Duta China Dipanggil Berhubung Pencerobohan Perairan Malaysia

Haireez Azeem Azizi
2016.04.01
Kuala Lumpur
160401-my-lautchinaselatan620 Gambar yang diambil oleh tentera Filipina WESTCOM, yang menunjukkan kapal nelayan China berada dan berlabuh di sekitar Fiery Cross Reef (Kagitingan) di Kepulauan Spratly di Laut China Selatan, 17 Julai 2012.
WESTCOM/AFP

Malaysia memanggil Duta China ke Kuala Lumpur Dr. Huang Huikang bagi mendapatkan penjelasan serta menyatakan kekhuatiran Malaysia terhadap kehadiran 100 bot menangkap ikan China bersama kapal pengawal pantai republik itu di perairan negara di Laut China Selatan.

Wisma Putra mengeluarkan satu kenyataan media mengenainya pada lewat malam Khamis dengan berkata, “Dr. Huang dipanggil untuk mendapatkan penjelasan mengenainya serta kebimbangan Malaysia berhubung perkara itu,”

"Kementerian Luar ingin mengesahkan laporan bahawa terdapat sebilangan besar bot nelayan dengan bendera China kelihatan di kawasan perairan negara di Laut China Selatan,

“Berdasarkan kepada laporan yang diterima daripada pihak berkuasa Malaysia, bot nelayan dengan bendera China kelihatan diiringi oleh kapal pengawal pantai China semasa sedang berkemudi di kawasan maritim Malaysia," kata kenyataan itu.

Sejak awal minggu ini, media tempatan termasuk BeritaBenar telah melaporkan bahawa kira-kira 100 buah bot dan kapal menangkap ikan China kelihatan di sekitar Beting Patinggi Ali di Laut China Selatan. Beting Patinggi Ali terletak 84 batu nautika dari Miri, Sarawak.

Minggu lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Shahidan Kassim pada Khamis lepas, berkata, kerajaan telah mengerahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) supaya menjalankan kerja-kerja pemantauan selepas mendapati bot dan kapal dari China dengan jumlah yang banyak menceroboh perairan negara.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Maritim Ahmad Puzi AB Kahar, semasa diminta mengulas mengenai pencerobohan perairan di Laut China Selatan itu, memberitahu BeritaBenar pada Selasa, yang agensi itu telah mengarahkan kesemua kapal yang didapati menceroboh perairan negara supaya keluar dari kawasan berkenaan.

Beliau berkata, aset-aset laut dan udara APMM telah dikerahkan sejak Khamis lepas untuk menjalankan kerja pemantauan di kawasan seluas lebih 1,900 kilometer persegi dan sekitarnya.

“Pemantauan yang dijalankan mendapati hampir 100 bot nelayan asing dikesan oleh aset laut dan udara berada di jarak 52 batu nautika di barat kawasan Beting Hempasan Banting di perairan Sarawak,” katanya kepada BeritaBenar pada Selasa.

Insiden pencerobohan di perairan negara berlaku beberapa hari selepas pihak berkuasa Indonesia memintas bot menangkap ikan China di perairan Pulau Natuna.

Hubungan Baik

Menurut kenyataan Wisma Putra itu, Malaysia percaya China turut berkongsi dan mendokong sentimen bahawa hubungan rapat kedua-dua negara itu telah dipertingkatkan kepada perkongsian strategik yang komprehensif, dengan masing-masing saling menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah dalam suasana aman.

"Sehubungan itu,  Malaysia yakin keikhlasan dan kejujuran serta hubungan muhibah Malaysia dan China akan membolehkan kedua pihak mencari jalan penyelesaian secara baik terhadap sebarang isu yang timbul antara kedua-dua negara," kata kenyataan itu.

Sebelum ini, agensi berita Reuters melaporkan Jurucakap Kementerian Luar Negara China, Hong Lei sebagai berkata, beliau “tidak memahami butir-butir” yang diperkatakan Malaysia apabila ditanya mengenai pencerobohan oleh kapal-kapal dari negara itu.

“Sekarang adalah musim penangkapan ikan di Laut China Selatan... Pada masa ini setiap tahun, pukat tunda China akan menjalankan aktiviti penangkapan ikan yang normal,” kata Hong tanpa mengulas lanjut laporan Reuters.

Menteri Pertahanan Malaysia Hishammuddin Hussein seperti dilaporkan media tempatan Malaysia,* menolak laporan pencerobohan di kawasan perairan negara, iaitu empat hari selepas Shahidan membuat kenyataan mengenainya.

Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berada di ibu negara Amerika Syarikat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear berkata, beliau telah menyatakan pendirian Malaysia mengenai isu Laut China Selatan dan meminta perkara itu diselesaikan dengan segera.

"Mekanisme terbaik adalah melalui perundingan agar tidak timbul sebarang ketegangan yang boleh memberikan impak keselamatan kepada rantau Asia Tenggara khususnya," katanya seperti dilaporkan agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Kepulauan Spratly

Laut China Selatan yang merupakan laluan perkapalan penting kepada perdagangan dunia, terus menjadi punca pertikaian apabila kawasan kepulauan Spratly menjadi tuntutan bertindih yang melibatkan empat negara ASEAN (Persatuan Negara-negara Asia Tenggara) iaitu Malaysia, Brunei, Filipina dan Vietnam selain dari China serta Taiwan.

China telah membangkitkan pertikaian terhadap perairan strategik Laut China Selatan, termasuk kawasan perairan yang berdekatan dengan negara lain selepas bertindak untuk menambak kawasan kepulauan Spratly sehingga menyebabkan pelbagai kerosakan di kawasan terumbu karang di situ.

Pencerobohan kapal-kapal berkenaan, menimbulkan kebimbangan negara ASEAN yang terlibat dalam tuntutan bertindih itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.