Siri 'Berita Gembira' Dari Kerajaan Petanda Pilihan Raya Tidak Lama Lagi

Penganalisis politik dan ekonomi menjangkakan ianya usaha kerajaan mewujudkan 'feel faktor' untuk kukuhkan sokongan semasa Pilihan Raya nanti.
Noah Lee & Nisha David
2022.04.26
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Siri 'Berita Gembira' Dari Kerajaan Petanda Pilihan Raya Tidak Lama Lagi Kesibukan lebuhraya MRR2 di Cheras mulai sibuk setelah Perintah Kawalan Pergerakan dimansuhkan buat sementara waktu, di Kuala Lumpur, 10 Jun 2020.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Siri bantuan kewangan dan diskaun kepada rakyat seperti diumumkan oleh Putrajaya sejak beberapa minggu ini, walaupun Malaysia sedang bergelut dengan hutang menandakan yang Pilihan Raya Umum semakin hampir, demikian menurut penganalisis politik yang percaya tindakan sedemikian mampu membawa sejumlah undi kepada kerajaan hari ini.

Terbaharu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan pemberian tol percuma serta diskaun tol untuk pengguna 30 lebuhraya semasa tempoh puncak perjalanan sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri pada Mei depan dengan jumlah manfaat melebihi RM70 juta.

Sebelum itu, Putrajaya juga telah mengumumkan pemberian bonus Hari Raya sebanyak RM500 bagi setiap penjawat awam, serta memberikan kebenaran kepada pencarum tabung simpanan pekerja swasta untuk membuat pengeluaran tambahan daripada akaun simpanan hari tua mereka.

"Saya rasa bantuan yang diberikan kerajaan kepada golongan bersasar itu bertujuan untuk mendapatkan sokongan mereka terhadap parti kerajaan pada Pilihan Raya umum akan datang, yang dijangka tidak lama lagi selepas perjanjian mereka dengan blok pembangkang Pakatan Harapan tamat pada Julai depan.

"Corak tindakan mereka ini amat mirip dengan strategi yang telah digunakan Barisan Nasional dalam pilihan raya-pilihan raya sebelum ini," kata Tunku Mohar Mokhtar, penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ketika dihubungi BenarNews.

Menyentuh mengenai kemampuan kewangan negara, beliau berkata kerajaan sedang berdepan dengan hutang yang begitu banyak namun mereka masih mahu mewujudkan faktor 'feel good', atau rasa senang, di kalangan rakyat bagi memastikan sokongan mereka.

"Segala bantuan yang diberikan ini akan digunakan sebagai modal untuk menunjukkan bahawa kerajaan adalah prihatin terhadap kesukaran hidup yang dihadapi orang kebanyakan.

"Bagi sesetengah pengundi, bantuan yang diberikan ini mungkin akan dapat meraih sokongan mereka dalam bentuk undian kepada kerajaan, tetapi berapa banyak itu masih tidak dapat diketahui.

“Sekiranya jajaran parti-parti politik dalam negara tidak berubah, Barisan Nasional mungkin mempunyai sedikit kelebihan berbanding parti pembangkang yang sedang berpecah," tambah Tunku Mohar.

Sehingga akhir Disember 2021 hutang keseluruhan kerajaan Malaysia ialah sebanyak RM979.8 bilion, kata Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah kepada Dewan Rakyat pada Mac lepas, seperti dilaporkan oleh media tempatan.

'Feel good factor'

Seorang lagi penganalisis politik, Mazlan Ali turut mengutarakan pandangan serupa mengenai tujuan kerajaan memberikan bantuan, dan menyifatkannya sebagai usaha memberikan sedikit kegembiraan kepada rakyat terutama ketika menjelang sambutan perayaan yang disambut masyarakat majoriti.

"Dalam mood rakyat yang dahulunya tidak dapat pulang beraya kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), jadi tahun ini mungkin kerajaan hendak cetuskan 'feel good factor' supaya rakyat berasakan bahawa kerajaan ini kerajaan yang bagus, kerajaan yang prihatin.

"Walaupun negara banyak hutang, tetapi ia mustahak sekali untuk kerajaan mendapatkan sedikit sokongan daripada rakyat. Dan kerajaan pimpinan Ismail Sabri juga bukanlah kerajaan yang kukuh, jadi mungkin itu sebabnya," kata pensyarah kanan Universiti Teknologi Malaysia itu kepada BenarNews.

Beliau merujuk kepada kedudukan Perdana Menteri Ismail Sabri yang goyah disebabkan bilangan kerusi Barisan Nasional yang tidak cukup untuk membentuk majoriti, di samping situasi dalaman parti UMNO yang melihat perselisihan antara Presiden Ahmad Zahid Hamidi dengan Ismail Sabri, yang merupakan Naib Presiden UMNO.

Mazlan juga percaya bahawa siri bantuan oleh kerajaan itu mampu mempengaruhi pengundi, terutama di kalangan rakyat yang melihat kerajaan Barisan Nasional sebagai membantu kehidupan mereka.

Sementara itu, Mohd Nazari Ismail dari Jabatan Strategi dan Polisi Perniagaan Universiti Malaya berkata kesanggupan kerajaan menanggung kerugian tol itu tentunya akan menambah lagi beban hutang negara.

Kata beliau, kerugian yang ditanggung para pemegang konsesi lebuhraya disebabkan keputusan tersebut sudah tentu perlu diberikan gantirugi, dan rakyat perlu menunggu pengumuman kerajaan untuk mengetahui berapakah amaun yang telah dipersetujui untuk ditanggung Putrajaya.

"Akan tetapi, sekiranya rakyat begitu gembira dengan keputusan ini, ia tentunya akan dapat diterjemah kepada lebih banyak undi (kepada parti kerajaan) dalam pilihanraya umum yang akan datang.

"Perkara yang sama juga adalah bonus raya, di mana beban kewangan kerajaan akan bertambah. Malangnya, kebanyakan rakyat Malaysia hanya peduli tentang wang di dalam kocek mereka, dan tidak mengambil kira kesan jangka panjang daripada hutang ditanggung kerajaan," kata Nazari, dan menambah bahawa rakyat Malaysia patut belajar daripada apa yang terjadi kepada Sri Lanka untuk memahami masalah dihadapi mereka.

Pada 5 April lepas, Perdana Menteri Ismail Sabri mengumumkan bahawa kerajaan memperuntukkan sejumlah RM923 juta untuk memberikan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri bagi tahun ini. Ia termasuk bantuan wang tunai RM500 kepada setiap penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, serta bantuan tunai RM250 untuk setiap pesara kerajaan.

"Pengumuman pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan Kerajaan dalam membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri," kata Perdana Menteri itu semasa membuat pengumuman mengenainya.

Kira-kira dua minggu sebelum itu, Ismail telah mengumumkan keputusan kerajaan untuk membenarkan para pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, atau KWSP, untuk mengeluarkan wang daripada akaun mereka sehingga RM10,000.

Pada Isnin, Perdana Menteri itu sekali lagi membuat pengumuman bantuan kepada rakyat dengan memberikan tol percuma di sembilan lebuhraya selama empat hari, serta diskaun tol antara 30 peratus dan 50 peratus di 21 lagi lebuhraya. Pemberian itu dibuat pada dua hujung minggu (30 April hingga 1 Mei dan 7 Mei hingga 8 Mei) dan untuk semua jenis kelas kenderaan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh