Dua Pegawai Tinggi Malaysia Bertemu Trump Di White House

Hadi Azmi
2017.08.25
170825-my-trump-620.jpg Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald J. Trump diapit oleh Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Jeneral Zulkifeli Mohd Zin (kiri) dan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Zulhasnan Rafique di White House, 24 Ogos, 2017.
Ihsan Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur

Presiden Amerika Syarikat [AS] Donald J. Trump mengadakan pertemuan dengan Duta Besar Malaysia ke AS dan Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara [MKN] untuk mengucapkan terima kasih kepada negara itu yang membantu menyelamatkan anak kapal USS John S McCain, menjelang pertemuannya dengan Perdana Menteri bulan depan.

Sekeping gambar yang merekodkan pertemuan di Oval Office, telah dimuatnaik di laman Facebook rasmi Kedutaan AS di Kuala Lumpur, pada Jumaat yang menunjukkan Trump bertemu Zulhasnan Rafique dan Jeneral Zulkifeli Mohd Zin di Rumah Putih.

"Presiden Trump mengucapkan terima kasih kepada Malaysia atas usaha mencari anak kapal USS John S McCain,” menurut kapsyen gambar yang di muatnaik oleh kedutaan.

Pada pertemuan itu, Trump juga memberitahu dua pegawai tinggi Malaysia bahawa beliau mengalu-alukan pertemuan dengan Najib di Washington, DC, yang akan berlangsung pada 12 September.

USS John McCain merupakan kapal pemusnah AS yang berlanggar dengan sebuah kapal dagang berdaftar di Liberia pada kira-kira 5.40 pagi Isnin lalu, menyebabkan lima anak kapalnya cedera manakala sepuluh lagi hilang selepas terjatuh ke laut.

Usaha mencari dan meyelamat anak-anak kapal tersebut disertai pihak berkuasa Malaysia, Singapura dan AS serta Indonesia di perairan yang dituntut oleh Malaysia dan Singapura.

Sehingga kini, dua mayat telah berjaya ditemui oleh pihak AS di ruang tertutup kapal pemusnah peluru berpandu AS itu.

Malaysia telah menghentikan operasi mencari dan menyelamat pada lewat malam Khamis atas permintaan AS, setelah dimaklumkan operasi akan diperhebatkan di dalam kapal USS John S. McCain.

Najib bertemu Trump

Pentadbiran dari kedua-dua negara pada Rabu dan Khamis telah mengesahkan bahawa satu pertemuan antara Najib dan Trump akan diadakan di White House pada 12 September.

“Presiden Trump berharap untuk meraikan ulang-tahun ke-60 perhubungan Amerika Syarikat – Malaysia dan membincangkan pelbagai kaedah untuk memperkuatkan dan memperluaskan hubungan dua hala serta kerjasama serantau dengan Malaysia yang merupakan salah satu rakan kongsi AS yang paling rapat di Asia Tenggara,” kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Rumah Putih pada Rabu.


Manakala Wisma Putra turut mengeluarkan kenyataan media yang sama mengesahkan mengenai lawatan Najib itu pada Khamis dengan berkata lawatan kerja Perdana Menteri Malaysia ke Washington itu adalah atas jemputan Trump.

Kenyataan itu juga menyebut bahawa kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan hal-hal keselamatan negara, usaha menentang aktiviti keganasan dan ekstremisme, hubungan dua  hala, perdagangan dan pelaburan.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Dewan Perniagaan Amerika-Malaysia bekata, komuniti perniagaan berharap lawatan dan pertemuan Najib dan Trump itu akan memperkukuhkan lagi hubungan selain memastikan usaha ke arah mencapai dasar matlamat bersama yang dapat memudahkan persekitaran perniagaan berdaya saing selain memberi manfaat kepada perniagaan dan rakyat kedua-dua negara.

Usaha bantutkan siasatan

Akhbar The Wall Street Journal (WSJ) pada Rabu menyiarkan laporan mengenai Najib ingin menjalinkan persahabatan rapat dengan Trump ketika pihak berkuasa AS giat menyiasat dakwaan rasuah yang melibatkan dana negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Laporan WSJ itu memetik sumber yang rapat dengan Najib sebagai berkata, lawatan tersebut adalah sebahagian daripada usaha supaya penyiasatan lebih lanjut tidak dilakukan pihak berkuasa AS.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad, pengkritik paling lantang pentadbiran Najib menyifatkan AS mungkin akan campur tangan dalam pilihanraya Malaysia ke-14 yang akan datang.

“Jika Presiden Trump mahu terlibat dalam pilihan raya kita, beliau boleh memberi sokongan kepada individu yang disifatkan oleh DoJ (Jabatan Kehakiman AS) sebagai kleptokrat dan pencuri. Trump mungkin boleh memberi sokongan itu, saya tidak tahu,” katanya dalam nada sindir ketika ditemui pemberita di Putrajaya pada Khamis

Pihak berkuasa Malaysia pula menyatakan bahawa agensi penguatkuasaan yang menjalankan siasatan terhadap dakwaan berkenaan tidak menemui sebarang kesalahan terhadap 1MDB dan Najib.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat pada bulan Ogos telah melancarkan satu siasatan jenayah terhadap 1MDB dan mendakwa berbilion dolar telah dicuri daripada dana pelaburan negara Malaysia, dan telah memohon sebuah mahkamah untuk menangguh saman sivil yang difailkan sejak setahun lepas, bagi melindungi keterangan, saksi dan sasaran penyiasatan itu.

Jabatan Kehakiman AS memfailkan 29 kes sivil sejak Julai 2016 dalam usaha merampas aset-aset yang diperolehi melalui institusi kewangan AS dalam cubaan untuk mengubah wang yang dikeluarkan daripada 1MDB.

Tetapi, kini ia berusaha untuk menangguhkan dahulu saman-saman berkenaan, demikian menurut dokumen mahkamah yang difailkan di Mahkamah Daerah AS di Los Angeles dan diperolehi BeritaBenar.

"Amerika Syarikat membuat permohonan ini dengan alasan prosiding kes ini berkemungkinan memberi kesan terhadap kemampuan kerajaan untuk melakukan siasatan jenayah persekutuan yang berkaitan,” kata dokumen itu.

Semasa sidang media bagi mengumumkan pemfailan mengenai kes tersebut pada Julai tahun lepas, Peguam Negara AS Loretta Lynch berkata "pegawai rasuah dan rakan-rakan mereka memindahkan wang menggunakan beberapa transaksi rumit yang melibatkan syarikat-syarikat dan akaun bank lohong di seluruh dunia.”

Beliau tidak menamakan pegawai-pegawai berkenaan tetapi saman undang-undang itu menyatakan bahawa AS$681 juta daripada 1MDB telah dipindahkan ke akaun bank "Pegawai Malaysia 1", dengan sumber-sumber akhbar mengenal pastinya sebagai Perdana Menteri Najib Razak yang mengasaskan dana itu pada 2009.

1MDB kendalian negara yang dibebani hutang itu telah menjadi sasaran siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 12 negara, dan dikaitkan dengan tuduhan rasuah yang membelenggui Najib, yang menafikan sebarang salah laku.


Fadzil Aziz turut membantu dalam laporan ini.




Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.