Perdana Menteri Malaysia, Sekutu Menang Pilihan Raya Negeri Sabah

Hadi Azmi & Muzliza Mustafa
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-09-26
Share
200927-MY-PRNSabah-1000.jpg Seorang wanita sedang mengundi di pusat mengundi di pinggir Kota Kinabalu semasa pilihan raya negeri Sabah di Malaysia, 26 September 2020.
[AP]

Perdana Menteri Malaysia Muhyddin Yassin dan parti-parti yang bersekutu dengan kerajaannya pada Sabtu mencatat kemenangan penting pada pilihan raya negeri Sabah, yang dianggap sebagai referendum mengenai populariti kerajaan tidak dipilih yang sudah tujuh bulan dipimpin beliau.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS), yang merangkumi Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin serta parti sekutu lain, memenangi 38 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri yang dipertandingkan bagi mendapatkan kembali kuasa daripada pakatan Warisan Plus yang memperoleh 32 kerusi, menurut Suhanjaya Pilihan Raya.

“Kita memenangi 38 kerusi di Sabah, yang membolehkan kita membentuk kerajaan negeri. Ini menunjukkan bahawa rakyat di Sabah mempunyai keyakinan tinggi terhadap calon kita. Saya ingin memberi komitmen sepenuhnya bahawa kerajaan negeri baru yang dibentuk akan mendapat sokongan penuh daripada kerajaan pusat,” kata Muhyiddin dalam kenyataan ringkas di Kuala Lumpur yang disiarkan menerusi televisyen nasional, beberapa minit selepas Suruhanjaya Pilihan Raya mengeluarkan keputusan pilihan raya Sabah selepas tengah malam.

Sebanyak 66 peratus pengundi berdaftar keluar mengundi pada pilihan raya negeri Sabah, yang merupakan satu daripada dua negeri yang membentuk Borneo Malaysia, merangkumi 749,083 pengundi biasa, pengundi awal dan pengundi pos, kata suruhanjaya itu. Mereka yang mengundi pada Sabtu memakai pelitup separuh muka, yang diwajibkan sebagai langkah perlindungan daripada penularan penyakit coronavirus.

Pada pilihan raya negeri itu, Perikatan Nasional pimpinan perdana menteri tersebut memenangi 17 kerusi, yang hanya lebih tiga kerusi daripada jumlah yang dimenangi oleh Barisan Nasional, yang mempunyai hubungan agak tegang dengan Muhyiddin sebagai rakan utama kerajaan pusat.

200926-MY-Inside-Sabah620.jpg
Pengundi memakai pelitup separuh muka bagi membantu mengekang penularan COVID-19 ketika mereka menunggu giliran untuk mengundi pada pilihan raya negeri di sebuah pusat mengundi dekat Kota Kinabalu, ibu negeri Sabah, 26 September 2020. [AP]

Muhyiddin dan GRS mencatat kemenangan tipis walaupun kerajaannya berdepan cabaran saat akhir daripada ketua pembangkang, Anwar Ibrahim pada minggu ini. Dalam sidang media  pada 23 September, Anwar menyatakan beliau memperoleh majoriti parlimen yang "kukuh" untuk menggulingkan kerajaan Muhyiddin, yang hanya bergantung kepada kelebihan tipis dalam badan perundangan itu sejak mengambil alih kuasa pada awal Mac.

Anwar enggan menunjukkan kepada wartawan senarai Ahli Parlimen yang menyatakan sokongan kepadanya. Beliau masih menunggu kebenaran menghadap Yang di-Pertuan Agong bagi menyakinkan baginda untuk melantiknya sebagai perdana menteri yang baru, tetapi Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah kini menjalani rawatan di sebuah pusat perubatan.

Dalam pakatan Warisan Plus, Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan Anwar memenangi dua kerusi pada pilihan raya negeri itu manakala Warisan, parti yang berpusat di Sabah, memperoleh kemenangan paling besar iaitu 29 kerusi.

"Kami memenangi 29 kerusi. Ini merupakan satu penghargaan untuk dapat merealisasikan satu kumpulan wakil rakyat dalam dewan undangan negeri,” kata Shafie Apdal, pemimpin Parti Warisan Sabah kepada pemberita di luar kediaman beliau pada awal pagi Ahad (waktu tempatan).

Beliau menerajui kerajaan negeri sebagai ketua menteri sehingga akhir Julai apabila beliau membubarkan dewan undangan negeri bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri setelah beberapa wakil rakyat dari partinya membelot dengan menyertai GRS.

"Saya tidak akan melupakan kepercayaan dan keyakinan yang diberikan oleh rakyat kepada kami dan kami akan berusaha walaupun terdapat ketidakstabilan politik di negara dan negeri asal kami, Sabah," kata Shafie.

Sementara itu, bagi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti yang menerajui Barisan Nasional, kemenangan di Sabah menandakan kemenangan pilihan raya kelapan di peringkat negeri atau parlimen sejak pilihan raya umum bersejarah pada Mei 2018. Kerajaan pakatan Pakatan Harapan, yang dipilih atas platform progresif pada ketika itu, tumbang pada akhir Februari berikutan pertelingkahan dalaman.

Anwar adalah pemimpin Pakatan Harapan, yang, akibat daripada kekalahan pada pilihan raya negeri Sabah pada Sabtu, kini hanya menguasai tiga daripada 13 negeri di Malaysia. Pakatan Harapan mempunyai majoriti dalam Dewan Undangan Negeri di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

'Referendum tidak langsung'

Sabah dan Sarawak, yang berjiran serta kaya dengan sumber semulajadi termasuk balak dan minyak, dianggap penting dalam pilihan raya umum kerana secara keseluruhannya mempunyai 56 kerusi atau 25 peratus di Parlimen.

Seminggu sebelum pilihan raya negeri Sabah – pilihan raya negeri pertama di bawah pimpinannya - Muhyiddin membayangkan jika pihaknya mencatatkan prestasi baik dalam pilihan raya itu, beliau akan "cepat" mengadakan pilihan raya umum dengan harapan untuk memperoleh mandat daripada rakyat Malaysia.

Penganalisis menyatakan bahawa kekalahan pilihan raya negeri Sabah boleh membawa bencana kepada kerajaannya.

"Ini adalah pilihan raya negeri yang pertama sejak terbentuknya kerajaan pimpinan Muhyiddin pada Mac. Dalam kata lain, ini adalah referendum tidak langsung mengenai sama ada rakyat gembira dengan pembentukan kerajaan pintu belakang (tidak dipilih),” kata James Chin, profesor pengajian Asia di University of Tasmania, kepada Associated Press sebelum keputusan pilihan raya negeri itu diumumkan di Sabah.

Bridget Welsh, penyelidik di University of Nottingham di Malaysia, pula menggambarkan pilihan raya negeri Sabah sebagai "ujian pilihan raya pertama" Muhyiddin, yang memberitahu AP sehari sebelum itu bahawa prestasinya akan "menentukan sama ada beliau akan terus menyandang jawatan."

Selepas GRS menang dengan kelebihan enam kerusi berbanding Warisan Plus, Welsh berkata beliau mendapati perdana menteri "mempunyai prestasi utuh untuk memperkukuhkan legitimasinya."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.