Kartunis Fahmi Reza Ditahan Pihak Berkuasa Malaysia

Penahanan itu berhubung karya satira yang menyentuh keluarga diraja, kata polis.
Noah Lee & Nisha David
2021.04.23
Kuala Lumpur
Kartunis Fahmi Reza Ditahan Pihak Berkuasa Malaysia Beberapa ahli kumpulan hak asasi manusia seperti Suaram, Article 19 berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi bagi menunjukkan solidariti dan sokongan terhadap kartunis satira Fahmi Reza, 23 April, 2021.
[Ihsan Suaram]

Seorang kartunis dan aktivis Malaysia yang terkenal dengan karya satiranya ditahan pada Jumaat untuk disiasat di bawah Akta Hasutan berkaitan satu muatnaik di media sosial yang mengkritik Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, demikian menurut Polis Diraja Malaysia.

Fahmi Reza Mohd Zarin ditangkap ketika berada di rumah beliau di satu kawasan di Lembah Klang, sebelum dibawa ke Balai Polis Dang Wangi di pusat bandar Kuala Lumpur, lebih kurang setengah jam sebelum umat Islam menikmati juadah berbuka puasa di bulan Ramadan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed dalam satu kenyataan media berkata Fahmi disiasat di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berkenaan satu muatnaik di Facebook yang memaparkan sekeping gambar Raja Permaisuri Agong berserta pautan ke laman Spotify yang mengandungi senarai 100 lagu berkaitan dengki.

"Pada 23 April 2021, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman telah menahan Mohd Fahmi Reza Bin Mohd Zarin, iaitu pemilik akaun Facebook Fahmi Reza, di Kuala Lumpur. Suspek akan dibawa ke hadapan majistret pada 24 April 2021 untuk tujuan permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi siasatan lanjut," kata Huzir dalam kenyataan beberapa jam selepas tangkapan dibuat.

Seksyen 4(1) Akta Hasutan merujuk kepada kesalahan melakukan perbuatan menghasut, yang mana jika didapati bersalah, seseorang boleh dihukum denda maksima sebanyak RM5,000 (AS$1,216) atau tiga tahun penjara, atau kedua-duanya sekali, bagi kesalahan pertama kali.

Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia pula merujuk kepada kesalahan menggunakan kemudahan rangkaian telekomunikasi dengan tidak wajar.

Dalam pada itu, Yohendra yang mewakili Fahmi memberitahu beliau telah dimaklumkan aktivis tersebut ditangkap berkaitan satu karyanya yang mengkritik Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

"Fahmi telah ditahan di rumahnya pada jam 7 petang tadi. Saya dimaklumkan bahawa penahanan beliau berkaitan dengan muatnaik yang dibuat Fahmi mengenai Permaisuri Agong," kata peguam itu ketika dihubungi.

Sejak Ahad lalu, satu hashtag (tanda pagar) #DengkiKe telah tular di media sosial terutamanya Twitter, susulan satu komen yang dibuat oleh akaun Instagram Tunku Hajah Azizah. Akaun Permaisuri Agong itu telah membalas satu komen netizen dengan jawapan "dengki ke?" apabila disoal sama ada para tukang masak Istana Negara sudah diberikan vaksin COVID-19.

Susulan trend di media sosial itu, Fahmi telah mengeluarkan beberapa karya satira yang menjadikan Tunku Hajah Azizah sebagai subjek, termasuk satu 'playlist' (senarai lagu) yang memaparkan 100 lagu yang mempunyai tajuk berkaitan dengki atau iri hati, dan diiringi gambar Permaisuri tersebut. Karya itu dimuatnaik di akaun Facebook serta Twitter aktivis berkenaan.

Karya-karya Fahmi mengenai Permaisuri itu telah menerima ribuan respon dari netizen, termasuk 'like', 'share' dan 'retweet' berserta dengan komen-komen.

Tindakan Fahmi itu telah mengundang rasa tidak senang sebahagian netizen, termasuk mereka yang mengkritik caranya yang dikatakan tidak menghormati institusi diraja.

Laporan polis juga telah dibuat terhadap Fahmi, termasuk oleh Timbalan Ketua Pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Ahmad Fadhli Shaari pada Khamis.

Walaubagaimanapun, kartunis itu dalam satu kenyataan media bertegas bahawa beliau tidak akan memadamkan karya beliau, dan menyatakan bahawa satira bukanlah satu jenayah.

"Kenyataan media. Aku tak akan padamkan playlist "This Is #DengkiKe?" ini. Enjoy the playlist. F*7^ censorship. #SatireIsNotACrime. Fahmi Reza," tulis Fahmi dalam satu ciapan di laman Twitter pada hari yang sama laporan polis dibuat terhadapnya.

Solidariti untuk Fahmi

Penahanan Fahmi telah mencetuskan satu trend di media sosial membabitkan netizen yang menyatakan solidariti bersama artis tersebut, dan menggesa supaya pihak berkuasa membebaskan beliau.

Setakat jam 11.40 malam (waktu Malaysia), nama Fahmi Reza telah menjadi trend di Twitter dengan lebih 14,000 ciapan.

"Mereka selalu mengatakan bahawa seni dan artis tidak penting tetapi mereka selalu mahu senyapkan kami. Kami bersolidariti dengan Fahmi Reza," kata seorang pengguna Twitter.

"Aku bukan seorang peminat Fahmi Reza, tetapi ini adalah melampau. Amat melampau. Dengan playlist spotify pun takut," ciap seorang lagi pengguna Twitter.

Kes itu juga telah mendapat perhatian organisasi kemanusiaan antarabangsa Amnesty International Malaysia, yang menggesa supaya Fahmi dibebaskan tanpa syarat.

"Kami memanggil pihak berkuasa supaya membebaskan Fahmi dengan segera dan tanpa syarat kerana beliau menggunakan haknya untuk kebebasan bersuara.

"Acap kali akta zalim digunakan sebagai alat pihak berkuasa untuk mendiamkan suara pengkritik dan pendapat berbeza. Ini harus dihentikan," kata organisasi itu melalui Twitter.

Satu perhimpunan kecil juga telah dianjurkan oleh NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di hadapan Balai Polis Dang Wangi bagi menunjukkan solidariti bersama Fahmi.

Pengarah eksekutif Suaram, Sevan Doraisamy memberitahu media bahawa penahanan Fahmi adalah sesuatu yang tidak wajar.

"Kami tidak bersetuju dengan penangkapan Fahmi. Tangkapan ini tidak wajar kerana kami percaya satira politik bukanlah satu jenayah. Ia adalah satu elemen yang penting di bawah kebebasan bersuara.

"Kami mengutuk kekerasan yang digunakan ketika penahanan Fahmi dirumahnya, dan penangkapan Fahmi juga adalah tidak sepatutnya berlaku. Penangkapan dan kemungkinan pendakwaan di bawah undang-undang lapuk dan kontroversi iaitu Akta Hasutan kerana satira politik adalah bertentangan dengan hak asasi manusia," kata beliau.

Di sudut lain, berita penahanan Fahmi mendapat sokongan dari sesetengah netizen yang percaya bahawa artis itu telah melampaui batas dan patut dikenakan tindakan.

"Dah kena tangkap...akta hasutan....padan muka kau," tulis seorang pengguna Facebook di posting Fahmi yang memaparkan karyanya.

"Bebas bersuara boleh. Tapi ada garis sempadan. Kelihatan kau dah melebihi garisan sempadan. Biar undang-undang beri sedikit pelajaran," kata seorang lagi.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.