telah ditahan untuk disoalsiasat dan dan dibebaskan selepas keterangan mereka diambil.

Kesemua penahanan itu dibuat ketika Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abu Kassim Mohamed dan timbalannya, Mohd Shukri Abdull sedang bercuti.

Pada Isnin lepas, seorang pegawai SPRM telah membuat laporan polis di IPD Putrajaya menafikan dakwaan pihaknya bahawa telah berlaku pembocoran maklumat dari siasatan suruhanjaya itu kepada pihak luar.

Dalam pada itu, Bahri berkata, “Saya akan mencari dalang yang mengarahkan semua ini. Kami bekerja siang malam sepanjang bulan puasa dan ini, berlanjutan sepanjang hari raya baru ini. Kami tiada masa berpolitik tapi kami menjalankan tugas kami seperti yang diamanahkan dan diharap oleh rakyat,” katanya seperti dilaporkan portal berita Malaysiakini.

Beliau turut mengingatkan 'dalang-dalang' itu bahawa kuasa yang mereka ada tidak sebesar mana.

Sementara itu, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar menafikan polis menahan pegawai SPRM sebaliknya mengambil rakaman kenyataan mereka, katanya kepada portal berita itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.