Polis Malaysia Buka Pusat Mesej Digital Anti Ekstremis November Depan

Muzliza Mustafa & Hata Wahari.
2016.10.21
161018-MY-messaging-620.jpg Polis Malaysia memberikan tunjuk arah kepada pelancong luar di sebuah pusat membeli-belah popular di Kuala Lumpur, 23 Feb 2016.
AFP

Malaysia bulan depan akan membuka secara rasmi pusat mesej digital yang misinya adalah untuk menangkis propaganda dalam talian dari kumpulan Negara Islam (IS) dan kumpulan pelampau lain, Ketua Polis Negara kepada BeritaBenar.

Pusat mesej itu akan ditempatkan di Pusat Latihan Polis Malaysia (Pulapol) di Kuala Lumpur, kata Ketua Polis Khalid Abu Bakar minggu lepas.

"Dari segi struktur, ia sudahpun berjalan. Pada mulanya kita mempunyai isu mengenai lokasi, tetapi kini ia sudah selesai. Perdana Menteri akan melancarkan [pusat] itu pada November. Kami sudah pun memulakan operasi tidak rasmi, " kata Khalid kepada BeritaBenar.

Pihak berkuasa di Malaysia dan negara jiran, Indonesia telah lama memberi amaran mengenai ancaman yang ditimbulkan oleh IS dan kumpulan pengganas yang menggunakan media sosial untuk mengindoktrinasi dan merekrut belia tempatan sebagai penyokong dan pejuang.

IS mempunyai unit tempur bahasa Melayu, yang dikenali sebagai Katibah Nusantara, yang terdiri daripada pejuang-pejuang dari ‘negara serumpun’.

Pakar dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) kini bekerjasama dengan pegawai Polis untuk membangunkan pusat mesej digital anti keganasan itu, kata Ketua Polis.

"Kami mendapat bantuan daripada JAKIM, seperti yang anda tahu, kita perlu berhati-hati dengan segala kandungan dan ianya akan meliputi tiga bahasa iaitu Inggeris, Melayu dan Arab," kata Khalid.

Beliau berkata, beberapa pegawai dari pusat di Malaysia itu telah dihantar ke Abu Dhabi untuk belajar mengenai Pusat Sawab, pusat mesej yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang berfungsi untuk melawan propaganda yang disebarkan melalui Internet oleh IS dan kumpulan pelampau lain.

Pada Persidangan Antarabangsa mengenai Deradikalisasi dan Menentang Keganasan di Kuala Lumpur, Januari lepas, Perdana Menteri Najib Razak menegaskan betapa pentingnya usaha untuk menangani naratif pelampau dalam talian yang penuh dengan "retorik dan pendekataan sedih yang menggoda daripada pihak militan."

"Adalah penting bagi semua pihak berkuasa – mufti-mufti, Suruhanjaya Multimedia, anak-anak muda yang celik teknologi di mana media sosial merupakan sebahagian daripada kehidupan seharian mereka - memastikan bahawa pusat pesanan digital mengeluarkan maklumat yang mantap, meyakinkan dan benar, " kata Najib semasa merasmikan persidangan itu.

Kira-kira 1,000 orang dari Asia Tenggara telah menyertai IS di Iraq dan Syria pada akhir tahun 2015, menurut Jabatan Negara AS.

IS mendakwa melalukan serangan di pusat bandar Jakarta pada Januari lepas yang menyebabkan lapan orang terbunuh, termasuk empat penyerang. Seorang yang dipercayai penyokong IS terbunuh di Tangerang, Jawa Barat pada Khamis, selepas menyerang anggota polis dengan pisau.

Pihak berkuasa telah menahan sekurang-kurangnya 230 orang yang disyaki anggota IS sejak 2013, dengan 75 lagi suspek yang mempunyai kaitan dengan kumpulan itu telah di dakwa di mahkamah.

Polis mendakwa bahawa seorang rakyat Malaysia yang berada di Syria telah mengarahkan serangan bom tangan di sebuah kelab malam di Puchong, di pinggir di Kuala Lumpur, yang mencederakan lapan orang pada Jun lepas, dan merupakan serangan pertama yang didakwa dilakukan oleh IS di Malaysia.


Versi awal laporan ini mengandungi beberapa maklumat yang kurang tepat termasuk nama pusat.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.