Follow us

1MDB: Jabatan Kehakiman AS Dapatkan Semula AS$60juta Daripada Riza Aziz

Staf BeritaBenar
Washington
2020-09-03
E-mel
Komen
Share
Riza Aziz, penerbit filem Hollywood "The Wolf of Wall Street" yang juga anak tiri bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak hadir di Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur, 5 Julai 2019.
Riza Aziz, penerbit filem Hollywood "The Wolf of Wall Street" yang juga anak tiri bekas perdana menteri Malaysia, Najib Razak hadir di Mahkamah Jalan Duta di Kuala Lumpur, 5 Julai 2019.
[AFP]

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mengumumkan bahawa pihaknya telah mendapatkan semula lebih AS$60 juta (RM248.55 juta) yang didakwa diseleweng daripada dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) setelah mencapai penyelesaian dalam kes perlucutan hak sivil terhadap aset milik Riza Aziz, anak tiri bekas perdana menteri Najib Razak.

Pengumuman mengenai penyelesaian melibatkan pengubahan wang haram dana tersebut yang dibuat menerusi institusi kewangan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat [AS], Switzerland, Singapura dan Luxembourg dibuat menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan di negara itu pada Rabu.

“Aset ini dianggarkan bernilai lebih dari AS$60 juta. Dengan kesimpulan penyelesaian ini, bersama dengan kes pelupusan hak lain yang berkaitan sebelumnya, Amerika Syarikat telah memperoleh atau membantu dalam mendapatkan semula aset berjumlah hampir AS$1.1 bilion (RM4.6 bilion) yang berkaitan dengan pengubahan wang haram dan rasuah antarabangsa 1MDB.

“Ini mewakili jumlah terbesar setakat ini yang berjaya diperolehi sehingga kini melalui Inisiatif Rampasan Aset Kleptokrasi jabatan dan tindakan pelucutan sivil terbesar dalam sejarah Jabatan Kehakiman,” kata kenyataan Jabatan Kehakiman (DOJ) itu.

Pihak berkuasa kehakiman AS itu juga berkata antara aset yang tertakluk kepada persetujuan penyelesaian tersebut adalah daripada hasil penjualan hartanah mewah di Beverly Hills, unit kondominium mewah di New York; hasil penjualan pelaburan dibuat Riza dalam sebuah syarikat penyelenggaraan di Kentucky; sebuah townhouse mewah di London, dan poster promosi bagi filem motion picture “Metropolis” pada 1927.

Pemangku Penolong Peguam Negara Bahagian Jenayah DOJ, Brian C Rabbit berkata seperti didakwa dalam aduan pelucutan hak, Riza dan lain-lainnya secara bersama telah melakukan pengubahan wang haram membabitkan berbilion dolar yang dicuri daripada 1MDB, dengan didakwa menyeleweng dana berkenaan bagi kepentingan sendiri dan menggunakannya untuk membeli hartanah mewah di New York dan London termasuk membuat pelaburan peribadi.

“Pelucutan hak aset-aset ini akan ditambah kepada hampir AS$1.1 bilion yang dicuri daripada 1MDB di mana Jabatan Kehakiman AS telah sehingga ini membantu mendapatkan semula dan dipulangkan kepada rakyat Malaysia. Pelucutan hak ini memberi isyarat jelas bahawa jabatan tidak akan membenarkan pesalah menggunakan sistem kewangan AS untuk melakukan pengubahan wang haram hasil daripada aktiviti haram mereka,” kata Brian dalam kenyataan DOJ.

Riza, 33 merupakan anak lelaki kepada Rosmah Mansor, isteri Najib daripada perkahwinan terdahulu beliau, merupakan pengasas Red Granite Productions yang menerbitkan beberapa buah filem Hollywood termasuk ‘The Wolf of Wall Street’ pada 2013 yang turut mendapat pencalonan Oscar, dengan menggunakan dana 1MDB.

Beliau didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Julai tahun lepas dengan lima pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan AS$248 juta (RM1.25 bilion) dan menyeleweng dana negara sebelum dibebaskan dengan ikat jamin berjumlah RM1 juta (AS$241,809).

Pada Mei lalu, Riza telah dilepaskan tanpa dibebaskan daripada semua pertuduhan setelah Hakim Azman Ahmad membuat keputusan setelah persetujuan dicapai antara pihak pendakwaan dan penerbit filem itu di bawah terma bahawa kerajaan persekutuan akan menerima sejumlah AS$107.3 juta dari aset luar negara yang dikaitkan dalam kes terhadap beliau itu.

Beberapa hari kemudian Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pula membenarkan permohonan kerajaan untuk melucut hak wang tunai hampir RM600,000 milik Riza, yang disita oleh polis dua tahun lepas.

Komitmen AS

Dalam pada itu, Peguam Negara AS Nick Hanna daripada Central District of California telah dipetik dalam kenyataan DOJ sebagai berkata, “Lebih AS$1 bilion telah dilucutkan hak hasil daripada kes perlucutan aset dengan kami akan terus berusaha membantu menyelesaikan isu penipuan dan pengubahan wang haram secara besar-besaran yang secara jelas merupakan perbuatan mencuri dana awam milik rakyat Malaysia.”

“Hartanah mewah di seluruh negara yang telah dirampas dan dilucut hak membuktikan komitmen kami untuk mencegah pelaku rasuah daripada menggunakan Amerika Syariakt sebagai tempat untuk menyembunyikan kekayaan yang dicuri,” kata Nick.

"Penyitaan terbaru AS$60 juta ini adalah satu lagi langkah untuk mengembalikan dana yang dilucutkan kepada rakyat Malaysia," kata Don Fort, Ketua Siasatan Jenayah Perkhidmatan Hasil Dalaman (IRS) sambil menambah akan komitmen agensi itu dalam mengembalikan sejumlah besar wang yang dicuri daripada 1MDB dikembalikan kepada yang sah dan sepatutnya berada serta digunakan bagi tujuan asalnya

Najib menubuhkan 1MDB pada 2009 sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri menggantikan Abdullah Ahmad Badawi, bertujuan mempromosi pembangunan ekonomi di Malaysia menerusi perkongsian global dan pelaburan langsung asing. Dana itu adalah bertujuan untuk digunakan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat Malaysia.

1MDB sebaliknya menanggung kerugian berbilion dolar dan pada 2016, DOJ menuduh “Pegawai Nombor 1 Malaysia” – kemudian dikenal pasti sebagai Najib – dan sekutu menyeleweng serta mengubah lebih AS$4.5 bilion daripada wang yang dikaitkan dengan 1MDB antara 2009 dan 2014.

Pada 28 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun ke atas Najib setelah mensabitkan beliau dengan tujuh pertuduhan - termasuk penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram – yang menyaksikan berbilion dollar telah diseleweng daripada 1MDB, yang ditubuhkannya itu.

Najib telah diikat jamin sementara menunggu keputusan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Lihat Laman Penuh