Malaysia sahkan tiga rakyatnya dalam senarai pengganas FBI tiada kaitan keganasan
2024.02.21
Kuala Lumpur

Pemimpin tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang dimasukkan dalam senarai saringan pengganas oleh Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) tidak mempunyai rekod terlibat dengan sebarang aktiviti keganasan radikal, demikian menurut Menteri Dalam Negeri Malaysia pada Rabu.
Kesemua pemimpin dari tiga badan bukan kerajaan itu merupakan antara yang terlibat dalam penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin di Gaza, kawasan yang telah diserang oleh Israel hingga menyebabkan kematian lebih 29,000 orang dengan 80 peratus populasinya terpaksa berpindah, ekoran dari serangan Hamas terhadap wilayah di bawah pendudukan rejim Zionis pada 7 Oktober lalu.
Pejabat akhbar kebangsaan FBI yang dihubungi BenarNews di Washington berkata “Biro Penyiasatan Persekutuan Amerika Syarikat tidak boleh mengesah atau menafikan sama ada individu tertentu berada dalam senarai pantauan”.
Saifuddin Nasution Ismail semasa sidang media di Kuala Lumpur berkata, ketiga-tiga individu daripada pertubuhan bukan kerajaan Islam yang disenaraikan itu berkemungkinan susulan cadangan Amerika Syarikat untuk meluluskan rang undang-undang menyekat entiti asing memberikan sokongan kepada Hamas dan Jihad Islam di Palestin pada tahun lalu.
“Berdasarkan kepada semakan kita, kesemua NGO terlibat dalam Ops Ihsan, rekod keselamatan polis (menunjukkan) tidak ada yang terlibat dengan isu-isu keganasan, mereka ‘bersih'.
"Individu yang terlibat lebih kurang 359 orang daripada 53 kumpulan NGO, kita buat semakan kesemua sekali… tidak ada dilaporkan terlibat dengan sebarang aktiviti keganasan," kata Menteri itu merujuk kepada misi bantuan kemanusiaan Malaysia bagi rakyat Palestin.
Minggu lalu tular sepucuk surat dari Wisma Putra yang meminta Sekretariat Ops Ihsan mengeluarkan tiga individu terbabit daripada terlibat dalam misi bantuan Palestin ekoran nama mereka telah berada dalam senarai saringan pengganas FBI.
Tiga-tiga mereka ialah Ketua Pegawai Eksekutif Aman Palestin Awang Suffian Awang Piut, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dari Cinta Syria Malaysia dan Abu Bakar Abdul (Dunia Melayu Dunia Islam).
Menurut surat tersebut, senarai nama berkenaan dikeluarkan oleh Pusat Saringan Pengganas (TSC) FBI yang berkongsi maklumat berkaitan keganasan dengan pelbagai agensi kerajaan AS.
Pusat saringan pengganas FBI menyenaraihitamkan individu yang dianggap sebagai ancaman keselamatan kepada AS, menurut laman web TSC.
Namun pusat itu tidak mengesahkan secara terbuka individu-individu yang terdapat dalam senarai pemantauan.
Saifuddin pada Rabu berkata Malaysia tidak semestinya mematuhi saranan FBI berhubung pencegahan keganasan.
Beliau menegaskan sebagai negara berdaulat, Malaysia mempunyai undang-undang sendiri dan agensi yang bertanggungjawab berhubung soal keselamatan.
"Kita ada rekod yang kompeten dalam membuat tapisan," ujarnya.
Mengenai keselamatan, beliau berkata kedua-dua negara mempunyai situasi yang sama iaitu kadangkala seseorang individu dimasukkan dalam senarai AS atau sebaliknya di Malaysia selain ada kalanya mempunyai senarai bersama.
“Kita terus dengan kaedah sistem kita [senarai], yang paling penting kita menjaga kedaulatan dan keamanan," katanya semasa sidang media khas sambil menambah bahawa ketiga-tiga individu berkenaan tidak berada dalam senarai pemantauan Malaysia.
BenarNews telah berusaha Wisma Putra untuk mendapatkan pengesahan, namun tidak mendapat maklum balas.
Petugas di Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sedang memuatnaik barangan kargo ke dalam kapal terbang untuk misi bantuan Ops Ihsan ke Palestin, 10 November 2023. [Ihsan Facebook OpsIhsan]
Lantang bersuara
Malaysia merupakan antara negara yang lantang dan kuat pendukung perjuangan Palestin serta menyokong penyelesaian dua negara bagi konflik Israel-Palestin namun kekal tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan rejim Zionis itu.
Ops Ihsan Malaysia dilaporkan telah menghantar tiga misi penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui Mesir sejak serangan Israel ke atas Gaza pada Oktober, lapor media tempatan.
Sementara itu, Pengerusi Sekretariat Ops Ihsan Jismi Johari berkata dengan kenyataan Saifuddin, jelas bahawa ketiga-tiga individu terbabit bersih daripada sebarang kaitan dengan keganasan.
"Tidak ada sebarang keputusan untuk menggantung atau menggugurkan mereka daripada Ops Ihsan.
"Pihak sekretariat secara sebulat suara mengesyorkan ketiga-tiga individu tersebut mendapatkan penjelasan lanjut berhubung status mereka di pusat pemeriksaan keganasan manakala organisasi mereka terus kekal sebagai sebahagian daripada Ops Ihsan,” kata Jismi kepada BenarNews.
BenarNews turut cuba mendapatkan komen daripada ketiga-tiga individu tersebut tiada sebarang jawapan diterima semasa laporan ini ditulis.
Ops Ihsan merupakan inisiatif bersama yang dimulakan oleh bekas Menteri Luar Malaysia Zambry Abdul Kadir dengan kerjasama strategik antara NGO dan kerajaan bagi menyalurkan bantuan kemanusiaan terutamanya ke Palestin.
Di bawah penyelarasan Kementerian Luar, Ops Ihsan bekerjasama dengan lebih 53 NGO termasuk Global Peace Mission (GPM) Malaysia, Red A Humanitarian Global Development, Mercy Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor, BeVital dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) untuk menghantar pelbagai bekalan kemanusiaan kepada rakyat Palestin.