Malaysia, Singapura Meterai Perjanjian Tangguhkan Projek Kereta api Berkelajuan Tinggi

Hadi Azmi
2018.09.05
Kuala Lumpur, Malaysia
180905-MY-rail-620.jpg Selepas bersetuju menangguhkan projek Keretapi Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura, Menteri Hal Ehwal Ekonomi Malaysia, Azmin Ali (tengah) bersalaman dengan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan, dengan disaksikan Menteri Pengangkutan Malaysia, Anthony Loke, di Putrajaya, 5 September 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Malaysia menandatangani satu perjanjian pada Rabu untuk membayar Singapura sebanyak AS$10.9 juta kerana menangguhkan selama dua tahun projek kereta api berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Kota Singa itu, selepas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata beliau mahu membatalkan projek itu.

Sejak pakatan Pakatan Harapan pimpinannya mengalahkan gabungan parti Barisan Nasional dalam pilihan raya umum Mei lalu, kerajaan baru Mahathir bergelut menangani hutang negara sebanyak RM1 trilion (AS$241 bilion) dengan membatalkan projek-projek yang dimulakan oleh pemimpin terdahulu, Najib Razak.

Pada Ogos lalu, Mahathir membatalkan projek landasan kereta api dan dua saluran paip yang disokong oleh China dan melibatkan kos berbilion dolar.

"Saya gembira untuk menyatakan, dan saya percaya Menteri Khaw (Boon Wan) begitu juga, bahawa pada hari ini kami telah memeterai perjanjian itu, dengan disaksikan oleh Perdana Menteri Mahathir Mohamad dan timbalan perdana menteri Singapura," kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali yang menandatanganinya bagi pihak Malaysia.

Di bawah perjanjian baru dengan Singapura, projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) bernilai $12.3 bilion itu, yang meliputi laluan kira-kira 217 batu (350 kilometer) antara Kuala Lumpur dan Singapura, akan ditangguhkan sehingga 31 Mei 2020 dan melewatkan tarikh siap projek itu kepada empat tahun sehingga 1 Januari, 2031.

Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan, yang menandatangani perjanjian itu bagi pihak Singapura, berkata, kerajaannya tetap komited untuk melaksanakan projek itu.

"Tetapi, sudah tentu kami faham mengapa Malaysia perlu menangguh sementara pembinaan projek HSR," kata Khaw.

Beliau berkata, perjanjian itu dibuat selepas pertimbangan serius oleh para pegawai Singapura kerana ia tidak sepadan dengan perjanjian asal yang ditandatangani dengan kerajaan Najib pada Februari 2013.

Azmin ke Singapura sebanyak tiga kali pada Ogos lalu untuk merundingkan tentang perjanjian itu. Dalam tweet yang dimuat naik pada 30 Ogos, hari terakhir rundingan berkenaan, beliau mengumumkan bahawa kedua-dua kerajaan "semakin hampir dengan perjanjian yang memanfaatkan kedua-dua pihak mengenai HSR."

Perjanjian itu menetapkan bahawa jika projek tersebut gagal diteruskan selepas tempoh 2020 seperti yang dipersetujui, ia akan dianggap sebagai dibatalkan dan Malaysia boleh dikenakan penalti kira-kira $120 juta, menurut satu sumber rapat kepada menteri itu, yang meminta tidak dinamakan.

Penangguhan dipersoalkan

Pengkritik kerajaan yang mempersoalkan perjanjian itu berkata, pembinaan dan kos bahan mungkin lebih tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang.

Abdul Rahman Dahlan, yang berkhidmat sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap unit perancangan ekonomi semasa pentadbiran Najib, berkata, wang berjuta-juta yang dibayar kepada Singapura berikutan penangguhan projek itu sepatutnya digunakan untuk perkara yang lebih baik.

"Kos penangguhan itu sudah cukup untuk membina lima buah sekolah di kawasan luar bandar atau 643 unit rumah kos rendah untuk golongan miskin," kata Abdul Rahman.

"Pakatan Harapan perlu menimbang semula keutamaannya," kata beliau dalam catatan Twitter pada Rabu.

Sementara itu, Oh Ei Sun, penasihat kanan untuk hal ehwal antarabangsa di Institut Strategi dan Kepimpinan Asia, berkata, kerajaan telah mengambil langkah yang betul.

"Mudah-mudahan dalam masa dua tahun ini, keadaan akan menjadi lebih baik," kata Oh, yang menolak kemungkinan Malaysia membatalkan projek itu.

"Jika kerajaan mahu membatalkannya, lebih baik mereka membatalkannya sekarang dan tidak perlulah melakukan rundingan," kata Oh.

Pada 2013, para pegawai mengumumkan bahawa projek kereta api  yang dicadangkan itu akan mengurangkan masa perjalanan antara Singapura dan Kuala Lumpur kepada kira-kira 90 minit dengan kereta api berbanding 7 jam dengan perkhidmatan kereta api sedia ada.

Selain itu, pegawai-pegawai mengunjurkan bahawa ia akan menyumbang $5 bilion (RM20.7 bilion) dalam keluaran negara kasar kepada Malaysia dan Singapura selain mewujudkan 111,000 pekerjaan menjelang 2060.

Perjanjian air: 'Tidak Masuk Akal’, kata Mahathir


Negara kota Singapura dahulunya pernah menjadi sebahagian daripada Malaysia sebelum ia keluar dari Persekutuan Malaysia pada 1965. Sejak itu, hubungan antara dua negara berjiran itu ada kalanya tegang.

Dan, ketika kedua-dua negara sedang memeterai perjanjian untuk menangguhkan projek kereta api berkelajuan tinggi itu , Daim Zainuddin, pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan yang berpengaruh itu, berkata, Mahathir kini mengalihkan perhatiannya kepada rundingan semula harga seperti yang ditetapkan dalam perjanjian air dua hala pada 1962, menurut laporan South China Morning Post pada Ahad.

Di bawah perjanjian air yang berusia 56 tahun itu, Malaysia menjual air kepada Singapura dari Sungai Johor pada kadar kurang daripada satu sen AS untuk setiap 1,000 gelen, lapor South China Morning Post, yang turut menyatakan bahawa 60 peratus daripada keperluan air kota itu dibekalkan di bawah perjanjian itu.

Pada akhir Jun, Mahathir memberitahu satu temu bual dengan Channel News Asia yang berpejabat di Singapura bahawa beliau tidak gembira dengan perkara itu dan kerajaannya merancang untuk merundingkan semula perjanjian tersebut.

"Saya fikir ia jelas tidak masuk akal bahawa kami perlu menjual air pada harga 3 sen bagi setiap 1,000 gelen. Itu mungkin okay pada tahun 1990-an atau 1930-an. Tetapi, sekarang apa yang anda boleh beli dengan 3 sen? Tiada apa pun, " kata Perdana Menteri.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.