Fahmi Reza Dituduh Kali Kedua Kerana Karya Satira Berkaitan Kerajaan

Pereka grafik berusia 44 tahun itu didakwa memuatnaik karya yang menyakitkan hati orang lain di laman media sosial tahun lepas.
Noah Lee
2022.02.17
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Fahmi Reza Dituduh Kali Kedua Kerana Karya Satira Berkaitan Kerajaan Pereka grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin bersama karya kontroversi yang menjadi bahan pendakwaan pada kali ini di hadapan bangunan Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta, 17 Februari, 2022.
[Ihsan Fahmi Reza]

Pereka grafik Mohd Fahmi Reza Mohd Zarin yang terkenal dengan karya satira didakwa sekali lagi di mahkamah pada Khamis kerana dikatakan telah memuatnaik karya yang menyakitkan hati orang lain, menjadikannya insiden kedua di mana aktivis tersebut menjadi sasaran pihak berkuasa dalam tempoh sebulan.

Fahmi yang berusia 44 tahun telah menjadi subjek siasatan serta pendakwaan di mahkamah berkali-kali sejak beberapa tahun lepas, kata sebuah kumpulan hak asasi antarabangsa pada minggu lalu, yang menyifatkan perbuatan itu sebagai usaha untuk menutup mulut para pengkritik kerajaan.

Artis satira itu dituduh di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada pagi Khamis atas kesalahan memuatnaik sebuah karikatur yang dikatakan sebagai "komunikasi yang jelik sifatnya" di laman Facebook pada 1 Jun 2021, dengan "niat untuk menyakitkan hati orang".

"Oleh itu kamu telah melakukan suatu kesalahan di bawah seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah seksyen 233(3) Akta yang sama," kata kertas pendakwaan yang disediakan terhadap Fahmi, dan dibaca di hadapan Hakim Edwin Paramjothy.

Menurut laporan portal berita tempatan Free Malaysia Today, Fahmi membuat hantaran itu selepas kerajaan membenarkan kilang bir untuk meneruskan operasi ketika perintah kawalan pergerakan pada 2021.

Sekiranya didapati bersalah oleh mahkamah atas dakwaan itu, Fahmi boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 (AS$11,946) atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih setahun, atau kedua-duanya sekali.

Berdasarkan dokumen mahkamah yang turut dimuatnaik oleh Fahmi di laman Twitter miliknya, pendakwaan itu berkisar kepada sebuah lukisan poster oleh beliau yang menunjukkan dua tin minuman keras dilagakan oleh dua tangan, dengan salah satu bekas minuman tersebut memaparkan logo Parti Islam Se-Malaysia (PAS) manakala satu lagi tertulis jenama bir terkenal Carlsberg.

Karikatur tersebut dimuatnaik di laman Facebook Fahmi dengan diiringi keterangan gambar bertulis "Takebeer!", yang dipercayai sebagai momokan kepada slogan "Takbir!" yang selalu digunakan oleh parti politik berkenaan.
Menurut peguam yang mewakili Fahmi, artis dan pereka grafik itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menghina PAS dengan mengaitkan parti itu dengan gambar minuman keras.

"Pereka grafik dan aktivis @kuasasiswa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan baharu menghina PAS di Facebook dengan mengaitkan parti itu dengan gambar minuman bir," kata Pillai.

Mahkamah kemudiannya telah menetapkan wang ikat jamin sebanyak RM3,000 (AS$716) terhadap Fahmi, yang kemudiannya dibebaskan sejurus selepas amaun ikat jamin tersebut dibayar kepada mahkamah.

Aktivis berkenaan bagaimanapun kelihatan tidak terkesan dengan tindakan terbaru terhadapnya itu.

Sebaik sahaja dibebaskan selepas membayar wang jaminan, Fahmi telah memuatnaik sekeping gambar di Twitter yang menunjukkan dirinya berdiri di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, sambil memegang karikatur poster momokan terhadap PAS itu.

Ia diiringi tulisan yang menyeru orang ramai supaya tidak berasa takut untuk mempertahankan hak mereka untuk bersuara secara bebas.

"Saya telah dibebaskan dengan jaminan! Seseorang itu tidak perlu berasa takut untuk berdiri mempertahankan haknya untuk berekspresi secara bebas kerana ia memberikan kekuatan kepada yang lain untuk berdiri bersama kamu.

"Mereka boleh memenjarakan seorang pemberontak, tetapi mereka tidak mungkin boleh memenjarakan pemberontakan itu sendiri. #SatireIsNotACrime," kata Fahmi dalam ciapannya.

Hentikan intimidasi

Pertuduhan terbaru terhadap Fahmi itu dibuat genap seminggu selepas artis itu dihadapkan ke mahkamah yang sama atas dakwaan yang serupa.

Dalam kes yang dibawa ke hadapan Hakim Sabariah Othman pada 10 Februari lalu, pereka grafik tersebut dituduh berkaitan dengan satu muatnaik karikatur pada tahun lepas, yang memaparkan imej menyerupai Menteri Kesihatan Malaysia pada waktu itu.

Fahmi telah memuatnaik karya tersebut selepas menteri Adham Baba mengumumkan bahawa ahli Jemaah Menteri yang keluar negara hanya perlu menjalani kuarantin selama tiga hari, berbanding tempoh biasa selama sepuluh hari yang dikenakan kepada orang biasa pada waktu itu.

Imej berkenaan kelihatan seperti satu kupon diskaun restoran dengan ilustrasi muka Adham sedang meminum air suam, dan diiringi perkataan "Dapatkan diskaun 70% daripada tempoh kuarantin wajib bagi pengembara luar negara." Ia juga mempunyai "kod kupon" yang ditulis "akumenteribabi".

Sementara itu, Article 19, sebuah badan yang memperjuangkan hak bersuara serta menentang diskriminasi, menggesa supaya kerajaan menghentikan intimidasi terhadap Fahmi.

Pegawai Kanan Program Article19 Malaysia Nalini Elumalai dalam satu kenyataan berkata bahawa penggunaan proses mahkamah untuk mengintimidasi Fahmi hanya mendedahkan usaha jahat mereka untuk mencari salah Fahmi.

"Kempen gangguan oleh kerajaan dan tindakan menjadikan ekspresi sebagai satu bentuk jenayah mesti dihentikan.

"Kerajaan yang bertukar ganti telah menggunakan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia sebagai senjata untuk menutup mulut pengkritik dan menekan kebebasan artis untuk berekspresi. Ia mesti diubah bagi memastikan undang-undang itu tidak lagi digunakan untuk menghalang kebebasan bersuara," kata beliau.

Sehari sebelum Fahmi dihadapkan ke mahkamah kerana kes menghina Adham, kumpulan hak asasi manusia Amnesty International juga telah mengkritik tindakan pihak berkuasa Malaysia terhadap Fahmi, menyatakan bahawa undang-undang tidak sepatutnya digunakan bagi menutup mulut pengkritik.

"Kami bersolidariti dengan Fahmi Reza, yang akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur susulan siasatan yang dibuat terhadap satu muatnaik di media sosial.

"Undang-undang tidak sepatutnya digunakan untuk menekan kritikan dan suara tidak puas hati yang disuarakan secara aman. Karya seni dan satira adalah sesuatu yang diperlukan untuk hidup dalam masyarakat yang terbuka dan adil.

“Kami memanggil pihak berkuasa supaya menarik semula semua dakwaan yang dibuat terhadap Fahmi Reza," kata organisasi itu dalam satu siri ciapan di Twitter pada 9 Februari lepas.

Pendakwaan terhadap Fahmi kerana dikatakan menghina PAS juga telah mendapat reaksi negatif daripada ramai netizen terhadap parti politik yang mengaku memperjuangkan Islam itu kerana dikatakan tidak kuat menghadapi kritikan.

"@PASPusat hati tisu ke, kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai, kalau takut kena satira, jangan masuk politik la weiii," ciap seorang pengguna Twitter @caranthir23.

Seorang lagi pengguna Twitter yang menggunakan nama Ilham pula menyatakan bahawa rakyat perlu dibenarkan mengkritik parti politik tanpa rasa takut dibalas dengan tindakan undang-undang.

Beliau turut mengkritik terma 'menyakitkan hati' digunakan oleh parti politik untuk menghalang perbezaan pendapat, "ketika jenayah mereka terhadap rakyat adalah lebih teruk", kata Ilham.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh