Pelukis Potret Dipenjara 12 Tahun Kerana Sokong Militan Negara Islam

Haireez Azeem Azizi
2016.06.14
60614-my-is-supporter620 Seorang askar Syria, membakar bendera kumpulan pengganas Negara Islam selepas tentera kembali menguasai Al-Qaryatain, sebuah bandar di wilayah Homs di tengah Syria. Seorang lelaki rakyat Malaysia dijatuhi hukuman penjara 12 tahun pada 14 Jun, 2016 selepas mengaku bersalah menyokong kumpulan pengganas itu.
AFP

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara terhadap seorang pelukis potret selepas beliau mengaku bersalah atas pertuduhan memasuki Syria dan memberikan sokongan kepada pengganas dua tahun lepas.

Mohammad Fauzee Ahmad, bapa kepada enam anak, pada mulanya pergi ke Syria untuk melakarkan seni melalui kanvas mengenai kehidupan, kekejaman dan kesengsaraan rakyat Syria di bawah rejim Bashar al-Assad. Sebaliknya beliau bertukar fikiran dan memberi sokongan kepada pengganas dengan bekerja sebagai sentri dan menerima latihan ketenteraan di sebuah kem IS yang tidak dinamakan.

Persuruhjaya Kehakiman Nordin Hassan menjatuhkan hukuman ke atas Mohammad Fauzee, 48, dari Kajang Selangor selepas menerima pengakuan bersalah. Nordin kemudiannya, memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh Mohammad Fauzee ditangkap pada 27 Oktober 2014.

"Saya tidak mahu anak-anak muda terpengaruh dengan tindakan anda," Nordin memberitahu defendan. "Oleh itu, saya perlu mengenakan hukuman berat kepada anda untuk menghantar mesej tegas kepada orang ramai terutama kepada mereka yang merancang untuk melakukan perkara yang sama. Kumpulan militan Negara Islam adalah satu ancaman bagi seluruh dunia dan ia menjadi tanggungjawab mahkamah untuk memastikan aktiviti-aktiviti keganasan seperti itu tidak berlaku di Malaysia. "

Berhadapan 3 dekad penjara

Mohammad Fauzee didakwa terlibat dalam aktiviti keganasan termasuk penggunaan senjata api dan bahan letupan dengan niat melanjutkan suatu perjuangan agama di Syria, antara Jun dan September 2014.

Mengikut pertuduhan, perbuatan tertuduh boleh dianggap sebagai berniat untuk mengugut orang awam di Syria mengikut Seksyen 130J(1)(b) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang telah digunakan atau diniatkan untuk melakukan kesalahan.

Peguam Eric Paulsen yang mewakili Mohammad Fauzee memberitahu Nordin bahawa anak guamnya mempunyai ruang melakar seninya di masjid Putrajaya lebih sedekad sebelum beliau ke Syria.

"Dia tersesat dengan menyertai perjuangan di sana. Fauzee seperti jiwa yang hilang, tetapi boleh dipulihkan. Mahkamah perlu memahami bahawa kesalahan itu secara teknikalnya dilakukan di luar negara dan hukuman antara lima hingga sembilan tahun adalah mencukupi, " Paulsen memaklumkan kepada mahkamah.

Paulsen juga berkata, sejak penangkapan Mohammmad Fauzee, isterinya telah menjadi pencari nafkah tunggal keluarga, dengan pendapatan RM1,000 (AS$243) sebulan sebagai pekerja kilang untuk menyara tiga anak mereka yang masih bersekolah.

Pendakwa tumpu tindakan di Syria.


Dalam pada itu, Timbalan Pendakwa Raya Mustaffa P. Kunyalam memberitahu mahkamah bahawa "Mohammad Fauzee jelas memberi sokongan kepada aktiviti keganasan. Terdapat gambar-gambarnya memegang AK-47 dan bergambar bersama bom, kereta kebal dan duduk di atas kereta kebal bersama pejuang Mujahid yang cedera… Oleh itu, mahkamah juga perlu mengambil kira kepentingan awam dan mengenakan hukuman berat."

Kementerian Dalam Negeri,memetik sumber perisikan, mendakwa lebih 130 rakyat Malaysia telah cuba menyertai IS di Iraq atau Syria. Sekurang-kurangnya 19 rakyat Malaysia terbunuh semasa berlawan untuk IS di Timur Tengah, menurut Ketua Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Polis Bukit Aman Ayub Khan Mydin Pitchay.


Sejak tahun 2013, Polis Malaysia telah menahan 193 suspek keganasan IS dengan 59 (termasuk hari ini) daripada mereka didakwa di mahkamah, mengikut statistik polis.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.